Individu Narsisisme Digital Boleh Murung Kerana Ketagih Likes & View Di Media Sosial
Suka muat naik swafoto berulang kali, memaparkan gaya hidup mewah atau memperagakan kejayaan secara keterlaluan merupakan contoh narsisisme digital ini.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pernah tak korang jumpa individu-individu yang suka memuat naik gambar atau video di media sosial? Mesti pernah bukan? Bolah jadi rakan-rakan atau ahli keluarga sendiri.
Malah, ada juga individu yang gemar berkongsi kehidupan seharian kepada orang lain di dalam internet dengan niat untuk mendapatkan perhatian serta pengiktirafan. Kecenderungan sedemikian dipanggil sebagai narsisisme digital.
Suka muat naik swafoto berulang kali, memaparkan gaya hidup mewah atau memperagakan kejayaan secara keterlaluan merupakan contoh narsisisme digital ini tau.
Bilangan likes, jumlah tontonan dan pengikut jadi ukuran harga diri
Apa yang lebih membimbangkan, ia menjadi budaya yang dianggap ukuran harga diri apabila segala-galanya dinilai melalui bilangan tanda suka (likes), jumlah tontonan dan pengikut.
Percaya atau tidak, golongan sebegini boleh mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri jika penggunaan media sosial tidak dikawal kerana terlalu bergantung kepada pengiktirafan dalam talian untuk menentukan nilai diri dan identiti peribadi mereka.

Beri kesan serius terhadap kesejahteraan emosi dan hubungan sosial
Profesor di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Universiti Malaya, Ir. Dr. Noor Ismawati Jaafar berkata, biarpun fenomena itu tidak diketagorikan sebagai gangguan mental secara rasmi, namun ia berpontensi memberi kesan serius terhadap kesejahteraan emosi dan hubungan sosial.
Menurutnya, perkara ini amat ketara dalam kalangan remaja dan belia yang terdedah kepada tekanan rakan sebaya dan pengaruh media digital.
“Remaja kini membina identiti mereka melalui media sosial. Mereka hanya menunjukkan sisi kehidupan yang indah dan sempurna, sambil menyembunyikan cabaran sebenar yang dihadapi.
“Perkara itu boleh memberi tekanan dalaman untuk sentiasa kelihatan hebat di mata orang lain,” katanya dipetik Kosmo.

Manusia cenderung cipta naratif tentang diri dan berharap diterima di media sosial
Menurutnya lagi, media sosial pada masa kini juga berperanan seperti ‘cermin moden’ dalam kehidupan kerana manusia tertarik mencipta naratif tentang diri sendiri yang diharapkan dapat diterima di Instagram dan TikTok.
Kajian turut menunjukkan ketagihan terhadap respon positif di media sosial boleh menyebabkan tekanan, keresahan, dan kemurungan apabila kandungan yang dimuat naik tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan.
Tegas Dr. Noor Ismawati, biarpun gejala itu sering dikaitkan dengan generasi muda, orang dewasa juga tidak terkecuali.
“Kita lihat ramai orang dewasa berkongsi pencapaian peribadi, kejayaan atau gaya hidup eksklusif. Ini bukan kesalahan, tapi dilakukan untuk mendapatkan pengesahan sosial,” ujarnya.
Hapuskan media sosial bukan penyelesaian
Untuk pengetahuan korang, gejala ini boleh dielak dengan membina hubungan yang sihat dengan platform digital kerana menghapuskan penggunaan media sosial bukanlah penyelesaiannya.
Antara langkah-langkah yang dicadangkan adalah seperti berikut:
- Menilai semula niat ketika berkongsi kandungan
- Mengamalkan ‘detoks digital’
- Jujur dalam perkongsian
- Elak perbandingan tidak realistik dengan kehidupan orang lain

Bagaimanapun, Dr Noor Ismawati turut melihat perkembangan positif apabila makin ramai pencipta kandungan mula memaparkan sisi kehidupan lebih realistik menunjukkan perubahan budaya digital sedang berlaku.
“Ini membuktikan bahawa perubahan boleh berlaku jika wujud kesedaran kolektif. Kita perlu didik netizen supaya tidak terperangkap dalam budaya penilaian maya yang rapuh,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.