Now Reading
Peguam Mahu Siasatan Kes Simbah Asid Faisal Halim Diperhebat

Peguam Mahu Siasatan Kes Simbah Asid Faisal Halim Diperhebat

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan siasatan kes Faisal Halim masih diteruskan walaupun diklasifikasi sebagai NFA.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Masihkah anda ingat tragedi yang melibatkan pemain sayap kebangsaan Mohamad Faisal Abdul Halim atau Faisal Halim yang disimbah asid di sebuat pusat beli belah yang terletak di Kota Damansara pada 5 Mei 2024?

Walaupun telah setahun berlalu, namun si pelaku masih belum ditemui sehingga kini.

Malah semalam (8 Mei), peguam yang mewakili Faisal, Nik Zarith Nik Moustpha memaklumkan bahawa kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Jelas Nik Zarith, perkara itu dimaklumkan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) melalui surat bertarikh 18 Februari yang menyatakan pihak polis tidak menemui sebarang petunjuk yang boleh mengaitkan mana-mana individu sebagai suspek.

Namun, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjelaskan siasatan kes tersebut masih diteruskan walaupun ia diklasifikasikan sebagai NFA.

Peguam Mahu Pihak Polis Perhebatkan Siasatan Kes Faisal Halim

Terbaharu, Nik Zarith yang mewakili bintang Selangor FC itu menggesa agar siasatan yang melibatkan anak guamnya diperhebatkan lagi.

Nik Zarith menyambut baik kenyataan polis bahawa siasatan tetap diteruskan dan berharap agar ia dapat diselesaikan dengan segera.

“Pada saya kita berlandaskan kepada surat daripada pihak Peguam Negara yang menyatakan sebagai NFA, tetapi kita alu-alukan perkara itu jika betul disiasat.

“Kalau betul dia (polis) siasat kita minta diperhebatkan lagi siasatan dan penting juga untuk ada engagement (libat urus) dengan pihak kami,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Selangor FC Harap Faisal Halim Dapat Keadilan Yang Sewajarnya

Dalam pada itu, Selangor FC (SFC) berharap agar Faisal yang juga mesra disapa dengan gelaran Mickey mendapat keadilan yang sewajarnya ekoran tragedi tersebut.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Johan Kamal Hamidon, pihaknya sentiasa memberi sokongan penuh kepada Faisal dalam mengharungi dugaan yang hampir membunuh kariernya sebagai pemain bola sepak.

“Kami percaya peguam yang mewakili Faisal sudah memberikan penjelasan sepenuhnya dan maklumat yang mencukupi dalam sidang media berhubung perkembangan terkini mengenai siasatan Faisal.

“Kami tiada komen lanjut dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi tindakan selanjutnya. Daripada pihak kelab, kami memberi sokongan penuh kepada Faisal.

“Kami harapkan keadilan sewajarnya (untuk Faisal) dan kami sentiasa doakan Faisal kembali ke prestasi terbaiknya demi kepentingan kelab dan skuad kebangsaan,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

Status NFA Hanyalah Mengikut SOP

Terdahulu, pihak polis menjelaskan kes tersebut dikategorikan sebagai NFA hanyalah prosedur operasi standard (SOP) dalam siasatan jenayah khusus apabila tiada bukti kukuh yang dapat mengaitkan suspek.

Jelas Mohd Shuhaily, tiga suspek yang ditahan sebelum ini telah dibebaskan selepas siasatan mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran palsu.

Untuk info, dalam kejadian tragis itu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat hingga terpaksa menjalani beberapa siri pembedahan dan rawatan lanjut.

Baca Artikel Berkaitan: Organ Dalaman Boleh Rosak! Doktor Jelaskan Jenis & Kesan Melecur Tahap 4 Seperti Yang Dialami Faisal Halim

Baca Artikel Berkaitan: Kes Simbah Asid Faisal Halim: Polis Minta Berhenti Sebar Rakaman CCTV


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitterThreads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd