Now Reading
Rakyat Malaysia Rompak Kedai Emas Di Hat Yai Didakwa Pembunuh Upahan

Rakyat Malaysia Rompak Kedai Emas Di Hat Yai Didakwa Pembunuh Upahan

Sumber polis mendedahkan suspek pernah merompak sebuah kedai emas di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira 20 tahun lalu dengan melarikan emas bernilai lebih RM6 juta.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak semalam (9 April), kecoh di media sosial mengenai laporan polis Thailand sedang mengesan seorang lelaki rakyat Malaysia yang merompak sebuah kedai emas di Hat Yai kelmarin.

Lelaki warga emas berusia 61 tahun itu dilaporkan bertindak bersendirian dan menyamar sebagai pelanggan sebelum memasuki sebuah kedai emas di Plaza Hat Yai pada kira-kira 11.50 pagi.

Suspek berjaya ditangkap selepas beberapa jam merompak

Tidak sampai beberapa jam selepas rompakan itu, pihak polis Thailand berjaya memberkas suspek di Terminal Bas Selatan, Bangkok pada sekitar jam 6.30 petang waktu tempatan.

Menurut Kosmo yang memetik sebuah laman berita Thailand, suspek yang dikenali sebagai Yee Boon Long itu ditangkap bersama 69 rantai emas, sepucuk pistol dan peluru ketika turun daripada bas.

Foto: X/anthraxxx781

Difahamkan, suspek kini dihantar ke wilayah Songkhla untuk pendakwaan.

Suspek rupanya miliki rekod jenayah lampau dan disyaki pernah bunuh 2 warga Thailand

Komisioner Polis Rantau 9, Leftenan Jeneral (Polis), Piyawat Chaloemsri menyatakan bahawa suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Menurutnya, suspek pernah merompak sebuah kedai emas di Hat Yai pada tahun 2017 lalu dan dibebaskan dari penjara kira-kira setahun setengah yang lalu.

Sumber polis juga mendedahkan warga emas itu disyaki membunuh dua adik-beradik Thai iaitu Monstree Saekung dan Srirat Saekung di sebuah rumah sewa di Tambon Koh, Songkhla pada 22 Mei 2014.

Didakwa pernah rompak emas bernilai lebih RM6 juta di Malaysia & jadi pembunuh upahan

Di Malaysia pula, Yee dilaporkan dikehendaki kerana pernah merompak sebuah kedai emas di Butterworth, Pulau Pinang kira-kira 20 tahun lalu.

Dia didakwa melarikan emas bernilai RM6.6 juta dalam rompakan itu sebelum melarikan diri ke Thailand.

Menurut sumber sama, Yee juga didakwa dikehendaki di negara ini kerana bekerja sebagai pembunuh upahan dengan 10 mangsa dikaitkan dengan suspek.

Selepas melarikan diri ke negara Gajah Putih itu, dia dikatakan membeli kad pengenalan Thai di daerah Chai Prakan, Chiang Mai pada harga 250,000 baht (kira-kira RM32,800) menggunakan identiti Anucha Saeyeoh.

Terdahulu, pihak berkuasa di Thailand menawarkan ganjaran 100,000 baht (RM13,118) kepada sesiapa sahaja yang berjaya menangkap Yee.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  Twitter, Threads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd