Konflik Di Sudan: Apa Sebenarnya Yang Berlaku? Ini Yang Patut Korang Tahu
Memetik BBC, lebih 150,000 orang terkorban dan kira-kira 12 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat konflik saudara di Sudan menjadikannya krisis kemanusiaan terbesar di dunia
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Sejak kebelakangan ini, kecoh di media sosial video-video tragis membabitkan rakyat Sudan yang diseksa dan dibunuh ekoran perang saudara.
Namun hakikatnya, Sudan sudah berdepan dengan perang saudara sejak April 2023 selepas perebutan kuasa tercetus di antara tentera negara itu dan kumpulan separa tentera iaitu Rapid Support Forces (RSF).
Konflik ini menyebabkan kebuluran dan terdapat dakwaan berlakunya pembunuhan beramai-ramai (genocide) di wilayah barat Darfur dengan kebimbangan kini tertumpu kepada penduduk di bandar el-Fasher selepas ia ditawan oleh RSF pada baru-baru ini.
Difahamkan, lebih 150,000 orang terkorban dan kira-kira 12 juta orang terpaksa meninggalkan rumah mereka akibat konflik terbabit menjadikannya krisis kemanusiaan terbesar di dunia menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
SPEAK UP FOR SUDAN pic.twitter.com/vA5842OVon
— Sulaiman Ahmed (@ShaykhSulaiman) November 2, 2025
Mungkin, ada di antara kita yang tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku di Sudan. Jadi, mari kami kongsikan apa yang korang patut tahu.
Mengapa perang saudara berlaku di Sudan?
Memetik BBC, perang saudara ini tercetus selepas penggulingan Presiden Omar al-Bashir pada 2019 lalu yang memerintah selama hampir tiga dekad sejak rampasan kuasa pada 1989.
Selepas pemerintahan Omar digulingkan, sebuah kerajaan gabungan tentera dan orang awam dibentuk tetapi ia tidak bertahan lama apabila satu lagi rampasan kuasa berlaku pada Oktober 2021.
Rampasan kuasa itu dilakukan oleh dua tokoh utama iaitu:
- Jeneral Abdel Fattah al-Burhan, ketua Angkatan tentera dan kini presiden de facto Sudan
- Jeneral Mohamed Hamdan Dagalo, ketua RSF yang lebih dikenali sebagai Hemedti.
Pun begitu, kedua-dua jeneral ini berselisih faham mengenai hala tuju negara dan peralihan kuasa pada pemerintahan awam.
Rancangan pada asalnya adalah untuk menggabungkan 100,000 anggota RSF ke dalam tentera dan menentukan siapa yang akan mengetuai pasukan baharu itu. Namun terdapat syak wasangka bahawa kedua-dua enggan melepaskan kuasa, kekayaan dan pengaruh masing-masing.
Pertempuran bermula pada 15 April 2023, selepas ketegangan meningkat apabila anggota RSF ditempatkan semula di seluruh negara – satu langkah yang dianggap mengancam posisi tentera kerajaan.
Siapa pejuang RSF?
RSF ini ditubuhkan pada 2013 yang berasal daripda militia Janjaweed yang terkenal kejam ketika berperang menentang pemberontak di Darfur.
Mereka dituduh melakukan genosid dan pembersihan etnik terhadap penduduk bukan Arab di wilayah itu.
Sejak itu, Hemedti membina pasukan kuat yang turut campur tangan dalam konflik di Yaman dan Libya.
Dia juga mengawal beberapa lombong emas Sudan dan didakwa menyeludupnya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE). Tentera Sudan menuduh UAE menyokong RSF, namun UAE menafikannya.
Tentera turut menuduh tokoh tentera Libya Timur, Jeneral Khalifa Haftar telah membantu RSF dengan menyeludup senjata dan memperkuat pasukan itu.
Pada awal Jun 2025, RSF mencapai kemenangan besar apabila berjaya menawan kawasan di sepanjang sempadan Sudan dengan Libya dan Mesir. Ini diikuti dengan penawanan bandar el-Fasher pada akhir Oktober lalu.
Ini sekali gus menjadikan RSF kini menguasai hampir seluruh wilayah Darfur dan sebahagian besar Kordofan. Sementara tentera pula menguasai kebanyakan kawasan di utara dan timur negara itu.
Dengan penubuhan kerajaan pesaing oleh RSF, besar kemungkinan Sudan akan berpecah buat kali kedua selepas Sudan Selatan berpisah pada 2011 dan membawa bersama sebahagian besar kawasan pengeluaran minyak negara itu.
Kejatuhan el-Fasher jadi tanda kekalahan besar tentera
Kejatuhan el-Fasher pada akhir Oktober menandakan kekalahan besar tentera Sudan di mana ia merupakan bandar utama terakhir di Darfur yang sebelum ini mereka kuasai.
RSF mengepung bandar itu selama 18 bulan menyebabkan ratusan mangsa terkorban, hospital dan bekalan makanan disekat.
Mereka juga membina tembok tanah mengelilingi bandar untuk memerangkap penduduk dan memusnahkan kem pelarian Zamzam yang sudah pun dilanda kebuluran.
Dalam erti kata lain, penduduk-penduduk di el-Fasher pada ketika ini umpama berada dalam penjara yang sangat besar, penuh dengan kesengsaraan.
Genosid dan pembersihan etnik di Sudan
Ramai penduduk Darfur percaya RSF dan militia sekutunya berusaha menjadikan wilayah itu di bawah dominasi Arab.
Pada Mac 2024, Human Rights Watch (HRW) menyatakan kemungkinan RSF melakukan genosid terhadap kaum Massalit dan komuniti bukan Arab lain.
Ribuan orang telah dibunuh di el-Geneina dalam satu kempen pembersihan etnik yang bertujuan menghalau mereka keluar secara kekal.
Amerika Syarikat (AS) kemudian membuat kesimpulan bahawa RSF dan milita sekutunya memang telah melakukan genosid di Sudan.
Kini, el-Fasher pula mencetuskan kebimbangan ramai terhadap nasib kira-kira 250,000 penduduk bandar itu di mana kebanyakan mereka dari komuniti bukan Arab.
Apakah usaha untuk menamatkan perang?
Beberapa rundingan damai telah diadakan di Arab Saudi dan Bahrain tetapi semuanya gagal. Tentera Sudan dan RSF dikatakan enggan bersetuju dengan gencatan senjata.
Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus, turut menyuarakan kekecewaan terhadap kurangnya perhatian dunia terhadap konflik di Sudan berbanding krisis lain.
Sudan terletak di mana?
Sudan terletak di Afrika Timur Laut dan merupakan antara negara-negara terbesar di benua itu meliputi keluasan 1.9 juta km².
Negara ini bersempadan dengan tujuh negara serta Laut Merah. Sungai Nil turut mengalir melaluinya, menjadikannya kawasan strategik bagi kuasa luar.
Penduduk Sudan majoritinya beragama Islam, dan bahasa rasminya ialah Arab dan Inggeris.
Malaysia mahu keganasan dan genosid di Sudan dihentikan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu kenyataan hari ini (3 November) telah menyuarakan kebimbangan beliau mengenai tragedi yang sedang berlaku di el-Fasher dan seluruh Darfur.
“Apa yang kita saksikan kini merupakan satu bencana kemanusiaan iaitu pembunuhan beramai-ramai, kebuluran dan pemindahan penduduk secara besar-besaran yang benar-benar menggugat hati nurani.
“Laporan mengenai kekejaman yang mungkin menjurus kepada jenayah terhadap kemanusiaan, malah pembunuhan beramai-ramai adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali,” katanya.
Menurutnya, Malaysia menyeru agar keganasan dihentikan serta-merta dan orang awam dilindungi sepenuhnya selaras dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
“Kami berdiri teguh bersama rakyat Sudan dan menggesa masyarakat antarabangsa untuk bertindak tegas bagi mengelakkan penderitaan yang lebih dasyat, memulihkan akses kemanusiaan serta menyokong proses yang kukuh ke arah keamanan dan kebertanggungjawaban,” katanya lagi.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.