MARA Utamakan Pelajar Cemerlang SPM Yang Hafaz Al-Quran Biayai Pengajian Di Luar Negara
Menariknya, penawaran pembiayaan tersebut tidak terhad kepada pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada Khamis (24 April) lalu telah berlangsungnya pengumuman keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi calon tahun 2024.
Apa yang menjadi perhatian, seramai 14,179 calon memperoleh keputusan cemerlang dengan Gred A+, A dan A- dalam semua subjek dan ia merupakan pencapaian terbaik sejak tahun 2013.
Buat mereka yang berjaya, sudah pastilah impian untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi khususnya di luar negara menjadi lebih mudah dengan keputusan cemerlang tersebut.
Pelajar Cemerlang Yang Hafaz Al-Quran Akan Diberi Keutamaan
Namun, Majlis Amanah Rakyat (MARA) menjelaskan akan mengutamakan pelajar cemerlang SPM yang berjaya menghafaz Al-Quran dalam memberi pembiayaan.
Menurut Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, pembiayaan tersebut membolehkan mereka yang cemerlang menyambung pelajaran ke luar negara.
“Pelajar cemerlang SPM yang hafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan oleh MARA untuk dibiayai pengajian mereka ke luar negara dalam bidang strategik profesional,” katanya di Facebook.
Inisiatif Diperluas Kepada Pelajar Huffaz Dari Sekolah Lain
Tambah Dr Asyraf Wajdi menerusi ruangan komen, beliau telahpun meminta Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA memasukkan inisiatif tersebut sebagai polisi penawaran pembiayaan pada tahun ini.
Menariknya, ia tidak terhad kepada pelajar cemerlang Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab tetapi juga kepada pelajar Huffaz daripada:
- Sekolah Berasrama Penuh (SBP)
- Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA)
- Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK)
- Maahad Tahfiz di bawah kerajaan negeri mahupun persendirian.
“Matlamatnya untuk negara melahirkan lebih ramai Huffaz profesional dalam pelbagai bidang strategik berkepentingan negara pada masa depan.
“Insya-Allah negara akan bertambah hebat sekiranya kepimpinan masa depan dalam pelbagai sektor, bidang profesional dan industri dipelopori dan diketuai oleh mereka yang menjiwai, memahami dan menghayati Al-Quran.
“Inilah yang dimaknai dengan konsep Ulul-Albab yang mendepani ummah terbilang (Khaira Ummah),” tulisnya.
Malah, inisiatif itu juga adalah selari dengan Dasar Tahfiz Negara seperti yang dihasratkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Turut Pertimbang Cadangan Pengguna Media Sosial, Tanya Soalan Yang Jelas Menunjukkan Mereka Faham Al-Quran
Perkongsian itu nyata mendapat sambutan baik daripada pengguna media sosial.
Pada masa yang sama, Dr Asyraf Wajdi turut memuji dan mempertimbangkan cawangan daripada seorang pengguna media sosial, Aizuddian Danian.
Jelas Aizuddin, pelajar bukan hanya perlu menghafaz Al-Quran semata-mata namun pihak MARA perlu mengajukan soalan yang menunjukkan bahawa mereka memahami mesej di dalam Al-Quran ketika sesi temuduga.
“Terima kasih atas idea yang bernas. Kami akan ambil maklum mengenai perkara ini,” jelasnya lagi.
Inisiatif yang diperkenalkan oleh Dr Asyraf Wajdi juga dilihat bertepatan dengan arahan yang pernah dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri yang meminta agar MARA melaksanakan program Ulul Albab di semua MRSM.
Jelas Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, matlamat utama adalah untuk memastikan kesemua 57 MRSM yang mempunyai kapasiti seramai 37,000 orang pelajar dapat melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan jiwa berlandaskan Al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang telah ditetapkan.
Pelajar cemerlang SPM yang hafaz Al-Quran akan diberikan keutamaan oleh MARA untuk dibiayai pengajian mereka ke luar negara dalam bidang-bidang strategik profesional.
Posted by DR ASYRAF WAJDI DUSUKI on Monday 28 April 2025
@drasyrafwajdi Pelajar Cemerlang SPM Hafaz Al-Quran Diutamakan Untuk Pembiayaan Luar Negara MARA Mulai tahun ini, pelajar cemerlang SPM yang juga Hafiz dan Hafizah Al-Quran akan diberikan keutamaan untuk pembiayaan pengajian ke luar negara dalam bidang strategik profesional di bawah Young Talent Development Programme MARA). Saya telah mengarahkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA untuk memasukkan dasar ini ke dalam polisi pembiayaan bermula tahun ini. Inisiatif ini bukan hanya untuk pelajar MRSM Ulul Albab, tetapi turut melibatkan pelajar Huffaz cemerlang dari SBP, SMKA, SABK, Maahad Tahfiz kerajaan negeri dan persendirian. Matlamatnya, kita mahu melahirkan lebih ramai Huffaz Profesional yang akan memimpin negara dalam pelbagai bidang strategik, berteraskan Al-Quran dan nilai Ulul Albab. Ini juga selaras dengan aspirasi Dasar Tahfiz Negara yang digagaskan oleh YAB TPM Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. InsyaAllah, kita sama-sama lahirkan kepada pengemudi tamadun manusia yang akan datang dan membina generasi Khaira Ummah yang cemerlang, gemilang dan terbilang. #MerakyatkanMARA #HidupKuMilikUmmah #MARAGebilang #BinaGenerasiUlulAlbab #FYP
♬ original sound – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki – Dr. Asyraf Wajdi Dusuki
Baca Artikel Berkaitan: Semua Institusi TVET MARA Akan Ditekankan Asas Agama & Fardu Ain – Dr Asyraf Wajdi
Baca Artikel Berkaitan: “Ilmu Saja Boleh Ubah Hidup Kita” – Asyraf Wajdi Bantu Pelajar Tular Tak Dapat Hadiri Ujian Kelayakan MRSM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.