Trend Menari Untuk Terima Duit Raya Boleh Jatuh Haram – Mufti Terengganu
Mufti Terengganu turut menjelaskan hukum sekiranya tarian ketika menerima duit raya tersebut dilihat menyerupai agama lain.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Boleh dikatakan setiap hari, ada sahaja trend terbaharu muncul di media sosial yang sering menjadi ikutan khususnya golongan muda masa kini.
Antaranya adalah trend individu perlu berjoget sebelum menerima duit raya daripada si pemberi.
Walaupun hanya untuk keseronokan, namun, trend itu mendapat perhatian ramai termasuklah pendakwah terkenal Ustazah Asma’ Harun yang menegur mereka yang mengikuti trend tersebut.
Menurut penceramah bebas itu, perbuatan berkenaan dianggap tidak menghormati bulan Syawal apatah lagi ada kaum Hawa tidak kira tua atau muda turut terlibat sama.
Malah, turut timbul dakwaan yang mengaitkan tarian tular itu dengan tarian tradisional bangsa Yahudi dan berasal dari sana.
Semakan kami mendapati tarian berkenaan sememangnya berasal dari Barat. Namun, tiada bukti yang dapat mengaitkannya dengan kaum Yahudi.
Trend Menari Sebelum Terima Duit Raya Boleh Jatuh Hukum Haram, Kata Mufti
Terbaharu, Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun menjelaskan tarian yang tular di TikTok sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu boleh jatuh hukum haram khususnya kepada wanita beragama Islam yang melakukan tarian tersebut secara berlebihan hingga menampakkan aurat.
Malah, beliau turut meluahkan rasa kesal dengan tindakan segelintir umat Islam yang mudah terikut-ikut dengan trend terkini hingga melupakan batas agama.
“Budaya kita ialah bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta terima kasih sempena menyambut Aidilfitri. Ia tidak perlu dicacatkan dengan perbuatan berjoget sehingga melampaui batas agama.
“Perkara seperti ini dikesali dan mungkin suatu masa akan kehilangan nilai-nilai murni budaya kita sendiri jika trend seperti ini berterusan.
“Trend berjoget untuk menerima duit raya itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita.
“Jika dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat sudah tentu boleh menjadi haram,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.
Haram Sekiranya Tarian Menyerupai Agama Lain
Pada masa yang sama, Mohamad Sabri turut menjelaskan hukum sekiranya tarian tersebut dilihat menyerupai agama lain.
“Sekiranya ia mengikut agama lain maka adalah diharamkan kerana menyerupai agama lain.
“Bagaimanapun, jika tidak ada kena mengena dengan agama lain tetapi mengundang fitnah sehingga menjadi satu trend yang dianggap tidak manis dan tidak bermoral apatah lagi tidak pernah berlaku dalam tradisi budaya kita, maka sewajarnya perbuatan sedemikian dielakkan.
“Ini bagi memastikan perkara seperti ini tidak berterusan pada masa akan datang sehingga menjadi aib atau tidak manis dalam masyarakat bahkan mungkin (perbuatan itu) akan berlebihan sehingga menonjolkan bentuk tubuh,” jelasnya lagi.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa video memaparkan keluarga-keluarga dan kenalan yang menari sebelum menerima duit raya.
Trend itu mula menjadi ikutan ramai yang menganggap ia sebagai salah satu hiburan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Baca Artikel Berkaitan: Joget Sebelum Terima Duit Raya Jadi Trend, Ustaz Asma’ Harun Tampil Beri Teguran
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.