Ini Sebab Kenapa Logo Maybank Diletakkan Pada Menara Merdeka 118
Maybank sebelum ini telah memeterai perjanjian penyewaan selama 21 tahun dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank di Kuala Lumpur ke Menara Merdeka 118.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Selain terkenal dengan keunikan dan kepelbagaian budaya, Malaysia juga dikenali dengan bangunan pencakar langit.
Jika sebelum ini Menara Berkembar Petronas (KLCC) sinonim dengan Kuala Lumpur, kini Menara Merdeka 118 juga menjadi tumpuan orang ramai.
Manakan tidak, mercu tanda negara yang memiliki ketinggian 678.9 meter merupakan menara kedua tertinggi di dunia selepas Burj Khalifa di Dubai.
Namun sejak semalam (18 September), kecoh di media sosial mengenai pemasangan logo institusi perbankan, Malayan Banking Berhad (Maybank) di luar menara tersebut.
Ramai Persoal Pemasangan Logo Maybank Pada Menara Merdeka 118
Menerusi hantaran tular di Threads, seorang pengguna meluahkan rasa tidak puas hati mengenai pemasangan logo Maybank pada mercu tanda negara itu.
Jelas pengguna berkenaan menerusi hantaran di akaun @mohammadazrin_typewritter, dia tidak meminati tindakan tersebut malah menganggap ia boleh menghilangkan identiti bangunan berkenaan.
Bukan itu sahaja, dia turut membuat perbandingan dengan menara KLCC yang dimiliki Petronas yang dilihat tidak pernah meletakkan logo mereka pada menara berkenaan.
Bimbang Akan Dikenali Sebagai Bangunan Maybank, Bukan Lagi Merdeka 118
Pengguna tersebut turut berkongsi sebab di sebalik nama Merdeka 118 pada menara berkenaan.
“Pertama, sebab reka bentuk bangunan ini adalah model Tunku Abdul Rahman (PM1) laungkan Merdeka di Stadium Merdeka.
“Kedua, sebab menara ini sebelah Stadium Merdeka. Ini adalah identiti kebangsaan.
“Kehilangan identiti tu macam mana? Nanti lama-lama orang ingat menara Maybank bukan Merdeka 118 lagi dah,” kongsinya lagi.
View on Threads
Pengguna Media Sosial Beri Pendapat Masing-Masing, Ramai Yang Setuju Dengan Kenyataan
Bukan hanya pengguna itu sahaja namun ramai pengguna media sosial lain yang dilihat tidak bersetuju dengan pemasangan logo pada Menara Merdeka 118.
Ada yang menganggap pemasangan papan tanda itu ‘mencacatkan’ malah dianggap tidak kena dengan imej menara berkenaan.
Namun, ada juga yang dapat menerima pemasangan logo berkenaan yang dilihat bukanlah isu besar.
“Logo Maybank dah start letak dekat PNB118 tapi hodoh kejadiannya,” kata seorang netizen.



Ada juga yang tertanya-tanya mengapa logo Maybank boleh tertera di puncak menara kedua tertinggi di dunia itu.
Maybank Penyewa Utama Menara Merdeka 118, Diberi Hak Penamaan & Papan Tanda
Untuk info, Maybank sebelum ini telah memeterai perjanjian penyewaan selama 21 tahun dengan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memindahkan ibu pejabat korporatnya dari Menara Maybank di Kuala Lumpur ke Menara Merdeka 118.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Khairussaleh Ramli, Maybank secara keseluruhannya menyewa 33 tingkat bangunan tersebut bagi menempatkan seramai 5,900 pekerja.
Malah, anak syarikat Maybank yang terpilih juga dipindahkan ke Menara Merdeka 118 antaranya seperti:
- Maybank Islamic
- Maybank Investment Bank
- Maybank Asset Management.
Sebagai penyewa utama, Maybank turut ditawarkan hak penamaan serta papan tanda ke atas bangunan tersebut.
Kesemua pejabat sedia ada di Menara Maybank akan dipindahkan ke bangunan baharu secara berperingkat mulai suku pertama 2025.
Namun, cawangan KL Main di Menara Maybank akan kekal dan tiada perubahan kepada pelanggan yang mempunyai akaun di cawangan tersebut.
Maybank akan membayar sewa kasar bulanan permulaan sebanyak RM10.60 sekaki per segi (psf) bagi enam tahun pertama dengan pelarasan seterusnya untuk kos inflasi dengan jumlah penghunian sebanyak 650,000 kaki persegi.
Sebagai info, Menara Merdeka 118 dimiliki sepenuhnya oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) melalui anak syarikatnya, PNB Merdeka Ventures Sdn Bhd.
Baca Artikel Berkaitan: Menara Merdeka 118 Baru Sahaja Dirasmikan YDPA, Ini 8 Fakta Menarik Yang Anda Patut Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Teruk Dikecam, Wanita Rusia Panjat Menara 118 Mohon Maaf Kepada Rakyat Malaysia
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



