Now Reading
[Video] Majlis Kahwin Muslim Hari Ini Tak Macam Islam, Dengan Pakai Seksinya – Bekas Pelakon

[Video] Majlis Kahwin Muslim Hari Ini Tak Macam Islam, Dengan Pakai Seksinya – Bekas Pelakon

Bekas pelakon, Azuan Mazlan turut mempersoal sama ada ibu bapa pasangan pengantin tidak menegur anak-anak mereka yang mengadakan majlis persandingan seperti itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Setiap individu pastinya ingin mengabdikan kenangan bersama yang tersayang terutama jika melibatkan momen penting seperti majlis perkahwinan.

Ini kerana majlis perkahwinan merupakan antara perkara yang mungkin hanya dilaksanakan sekali seumur hidup bagi seseorang.

Maka tidak hairanlah jika ada pasangan akan menampilkan sesuatu yang berbeza semasa majlis persandingan mereka, namun adakah kelainanan yang dilakukan itu perlu sehingga mengetepikan tentang hukum agama Islam?

Azuan Mazlan tegur cara kahwin orang Islam tak seperti Islam

Baru-baru ini, bekas pelakon, Azuan Mazlan tampil menegur umat Islam di Malaysia yang ketika ini dilihatnya mengadakan majlis perkahwinan tanpa mengikut amalan agama Islam.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @rukun_islam_5, dia mendakwa umat Nabi Muhammad SAW terutamanya golongan selebriti hari ini mengadakan majlis persandingan seperti orang bukan Islam.

“Hari ini kalau kita lihat, kita dah jauh daripada kehidupan Nabi Muhammad SAW. Perkahwinan ini salah satunya untuk mendapatkan reda Allah, bukan untuk kita dapat kemurkaan daripada Allah.

“Betapa jahilnya si suami atau si bakal suami yang mempertontonkan isteri yang perlu dia lindungi daripada api neraka dan juga mata-mata orang yang bukan halal untuk melihat pasangannya,” katanya.

Cara sebenar orang Islam kahwin tiada pelamin, muzik, tarian dan pakaian seksi

Azuan turut mempersoal sama ada ibu bapa pasangan pengantin tidak menegur anak-anak mereka yang mengadakan majlis persandingan seperti itu.

Menurutnya, cara orang Islam yang sebenarnya berkahwinan adalah tidak memperagakan pengantin dengan pemakaian yang seksi, tiada pelamin, muzik-muzik, tarian serta pergaulan tanpa batas.

“Hari ini kita kahwin cara orang Yahudi, Nasara, Majusi, dengan pakaian seksi, dengan tutup muka tirai-tirai macam itu, itu bukan cara Islam! Cara orang Islam tiada pun pelamin, dia tidak memperdagangkan isteri untuk dilihat tubuh badan mereka di khalayak ramai.

“Mak bapa tak akan tak bagitahu, mak bapa pun jahil ke ilmu agama? Sampai bila nak jahil, pergilah cari ilmu agama,” katanya.

Di akhir perkongsiannya, dia meminta agar umat Islam kembali ke panggal jalan dengan mengangkat agama Allah dan hidup dengan mencontohi kehidupan Baginda yang menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa serta maksiat.

@rukun_islam_5 Kenapa perkahwinan orang islam hari ini tak macam kehidupan orang islam? #fyp #fypシ゚viral #viral #fypp #foryou #foryourpage #tiktokmalaysia #tiktokindonesia #creatorsearchinsights ♬ Very Sad – Enchan

Tak salah adakan majlis perkahwinan asalkan tidak langgar hukum syarak

Sementara itu, menurut Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, mengadakan majlis perkahwinan berdasarkan budaya dan adat adalah dibenarkan selagi tidak melanggar hukum syarak.

Berikut hukun syarak yang ditetapkan:

  1. Islam membenarkan persandingan dengan meletakkan syarat disandingkan secara tertutup (di hadapan keluarga terdekat) dan kanak-kanak yang belum mengerti tentang aurat. Jika diadakan secara terbuka diharuskan, bertujuan pemberitahuan dan memperkenalkan pengantin kepada para jemputan dan kaum keluarga dengan syarat kesemua pihak, sama ada pengantin atau para jemputan menutup aurat kecuali perhiasan yang biasa dilihat, tidak berlebihan berandam, berhias untuk dipamerkan (tabarruj).
  2. Tiada upacara syirik dan khurafat seperti penggunaan beras kunyit pada upacara persandingan yang bertujuan memberi semangat kepada pengantin berdasarkan kekuningan semangat padi dan penggunaan jampi mentera untuk menghalau hantu syaitan yang mungkin mengganggu majlis itu.
  3. Tiada percampuran dan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, sebaik-baiknya dibuat pengasingan tempat makan jemputan lelaki dan wanita.
  4. Tiada pembaziran dan tiada aktiviti-aktiviti yang melalaikan seperti mengadakan kenduri walimah secara besar-besaran dan bersifat mewah dan mengabaikan perintah Allah SWT dengan meninggalkan solat atas alasan sibuk melayan para tamu yang hadir.
  5. Tiada hiburan yang berlebihan dan melampau, bahkan yang lebih buruk lagi kadangkala terdapat juga yang menganjurkan joget lambak.

Ramai setuju dengan teguran yang diberikan oleh Azuan

Memindai ke ruangan komen pula, rata-rata pengguna media sosial bersetuju dengan teguran yang diberikan oleh Azuan.

Kebanyakan mereka juga memuji Azuan kerana berani tampil di media sosial dan menegur umat Islam berhubung perkara terbabit.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd