[Video] Tiada Pewaris Sambung Legasi, Kedai Jam Legend Di Kelantan, Swee Hing Henti Operasi Selepas 70 Tahun
Jelas Siew Wan, promosi jualan penutupan kedai jam miliknya mula tular selepas seorang pempengaruh berkongsi tentang lelongan tersebut di media sosial.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Dunia perniagaan nyata mempunyai cabarannya tersendiri. Antara yang paling sukar dan biasa didengar adalah mendapat pendapatan yang stabil.
Ini kerana kos operasi yang semakin meningkat boleh mempengaruhi sumber pendapatan sedia ada.
Apatah lagi pada masa kini, peniaga terpaksa bersaing tanpa sempadan sebagai contoh platform beli-belah dalam talian (online) yang mendedahkan pengguna kepada pilihan lebih berpatutan dan murah.
Selain itu, ketiadaan waris atau penyambung legasi perniagaan juga boleh menjadi cabaran kesinambungan perniagaan tersebut.
Terpaksa Tutup Selepas 70 Tahun Operasi Kerana Ketiadaan Waris
Semalam (4 Jun), sebuah kedai jam tangan legenda di Kota Bharu, Kelantan yang diusahakan oleh sepasang suami isteri warga emas menjadi tular di media sosial selepas mengumumkan penutupan operasi kedai tersebut.
Kedai jam tangan Swee Hing yang diusahakan oleh Tan Siew Wan dan suaminya, Mah Weng Kiong mula beroperasi sejak tahun 1955 terpaksa ditutup memandangkan tiada pewaris yang mahu mewarisi perniagaan mereka.
“Kami ada tiga anak, namun mereka tidak mahu mewarisi perniagaan ini. Terpaksalah lelong beribu utas jam tangan kerana kedai berusia 70 tahun ini akan ditutup sepenuhnya hujung bulan nanti,” kata Siew Wan yang dipetik dari Sinar Harian.
Perniagaan Jam Dah Jadi Rutin, Pelanggan Turut Luah Rasa Sedih
Jelas wanita yang berusia 75 tahun itu, dia dan suaminya mengakui keputusan itu adalah sukar memandangkan perniagaan tersebut sudah jadi rutin seharian mereka selain sumber pendapatan utama.
Namun, faktor usia menyebabkan dia dan suaminya yang berusia 83 tahun itu membuat keputusan untuk menutup premis mereka di Jalan Buluh Kubu, Kota Bharu walaupun ada pelanggan yang sedih dengan penutupan tersebut.
“Kami dan pelanggan sudah seperti ahli keluarga kerana ada dalam kalangan mereka yang sejak dari zaman datuk, hinggalah ke cucu dan cicit, membeli dan membaiki jam di sini.
“Namun, ini keputusan terbaik kerana anak-anak kami sudah mempunyai kerjaya masing-masing. Walau sedih macam mana sekalipun, kami tetap akan tutup hujung bulan ini,” jelasnya.
Buat Promosi Jualan Penutupan Sebelum Aidilfitri Lalu, Tular Selepas Dipromosikan Influencer
Tambah Siew Wan lagi, dia dan suami sudah mula membuat promosi jualan penutupan dengan pemasangan kain rentang sejak sebelum Hari Raya Aidilfitri yang lalu.
Namun, ia mula menjadi tular selepas seorang pempengaruh berkongsi tentang lelongan tersebut di media sosial.
Sejak daripada itu, ramai yang tidak melepaskan peluang dan membanjiri kedainya seawal jam 10 pagi bagi mendapatkan jam dengan harga yang berpatutan.
Malah, ada juga yang datang membaiki jam dan menukar bateri sehingga Weng Kiong tidak menang tangan.
“Setakat ini, ribuan utas jam tangan, jam dinding, dan jam loceng telah habis dijual. Rasanya tidak sampai hujung bulan Jun pun kedai ini sudah boleh ditutup,” jelasnya.
Pempengaruh Nekad Promosi Kedai Jam Selepas Nampak Kain Rentang
Dalam pada itu, seorang pempengaruh media sosial yang juga seorang pelanggan, Nur Azwaadiey Rosli menjelaskan dia pada mulanya ternampak kain rentang jualan penutupan tersebut serta berhasrat mahu membeli jam sebagai kenangan.
“Tetapi selepas berbual dengan tauke kedai, saya ambil keputusan untuk merakam video dan memuat naik di media sosial.
“Tidak sangka pula ia tular hingga kedai ini diserbu orang ramai dari jauh dan dekat, kebetulan pula waktu cuti sekolah.
“Saya sendiri pada mulanya hanya mahu beli satu, tetapi disebabkan jam berjenama dijual pada harga murah, saya beli 10 utas termasuk jam tangan dan jam dinding. Harga paling mahal RM500 dan paling murah RM20,” katanya.
@wadieybobby Setelah lebih 60 tahun beroperasi, kedai jam ini akhirnya akan ditutup selepas tidak ada yang akan meneruskan legasi ini. #vlogbobby #kedaijamantik #kotabharu
♬ original sound – Wadiey Bobby – Wadiey Bobby
Tonton video penuh [DI SINI]
Jam Di Kedai Swee Hing Sudah Habis Terjual
Namun dalam hantaran terbaharu Azwaadiey di TikTok @wadieybobby, dia mendedahkan kesemua jam di kedai tersebut telah habis terjual.
Malah, dia turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pelanggan yang telah datang ke premis tersebut melariskan jualan pasangan warga emas itu.
Pada masa yang sama, Azwaadiey turut memohon maaf sekiranya ada individu yang berniat mahu datang ke kedai tersebut memandangkan stok jam telah habis terjual.
Tonton video penuh [DI SINI]
Baca Artikel Berkaitan: Viral Kerana Bergaduh Dengan Pelanggan Mabuk, Kisah Pemilik Kedai Runcit Ini Beri Inspirasi
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Go Shop ‘Tutup Kedai’, Ramai Kru Menangis Tahan Sebak Pada Hari Terakhir
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.