Now Reading
“Kasih Sayang Tak Berpenghujung” – Lelaki Wakafkan Harta RM60,380 Atas Nama Arwah Isteri

“Kasih Sayang Tak Berpenghujung” – Lelaki Wakafkan Harta RM60,380 Atas Nama Arwah Isteri

Sumbangan wakaf tersebut adalah hasil daripada penjualan emas milik almarhumah berserta wang simpanan yang ditemui oleh suaminya.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap insan pasti akan kehilngan orang tersayang. Meskipun perit, kematian adalah ketentuan Allah SWT yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Sebagai umat Islam, kita diajar untuk reda dan sabar menghadapi ujian ini kerana kehidupan di dunia hanyalah pinjaman yang sementara sahaja.

Namun, sebagai pasangan, ahli keluarga atau anak-anak, apa yang paling penting untuk dilakukan adalah menghadiahkan pahala kepada arwah melalui doa, sedekah dan bacaan al-Quran agar menjadi bekalan buat mereka di alam sana.

Peniaga air soya wakafkan RM60,380 atas nama arwah isteri

Begitulah yang dilakukan oleh seorang lelaki warga emas di Negeri Sembilan ini apabila harta bernilai lebih RM60,000 diwakafkannya atas nama arwah isteri sebagai tanda sayang dan mahu amal jariah Allahyarham berpanjangan.

Warga emas yang juga seorang peniaga air soya terbabit mewakafkan RM60,380 itu kepada Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

Menerusi hantaran yang dimuat naik oleh MAINS di Facebook, sumbangan wakaf tersebut adalah hasil daripada penjualan emas milik almarhumah berserta wang simpanan yang ditemui oleh suaminya.

Warga emas wakaf harta yang dihibahkan arwah isteri kepadanya

Menurut MAINS, difahamkan arwah sempat menghibahkan emas dan simpanan tersebut kepada suami, namun lelaki itu dengan penuh keikhlasan memilih untuk tidak menggunakannya walau satu sen daripada pemberian terbabit.

“Beliau sebaliknya menzahirkan rasa cinta dan sayang terhadap almarhumah isteri dengan mewakafkan keseluruhan jumlah tersebut demi manfaat umat dan sebagai amal jariah yang berpanjangan.

“MAINS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan atas kemurahan hati dan keikhlasan pewakaf ini,” katannya.

Jadi inspirasi kepada masyarakat untuk beramal dan berbakti

Menurutnya lagi, tindakan tersebut bukan sahaja mencerminkan keimanan yang mendalam dan kasih sayang yang tulus, tetapi juga menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus beramal serta berbakti melalui wakaf.

“MAINS sentiasa komited dalam menguruskan harta wakaf dengan telus dan berkesan agar manfaatnya dapat disalurkan kepada sektor-sektor pembangunan umat seperti pendidikan, sosioekonomi dan kesihatan.

“Semoga Allah SWT mengurniakan ganjaran pahala yang berlipat ganda kepada pewakaf serta menempatkan almarhumah isterinya dalam kalangan hambaNya yang beramal soleh, dilapangkan kuburnya dan dimasukkan ke dalam syurga tanpa hisab,” katanya lagi.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd