[Video] Doktor Ini Kongsi ‘Vitamin’ Sebenar Yang Perlu Diambil Sebelum Masuk Usia 40-an
Menurut Dr Malar, kesemua vitamin inilah yang perlu dicari sebelum usia 40-an namun buat mereka yang sudah terlebih usia, masih belum terlambat lagi.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Tidak kira tua atau muda, kesihatan merupakan perkara penting dalam kehidupan setiap individu.
Manakan tidak, ia mempengaruhi tenaga dan emosi seseorang dalam melakukan aktiviti seharian.
Namun seiring dengan peredaran masa, kualiti kesihatan kebanyakan individu akan merosot lebih-lebih lagi buat mereka yang bakal mencecah usia 40-an.
Pernah tak korang terfikir bagaimana cara terbaik untuk mengekal dan meningkatkan kualiti kesihatan pada usia sebegini?
Doktor Kongsi 5 Jenis Vitamin Yang Perlu Dicari Buat Mereka Yang Bakal Cecah Usia 40-an
Menurut doktor perubatan yang juga merupakan pempengaruh, Dr Malar Santhi, terdapat lima jenis ‘vitamin’ yang perlu dicari oleh seseorang sebelum memasuki usia 40 tahun.
Menerusi perkongsiannya dalam satu video di Facebook, vitamin yang dinyatakan bukanlah vitamin yang biasa didengar namun ia disifatkan sesuatu yang unik.
Lima jenis vitamin yang diperlukan adalah:
#1 Senaman
Jelas Dr Malar, senaman yang perlu dibuat bukanlah bertujuan untuk kurus atau untuk fit.
Namun, vitamin senaman ini adalah sebagai alat untuk melatih tulang dan otot agar sentiasa menerima rangsangan.
“Kalau makin berumur, anda semua makin tidak bergerak dan tidak bersenam contohnya nak buka kipas pun pakai remote, nak ambil air pun minta tolong anak.
“Bila kita makin kurang bergerak, tulang akan mendapat rangsangan atau tulang dapat satu mesej yang dia ingat tidak penting lagi untuk tubuh kita.
“Sebab itu kita perlu banyak bersenam dan bergerak dengan lebih banyak apabila kita berumur supaya tulang terus meminta kalsium dan vitamin daripada darah dan perut untuk mengekalkan kepadatan tulang tersebut yang kita panggil ketumpatan tulang (bone density),” katanya.
Jelasnya lagi, seseorang itu juga dapat mengelakkan keadaan yang dipanggil Osteoporosis yang berlaku apabila ketumpatan tulang menjadi lemah apabila bersenam dan bergerak dengan lebih banyak.
#2 Vitamin D
Vitamin kedua yang perlu dicari sebelum usia masuk ke 40 tahun adalah vitamin D yang juga amat penting untuk kesihatan tulang.
Ini kerana tanpa kehadiran Vitamin D, tulang tidak dapat membina sel serta tidak boleh menjadi lebih kuat dan padat.
Terangnya lagi, individu boleh mendapat vitamin D dengan lebih mudah hanya melalui cahaya matahari iaitu dengan mendedahkan diri selama 15 minit setiap pagi.
Menurut laman Public Health Malaysia (PHM), waktu terbaik matahari menjadi sumber vitamin D ialah sebelum jam 10 pagi.
Namun buat korang yang tidak berpeluang untuk mendedahkan diri di bawah cahaya matahari, korang boleh sahaja mengambil makanan yang tinggi vitamin D seperti ikan berlemak seperti salmon dan sardin serta kuning telur.
Perasan tak… bila kita duduk sekejap bawah cahaya matahari pagi, badan rasa lain macam? Lebih segar. Lebih…
Posted by Public Health Malaysia on Saturday 3 May 2025
#3 Kurangkan Makan Karbohidrat
‘Vitamin’ ketiga yang dimaksudkan oleh Dr Malar adalah dengan mengurangkan makananan karbohidrat seperti nasi, roti canai, capati dan roti.
“Makin kita berumur, kita akan kurang keperluan tenaga sebab kita dah tak membesar, kita dah tak buat kerja lasak seperti orang muda.
“Sangat penting kita kurangkan jumlah makanan dan tenaga yang kita ambil supaya ia tidak ditukar menjadi lemak.
“Paling mudah formulanya, semakin kita mencapai umur 40 tahun, kurangkan nasi dalam pinggan, kurangkan pengambilan karbohidrat,” jelasnya.
#4 Pengambilan Air Kosong
Dr Malar turut menasihatkan agar individu ‘mengajar’ lidah dengan mengambil air kosong sebelum memasuki usia 40 tahun.
Ini kerana pengambilan air kosong penting untuk hidrasi di dalam badan seseorang.
“Sebelum masuk usia 40, tolak tepi minuman berkalori tinggi, cari air kosong,” katanya.

#5 Bersyukur
Kongsi Dr Malar lagi, ‘vitamin’ kelima yang perlu diambil sebelum usia mencecah 40-an adalah bersyukur.
Ini kerana jelasnya vitamin ini amat penting untuk kesihatan mental.
“Bila masuk usia 40, kita akan rasa tenaga kita makin berkurang, kecantikan tak macam dulu. Jadinya bersyukur dengan hidup anda dan rezeki yang halal.
“Bersyukur dengan apa yang kita ada supaya dengan adanya kesyukuran, kita dapat happy je dalam hidup ini dan dapat mengekalkan kesihatan mental.
Tegas Dr Malar, kesemua vitamin inilah yang perlu dicari sebelum usia 40-an namun buat mereka yang sudah terlebih usia, masih belum terlambat lagi.
“Kalau dah terlebih umur 40, inilah masa paling lambat untuk anda cari kesemua vitamin yang saya dah sebut,” jelasnya lagi.
5 VITAMIN PENTING SEBELUM CECAH USIA 40 TAHUN #CelotehDrMalar #tipsDrMalar
Posted by Celoteh Dr Malar on Wednesday 20 September 2023
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Betul Ke Minyak Punca Kolestrol? Ini Penjelasan Dr Malar
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Betul Ke Penapis Air Punca Badan Jadi Lemah? Ini Penjelasan Dr Malar
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



