Now Reading
“Sepatutnya Lebih Murah” – PM Arah LADA Cari Jalan Turunkan Kos Percutian Di Langkawi

“Sepatutnya Lebih Murah” – PM Arah LADA Cari Jalan Turunkan Kos Percutian Di Langkawi

Menurut Anwar, meskipun Langkawi mempunyai pantai yang lebih bersih dan indah berbanding destinasi pelancongan lain, harga yang tinggi menyebabkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bercuti di pulau itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak dinafikan, sejak akhir-akhir ini Pulau Langkawi semakin kurang mendapat sambutan dalam kalangan pelancong tempatan.

Setiap kali tibanya musim cuti sekolah atau perayaan, kebanyakan rakyat Malaysia lebih memilih untuk bercuti ke negara jiran iaitu Thailand.

Antara kawasan yang menjadi tumpuan adalah selatan Thailand kerana kedudukannya yang dekat dan tidak terlalu menelan belanja yang tinggi berbanding Langkawi.

Anwar arah LADA cari jalan turunkan kos percutian di Langkawi

Susulan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) mencari jalan untuk menurunkan kos percutian di sana.

Menurutnya, dua pengerusi bersama LADA iaitu Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diminta berbincang mengenai langkah-langkah untuk menjadikan percutian di Langkawi lebih mampu milik.

Harga terlalu tinggi buat rakyat tak tertarik nak bercuti ke Langkawi

Beliau berkata, meskipun Langkawi mempunyai pantai yang lebih bersih dan indah berbanding destinasi pelancongan lain, harga yang tinggi menyebabkan rakyat tempatan kurang berminat untuk bercuti di pulau itu.

“LADA akan mencari kaedah untuk mengurangkan kos percutian di Langkawi kerana pulau itu tidak akan menarik ramai pelancong jika kosnya terlalu mahal,” katanya ketika berucap di Dewan Rakyat hari ini (14 Oktober) dipetik FMT.

Menurutnya lagi, kerajaan akan mengkaji langkah-langkah untuk menjadikan percutian dalam negara lebih menarik kepada rakyat tempatan.

Kira-kira 200,000 rakyat Malaysia berbelanja hampir RM50 juta di Thailand bulan lalu

Bulan lalu, kira-kira 200,000 rakyat Malaysia dilaporkan berbelanja hampir RM50 juta untuk membeli-belah dan aktiviti riadah di selatan Thailand sempena cuti sambutan Hari Malaysia.

Kebanyakan pelancong menuju ke Hatyai dan wilayah berhampiran seperti Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla, dengan jumlah tempahan hotel melebihi 120,000 bilik.

Seorang penggiat industri pelancongan Thailand memberitahu Kosmo bahawa setiap rakyat Malaysia membelanjakan kira-kira 4,000 baht (RM522) sepanjang tiga hari bagi penginapan, makanan dan pengangkutan.

Berkongsi lanjut, Anwar berkata, pengukuhan nilai ringgit menjadikan percutian ke luar negara lebih menarik dan disebabkan itu kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk merangsang pelancongan domestik termasuk pelepasan cukai pendapatan sehingga RM1,000 bagi bayaran masuk ke tempat tarikan pelancong dan program kebudayaan.

“Kalau ringgit lemah, ada masalah. Kalau ringgit kuat pun, ada juga masalah. Tapi antara dua itu, saya tetap pilih ringgit yang kuat,” katanya.

Langkawi dinobat pulau kedua tercantik di Asia

Pun begitu, disebalik apa yang berlaku, laman portal pelancongan, Conde Nest Traveller pada 7 Oktober lalu melaporkan Langkawi telah dinobatkan sebagai pulau kedua tercantik di Asia dengan jumlah mata 92.99 sementara Phu Quoc di Vietnam menduduki tempat pertama dengan markah 95.91.

Meskipun Langkawi berada di ranking kedua, ia tetap berjaya mengalahkan pulau-pulau popular yang lain seperti Koh Samui dan Phuket di Thailand, serta Bali di Indonesia.

Difahamkan, ranking ini berdasarkan tinjauan yang dilakukan terhadap golongan traveler dan pembaca.

Berikut 10 pulau tercantik di Asia:

  1. Phu Quoc, Vietnam (95.51)
  2. Langkawi, Malaysia (92.99)
  3. Koh Samui, Thailand (92.7)
  4. Boracay, Filipina (90.54)
  5. Palawan, Filipina (90.23)
  6. Bali, Indonesia (89.84)
  7. Siargao, Filipina (85.49)
  8. Andaman Islands, India (85.33)
  9. Phuket, Thailand (84.62)
  10. Phi Phi Islands, Thailand (83.27)

Baca Artikel Berkaitan: Kemerosotan Pelancong Jejas Status Pulau Langkawi Sebagai Pusat Percutian Popular

Baca Artikel Berkaitan: Rakyat Malaysia Pilih Thailand Destinasi Pelancongan Pada Musim Cuti, Ini Sebabnya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd