Ramai Yang Biasa Buat, Ini Hukum Tapau Lauk Kenduri Atau Majlis
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut berpendapat yang sama dengan pendakwah, Ustaz Elyas Ismail dan Ustaz Azhar Idrus tentang hukum tapau lauk kenduri.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Jika ditanya pada individu, pasti ramai yang akan teruja untuk menghadiri kenduri kahwin atau mana-mana majlis keramaian.
Bukan hanya sekadar dapat berjumpa rakan dan sanak saudara, tapi ada yang teruja untuk mencuba menu yang dihidangkan apatah lagi, segalanya disediakan percuma buat pengunjung.
Kadangkala, ada segelintir tetamu yang suka membungkus lauk kenduri untuk dibawa pulang ke rumah.
Mungkin nampak biasa tetapi pernah tak anda terfikir hukum membungkus lauk kenduri?
Haram Bungkus Lauk Kenduri Jika Tidak Diizinkan Tuan Rumah
Baru-baru ini, pendakwah bebas, Ustaz Elyas Ismail tampil memberi penjelasan berhubung hukum seseorang itu tapau lauk di kenduri.
Tegas beliau, haram hukumnya jika seseorang itu membungkus lauk secara diam-diam tanpa izin tuan rumah.
“Namun, andai tuan rumah mengizinkannya dan dia pula siap sediakan plastik dan bekas, maka tiada masalah untuk kita tapau makanan kenduri.
“Jika tuan rumah tidak izinkan dan kita pula mencedok (makanan) buat tak tahu dan balik begitu sahaja, (boleh) jadi haram nanti,” jelasnya.
Malah, Ustaz Elyas turut mengemukakan dalil bagi menerangkan lagi hukum tersebut.
“Firman ALLAH SWT: ‘Dan janganlah kamu memakan harta antara kamu dengan jalan yang batil dan (janganlah) kamu memberi harta itu kepada para hakim dengan niat untuk mendapatkan sebahagian daripada harta orang lain dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahui. (Surah al-Baqarah: 188)’.
“Berdasarkan ayat itu, jelas memang salah (perbuatan tapau makanan kenduri kerana) tidak dapat izin tuan rumah.
“Jangan buat begitu kerana ia melibatkan maruah diri, selain agama turut melarang kita daripada mengambil harta orang tanpa keizinan,” terangnya.
Harus Kalau Tuan Rumah Dah Bagi Keizinan
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan turut memberi pendapat yang sama dengan pendakwah berkenaan.
Menerusi penjelasan di laman web rasmi mereka, hukumnya adalah haram jika perbuatan itu tidak mendapat kebenaran daripada tuan rumah walaupun jumlah lauk yang dibungkus hanyalah sedikit.
Namun sekiranya tuan rumah telah memberi keizinan, maka hukumnya adalah harus untuk seseorang itu membawa balik makanan.
“Oleh yang demikian, sebaiknya tetamu perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah atau tuan majlis untuk menapau makanan agar kita terhindar daripada memakan makanan yang haram oleh kerana tuan rumah tidak redha akan perbuatan tersebut. Wallahu A’lam,” terang mereka.
Perkara Yang Sama Turut Terpakai Dalam Penganjuran Majlis Di Masjid
Hukum ini juga turut terpakai kepada mana-mana majlis contohnya seperti majlis di masjid.
Perkara itu dijelaskan oleh penceramah dan pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menerusi video ceramahnya.
“Kalau makanan itu bersyarat, kena ikut syarat. Kalau makanan itu tidak ikut syarat, semua boleh makan awal, boleh makan kemudian.
“Contoh, makanan untuk orang Qiamulail sahaja, dia tidak Qiamulail, haram ambil. Ada orang dah makan di masjid, ambil satu, bawa balik satu, haram.
“Kata ulama, mesti kena ada izin daripada ahli jawatankuasa masjid yang menjaga atau benda (makanan) itu sudah ditinggalkan, mengelak daripada rosak, boleh ambil.
“Ini tak, makan dah sebungkus nasi minyak, bungkus lagi, tak boleh, kena minta izin,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Makcik Di Kenduri Kahwin Mahu ‘Tapau’ Lauk Siap-siap Ketika Majlis Belum Bermula
Baca Artikel Berkaitan: Makanan Kenduri Jadi Tak Cukup, MUA Nasihat Jangan Sesuka Hati Ajak Individu Lain Ke Majlis Kahwin Orang
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.