Now Reading
“Selamat Jalan Ke Negeri Abadi” – Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia

“Selamat Jalan Ke Negeri Abadi” – Tun Abdullah Ahmad Badawi Meninggal Dunia

Khairy Jamaluddin memaklumkan bekas Perdana Menteri ke-5 itu menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 7.10 malam tadi di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini (14 April).

Perkara terbabit disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin menerusi satu hantaran Instagram (IG) Story di akaun miliknya.

Pak Lah menghembus nafas terakhir 7.10 malam tadi

Dalam hantaran tersebut, Khairy memaklumkan Abdullah Ahmad Badawi yang turut mesra disapa ‘Pak Lah’ itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.

“Tun Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia kelima, telah kembali ke Rahmatullah pada jam 7.10 malam di Institut Jantung Negara, KL.

“Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham dan menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.

Biografi Ahmad Badawi

Sekadar info, Abdullah Ahmad Badawi dilahirkan pada 26 November 1939 di Kampung Perlis, Bayan Lepas Pulau Pinang.

Beliau telah berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam bidang Pengajian Islam semasa di Universiti Malaya (UM) pada tahun 1964.

Pada 2003, Abdullah Ahmad Badawi secara rasmi dilantik menjadi Perdana Menteri ke-5 menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sebelum menjadi perdana menteri, bekas Ahli Parlimen Kepala Batas itu juga pernah memegang beberapa jawatan menteri yang lain seperti Menteri Pendidikan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Pertahanan, Menteri Luar Negeri dan Timbalan Perdana Menteri.

Bukan itu sahaja, Pak Lah juga terkenal dengan kejayaan beliau melancarkan Lima Koridor Ekonomi Malaysia iaitu:

  1. Iskandar Malaysia
  2. Wilayah Ekonomi Utara
  3. Wilayah Ekonomi Pantai Timur
  4. Koridor Pembangunan Sabah
  5. Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE)

Pak Lah juga merupakan individu penting yang memperkenalkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) untuk menangani masalah rasuah di sektor awam dan swasta.

Jasa beliau untuk negara ini tidak akan pernah dilupakan, salam takziah daripada kami buat seluruh ahli keluarga Allahyarham.

Terima kasih Pak Lah, jasamu akan dikenang…


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm FacebookTwitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd