Ramai Mula Takut Makan Seafood Di Langkawi, Ini Nasihat Doktor Yang Patut Anda Tahu
Pengamal perubatan yang dikenali sebagai Dr Asyraf Sam menjelaskan hasil hidupan laut di kawasan sekitar insiden bot karam itu selamat untuk dimakan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan insiden kemalangan bot Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang karam di sempadan perairan Malaysia-Thailand berhampiran Langkawi, Kedah.
Menurut Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Khairul Azhar Nuruddin, bot berkenaan yang dipercayai membawa 90 orang migran terdiri daripada Myanmar, Bangladesh dan etnik Rohingya pecah berhampiran pulau pelancongan itu.
Dalam kejadian yang berlaku pada 8 November itu, tujuh lelaki dan dua wanita ditemui selamat sebelum ditahan oleh pihak berkuasa.
Operasi mencari dan menyelamat warga asing berkenaan giat dijalankan sejak 9 November lalu namun dihentikan pada semalam (17 November) ekoran tiada penemuan baharu yang ditemui sepanjang sembilan hari operasi berlangsung.
Sehingga jam 12 tengahari, sebanyak 43 mangsa telah ditemui di mana 14 mangsa terselamat manakala 29 lagi maut manakala baki kira-kira 47 orang lagi masih lagi tidak ditemui.
Ramai Luah Enggan Makan Makanan Laut Dari Langkawi
Susulan kejadian ini, ramai pengguna media sosial yang meluahkan rasa bimbang untuk menikmati hidangan makanan laut di Pulau Langkawi.
Dek kerana insiden ini juga, ramai yang mahu ‘berpuasa’ dan mengelak dari menikmati hidangan berasaskan seafood itu.
Ini kerana ada segelintir yang berpendapat hidupan laut di sekitar perairan Langkawi antaranya seperti ikan dan sotong turut terkesan dengan kejadian bot karam berkenaan.
View on Threads
View on Threads
View on Threads
Doktor Jelas Makanan Laut Selamat Untuk Dimakan
Terbaharu, seorang pengamal perubatan, Dr Muhammad Asyraf bin Shamsuddin atau mesra dikenali sebagai Dr Asyraf Sam menjelaskan hasil hidupan laut di kawasan sekitar insiden itu selamat untuk dimakan.
“Secara umumnya, seafood di Langkawi masih selamat untuk dimakan. Sebab laut ini sangat besar dan arusnya sentiasa bergerak.
“Laut sendiri ada sistem semulajadi untuk menguraikan benda asing tanpa menjejaskan keseluruhan ekosistem.
“Jadi, kejadian yang berlaku sangat rendah kemungkinan menyebabkan pencemaran laut,” katanya yang dipetik dari mStar.
Langkah Mudah Untuk Pastikan Hasil Laut Selamat & Segar
Terangnya lagi, orang ramai boleh mengambil beberapa langkah mudah bagi memastikan hasil laut yang dimakan adalah selamat dan segar.
“Apa yang lagi penting dalam menentukan keselamatan makanan adalah kesegaran seafood itu sendiri, cara ia disimpan dan dimasak.
“Nasihat saya, pelancong yang nak pergi makan seafood di Langkawi, pertama, pilih kedai yang bersih.
“Kedua, periksa dulu seafood yang nak dimakan, pastikan seafood berbau segar dan tak hanyir. Periksa juga tekstur seafood untuk pastikan ia pejal, kalau lembik elakkan.
“Yang ketiga, ambil tahu cara penyimpanan seafood ini. Sepatutnya cara simpan seafood mentah ini adalah pada suhu yang sejuk atau bekas berais.
“Jadi kalau nampak seafood terdedah kepada suhu bilik je, elakkan juga,” kongsinya lagi.
Ciri Makanan Laut Yang Segar
Memetik laman Hello Doktor, terdapat beberapa ciri yang boleh perhatikan bagi memastikan makanan laut yang dibeli berada dalam keadaan segar.
- Ikan: Ikan yang segar mempunyai warna insang merah yang pekat seakan warna darah di sekitarnya. Malah, warna mata berada dalam keadaan jernih selain mempunyai tekstur badan yang agak pejal dan keras serta tiada bau.
- Kerang: Kerang yang segar kebiasaannya terdiri daripada kerang hidup. Kerang ini akan membuka cangkerangnya sedikit dan bergerak-gerak.
- Udang: Mempunyai badan yang masih pejal, kulit kepala yang keras serta warna yang masih segar dan tiada bintik hitam.
- Ketam: Sebaiknya pilih ketam yang masih hidup sama ada ketam nipah atau bunga. Elakkan dari membeli ketam yang anggota badannya sudah patah.
- Sotong: Mempunyai badan yang agak kenyal serta keras. Ia juga tidak mengeluarkan bau hanyir yang terlalu kuat memandangkan bau laut sahaja.
Baca Artikel Berkaitan: Gout Berpunca Daripada Seafood? Ini Penjelasan Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: Scombrotoxin Punca Badan Naik Gatal Lepas Makan Makanan Laut
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



