Ibu Hamil Kena Tahu! Apa Itu Anemia & Tips Mudah Atasinya Hanya Melalui Pemakanan
Jika tidak dirawat, anemia boleh memberikan kesan dan komplikasi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Bagi wanita yang sedang mengandung, fasa kehamilan bukanlah satu perkara yang mudah.
Kebanyakannya terpaksa menempuhi pelbagai cabaran sepanjang tempoh tersebut mengikut keadaan individu itu sendiri.
Selain morning sickness, antara isu paling biasa dihadapi adalah anemia atau paras hemoglobin (Hb) berada pada kadar yang rendah.
Keadaan ini kadangkala merunsingkan apatah lagi jika pelbagai cara telah dilakukan untuk meningkatkan paras Hb tersebut.
Apa Itu Anemia?
Sebenarnya pelbagai jenis anemia. Namun, jenis anemia yang paling biasa berlaku di fasa kehamilan adalah anemia kekurangan zat besi.
Ini bermaksud badan tidak mempunyai zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin iaitu sejenis protein penting dalam sel darah merah yang membawa oksigen ke dalam badan.
Ketika fasa kehamilan, keperluan zat besi meningkat disebabkan perkembangan isi padu darah dan keperluan janin yang semakin berkembang.
Klasifikasi Anemia Buat Wanita Hamil
Kebiasaannya, anemia ketika kehamilan berlaku apabila paras hemoglobin kurang daripada 11g/dL.
Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menggariskan klasifikasi anemia mengikut paras hemoglobin dalam darah.
- Paras normal: Hemoglobin berada pada paras lebih 11.0g/dL
- Anemia ringan: Hemoglobin pada kadar 10.0 hingga 11.0 g/dL
- Anemia sederhana: Hemoglobin pada kadar 7.9 hingga 10.0 g/dL
- Anemia teruk: Hemoglobin kurang daripada 7.0 g/dL
Tanda-Tanda Anemia Ketika Hamil
Memetik laman Hospital Pantai dan Hello Doktor, antara tanda seseorang itu mengalami anemia adalah seperti:
- Keletihan atau berasa letih atau lebih lemah dari biasa walaupun dah berehat secukupnya.
- Sesak nafas
- Kulit, bibir dan kuku menjadi pucat
- Degupan jantung laju atau tidak teratur
- Pening atau sakit kepala
- Tangan dan kaki sejuk
- Susah untuk fokus dan mudah marah
- Keinginan untuk makan ais atau bahan bukan makanan
Kesan Anemia Kepada Ibu Hamil & Bayi Dalam Kandungan
Jika tidak dirawat, anemia boleh memberikan kesan dan komplikasi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan.
Antara kesan tersebut adalah kelahiran pramatang atau bayi yang dilahirkan mempunyai berat badan yang rendah.
Lebih teruk, ia boleh meningkatkan risiko kematian ibu dan bayi dalam kandungan atau si ibu berisiko mengalami kemurungan selepas kelahiran.
Cara Semulajadi Tingkatkan Pengambilan Zat Besi & Tambah Darah Dalam Badan
Selain dari pengambilan pil zat besi dan vitamin C yang boleh menjadi penggalak kepada penyerapan, pemakanan harian kita juga boleh membantu meningkatkan paras zat besi dalam badan.
Ibu hamil hanya perlu mengambil makanan ini dan masukkan dalam diet harian untuk mengembalikan Hb kepada paras yang normal.
Enam makanan tersebut adalah:
#1 Daging Merah
Tahukah anda, daging merah merupakan makanan tambah darah yang paling baik.
Ini kerana zat besi dari sumber daging merah seperti lembu atau kambing mudah diserap ke dalam tubuh berbanding makanan yang lain.
Pengambilan daging merah adalah cara paling mudah untuk mengatasi masalah anemia ketika mengandung.

#2 Hati Ayam
Menurut laman Hello Doktor, pakar pemakanan berpendapat hati ayam boleh membantu menambah kepekatan darah dalam tubuh badan manusia.
Ia sekaligus boleh membantu ibu hamil mengatasi masalah anemia.
Namun, organ dalaman haiwan tidak digalakkan untuk diambil dengan kadar yang kerap memandangkan ia tidak baik untuk kesihatan.
#3 Kerang
Buat peminat seafood, pastinya ini menjadi berita baik buat anda. Kerang merupakan makanan laut popular yang boleh mengatasi masalah anemia atau menambah darah.
Ini kerana ia kaya dengan zat besi yang boleh membantu pembentukan darah. Bukan itu sahaja, ia juga baik untuk meningkatkan tahap kolestrol dalam badan.
#4 Sayur-Sayuran
Bukan hanya sekadar makanan darat dan makanan laut, sayur-sayuran juga kaya dengan zat besi yang dilihat boleh mengatasi masalah anemia.
Antara sayuran yang popular dan sering diperkatakan adalah bayam dan brokoli.
Bayam merupakan sayur yang paling bagus berbanding sayur yang lain kerana kandungan zat besinya yang amat tinggi iaitu sekitar 2.7 mg zat besi bagi setiap 100 gram bayam.
Brokoli pula kaya dengan antioksidan dan mineral yang mampu melawan penyakit dan jangkita sekaligus melindungi kehamilan.
Selain itu, kubis dan kentang juga merupakan antara sayur-sayuran yang tinggi kadar zat besinya.

#5 Buah-Buahan
Kalau anda bukan peminat sayur, anda boleh menggantikannya dengan buah-buahan bagi menambahkan darah dalam badan.
Antara buah yang membantu mengatasi masalah anemia adalah pisang dan buah delima.
Buah pisang sememangnya kaya dengan zat besi dan ibu hamil disarankan untuk mengambil sekurang-kurangnya dua biji sehari bagi membantu menambah sel darah merah serta menghasilkan sel baharu selain membantu perkembangan janin.
Buah delima pula kaya dengan antioksidan menjadikan ia antara makanan tambah darah yang terbaik.

#6 Kekacang
Kalau anda enggan makan makanan di atas, ibu hamil boleh mengambil kekacang seperti walnut, kacang hitam atau kacang kuda untuk menambah darah.
Ini kerana kandungan zat besi dalam kekacang jenis ini amat tinggi dan boleh membantu mengatasi masalah anemia.
Contohnya seperti kacang kuda yang mengandungi 5 miligram zat besi bagi setiap cawan kacang kuda kukus manakala 4 miligram zat besi bagi secawan kacang hitam.
Bagi kacang walnut pula, selain boleh menambah darah, ia mengandungi banyak lagi nutrisi yang bermanfaat seperti vitamin E, l-arginine, alpha-lipoic acid (ALA).
BAKAL IBU, JOM SAMA-SAMA CEGAH ANEMIA! Kajian menunjukkan bahawa kejadian anemia semasa hamil meningkatkan pelbagai…
Posted by Nutritionistkkm on Wednesday 21 August 2024
Jadi buat ibu hamil yang mengalami anemia atau kekurangan darah merah, jangan mengalah terlebih dahulu.
Cuba cara ini untuk meningkatkan kembali paras hemoglobin dalam badan kepada tahap yang normal.
Baca Artikel Berkaitan:Â Ibu Hamil Cepat Rasa Lesu Dalam Rutin Harian? Ini Tips Tingkatkan Imun Badan
Baca Artikel Berkaitan:Â [Video] Asid Folik Bukan Hanya Untuk Wanita Hamil, Penting Bagi Kesihatan Otak & Banyak Lagi
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.


