“FIFA Kata Ada Pemalsuan Dokumen, Ia Bukan Dari KDN” – Menteri Dalam Negeri
Terdahulu FIFA mengeluarkan dokumen bukti yang menunjukkan bahawa tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menegaskan tidak ada berlakunya pemalsuan dokumen membabitkan tujuh pemain warisan Harimau Malaya.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi sidang media di Parlimen hari ini (9 Oktober) berkata, pihaknya tidak menghasilkan sebarang bentuk dokumen tujuh pemain warisan itu.
“Di pihak kita tidak ada, apa dokumen yang kita hasilkan? Bila FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) kata ada pemalsuan dokumen, ia bukannya maksudkan dokumen daripada kita, tidak ada,” katanya dipetik Harian Metro.
Taraf kewarganegaraan 7 pemain warisan dibuat mengikut prosedur
Sebelum ini, beliau menjelaskan taraf kewarganegaraan tujuh pemain warisan itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, perkara itu selepas mempertimbangkan peruntukan dalam Perkara 19 dan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan Persekutuan.
Jelasnya, Seksyen 10(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 turut digunakan bagi memproses permohonan sijil kelahiran kepada tujuh pemain itu.
“Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan untuk menimbangkan, memproses dan membuat keputusan mengenai permohonan warganegara. Untuk membuat keputusan mengikut Perkara 19 ini ada tiga rukun.
“Yang pertama, pemohon kena bermastautin di sini dalam satu tempoh. Yang kedua, dia kena berkelakuan baik. Maknanya lulus tapisan keselamatan. Yang ketiga, pemahaman bahasa Melayu yang mencukupi. Kemudian bila disemak perkara-perkara itu, dipatuhi.
“Saya juga menggunakan Seksyen 20(1)(e) Jadual Kedua Bahagian 3 Perlembagaan yang memberi kuasa budi bicara kepada menteri untuk menganggap pemohon memenuhi tempoh bermastautin walaupun baru sehari berada di negara ini,” katanya lagi.
FIFA dedah asal usul datuk nenek 7 pemain warisan Harimau Malaya
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) telah mengeluarkan ‘motivated decision’ atau dokumen bukti yang menunjukkan bahawa tujuh pemain warisan Harimau Malaya tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia.
Menerusi keputusan laporan rasmi yang dikeluarkan oleh FIFA, badan induk bola sepak itu menjelaskan terdapatnya percanggahan antara dokumen yang dikemukan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan sijil kelahiran asal yang diperolehi FIFA.
Dokumen tersebut menunjukkan datuk atau nenek tujuh pemain itu tidak dilahirkan di negara ini.
Dalam laporan sama, FIFA turut memetik kenyataan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mengesahkan pihak berkuasa Malaysia tidak menerima sijil kelahiran asal untuk mengesahkan salasilah pemain-pemain warisan berkenaan.
Baca Artikel Berkaitan: FIFA Dedah Asal Usul Datuk Nenek 7 Pemain Warisan Bukan Dari Malaysia
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, X, Threads dan Instagram.