Ini Fakta Menarik Tentang The Beast, Kubu Bergerak Yang Melindungi Presiden AS
Nama The Beast yang turut dikenali sebagai Cadillac One bukanlah sesuatu yang baru, ia sudah mula digunakan sejak era Presiden Barack Obama lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kedatangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Malaysia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Ahad lalu (26 Oktober) telah meraih perhatian ramai.
Ia bukanlah kerana Trump merupakan salah seorang pemimpin kuasa besar dunia semata-mata, tetapi kerana protokol keselamatan yang ketat serta tahap perlindungan yang tinggi sentiasa mengiringinya ke mana sahaja.
Namun kali ini, Trump melanggar ‘protokol keselamatan’ apabila mengajak Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menaiki kenderaan rasmi ‘The Beast’ bersama beliau.
Tapi topik kali ini bukan tentang protokol keselamatan, sebaliknya lebih kehebatan The Beast itu sendiri. Susulan itu, mari kami kongsikan kepada korang fakta menarik tentang The Beast ini yang bukan sekadar kenderaan rasmi, sebaliknya sebuah kubu bergerak.

The Beast digunakan Trump bernilai lebih RM6 juta
Nama The Beast yang turut dikenali sebagai Cadillac One bukanlah sesuatu yang baru, ia sudah mula digunakan sejak era Presiden Barack Obama lagi.
Namun The Beast yang digunakan Trump pada ketika ini merupakan model baharu yang diterbangkan khas oleh Secret Service ke New York pada tahun 2018, lapor NBC News.
Limosin ini dianggarkan seberat hampir 20,000 paun (kira-kira 9,000 Kg) sama seperti berat sebuah kereta kebal bersaiz kecil.
Kos pembinaan bagi 12 buah limosin presiden ini adalah sekitar US$15.8 juta (RM66.6 juta) di mana setiap satunya berharga US$1.5 juta (RM6.3 juta).
Dari luar The Beast kelihatan seperti sebuah Cadillac XT6 versi panjang, elegan dan mewah. Tapi sebenarnya, ia dibina menggunakan platform Chevrolet Kodiak, iaitu casis lori berat keluaran General Motors.
The Beast dibina dengan bahan perisai campuran, kali peluru dan letupan
Limosin presiden ini juga menggunakan bahan perisai campuran seperti besi, aluminium dan seramik yang direka untuk menahan pelbagai jenis peluru dan letupan termasuk serangan biokimia.
Antara ciri keselamatannya adalah seperti berikut:
- Dinding setebal 8 inci
- Tingkap multilayer setebal 5 inci
- Tayar run-flat yang membolehkan kereta terus bergerak walaupun rosak
- Kedap gas kimia, sesuai menghadapi serangan biokimia
- Pintu seberat pintu pesawat Boeing 757
- Tangki minyak anti letupan
- Lapisan besi anti letupan pada bahagian bawah kenderaan.
Ciri-ciri ini menjadikan The Beast hampir mustahil untuk dimusnahkan, dihentikan atau diceroboh daripada luar.
Bukan hanya kuat, tapi ada teknologi canggih
The Beast bukan sekadar kebal, malah ia juga dilengkapi dengan sistem teknologi yang canggih dan sistem pertahanan aktif.
Berikut ciri-ciri teknologi yang ada:
- Boleh melepaskan gas pemedih mata
- Boleh mengeluarkan kepulan asap untuk mengaburi musuh
- Boleh menyemburkan minyak bagi menghilangkan kawalan kenderaan yang mengejar
- Pemegang pintu yang boleh mengalirkan elektrik untuk menghalang pencerobohan
- Night version system untuk operasi malam
Miliki petik sejuk simpan darah presiden, ada senjata dan nuklear kod
Jika presiden atau nama lainnya POTUS tercedera, The Beast mempunyai bekalan perubatan yang mencukupi termasuk peti sejuk khas yang menyimpan beg darah jenis presiden sendiri.
Tidak hanya itu, terdapat juga beberapa senjata api yang disimpan di dalam limosin ini untuk digunakan sekiranya berdepan serangan musuh.
Lebih mengagumkan, ia juga memiliki sistem komunikasi khas yang boleh digunakan untuk menghantar kod pelancaran senjata nuklear.
Pun begitu, banyak spesifikasi adalah rahsia (classified) dan tidak pernah didedahkan secara rasmi oleh kerajaan AS.
Lebih dari satu The Beast akan mengiringi presiden untuk kaburi musuh
The Beast ini bukan hanya digunakan di Amerika Syarikat, sebaliknya turut dibawa bersama ketika Presiden AS mengadakan lawatan ke negara-negara lain seperti di Malaysia baru-baru ini.
Kebiasaannya, lebih daripada satu The Beast akan dibawa menaiki pesawat tentera udara AS, C-17.

Sepanjang perjalanan ke destinasi yang ingin ditujui presiden, dua atau tiga The Beast akan bergerak dalam waktu yang sama untuk mengaburi musuh tentang keberadaan presiden di dalam limosin yang mana.
Sebagai contoh, media AS melaporkan, pada 2021, terdapat tujuh The Beast yang berada di jalan raya membawa bekas presiden, Joe Biden untuk upacara mengangkat sumpah sebagai Presiden AS pada 2021.
Kesimpulannya, The Beast ini direka untuk memastikan keselamatan Presiden AS pada tahap maksimum. Dengan kombinasi inovasi teknologi, reka bentuk taktikal dan kawalan keselamatan ketat, tidak hairanlah ia dianggap sebagai salah satu kenderaan paling selamat di dunia.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



