[Video] Ramai Persoal Peniaga Kuih Apam Kampung Caj RM2.00 Jika Pelanggan Tambah Kelapa Parut
Peniaga apam kampung tersebut mengenakan caj RM2 sekiranya pelanggan mahu menambah kelapa parut yang sememangnya dinikmati bersama kuih tradisional itu.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kuih tradisional antaranya seperti karipap, onde-onde, lepat pisang dan apam kampung sememangnya mempunyai peminat yang tersendiri.
Pada masa kini, sukar untuk menemui individu yang pandai menyediakannya. Walaupun bahan dan proses nampak mudah, ia bukanlah seperti yang disangka.
Oleh sebab itu, ramai lebih memilih untuk membeli sahaja daripada membuatnya. Namun, siapa sangka, harga kuih tradisional pada masa kini dilihat agak tidak masuk akal.
Malah, cara jualan segelintir peniaga juga turut menimbulkan persoalan. Manakan tidak, bahan yang sepatutnya dimakan bersama kuih tersebut dijual berasingan.
Peniaga Jual Apam Tanpa Kelapa, 4 Potong RM6
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai seorang peniaga kuih tradisional mengenai kuih jualannya, apam kampung.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @kl.foodie, kelihatan pengguna berkenaan telah datang ke gerai apam tersebut yang terletak di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur.
Apa yang menjadi perhatian adalah harga jualan kuih tersebut yang agak mahal dari kebiasaan.
Jelas peniaga itu, empat potong kuih apam dijual dengan harga RM6 manakala tujuh potong kuih berkenaan berharga RM10. Ini menjadikan sepotong kuih tersebut bernilai anggaran RM1.40 ke RM1.50.
Caj RM2.00 Jika Pelanggan Mahu Tambah Kelapa Parut
Lebih mengejutkan, peniaga tersebut turut mengenakan caj tambahan sekiranya pelanggan mahu menambah kelapa parut yang sememangnya dinikmati bersama kuih tradisional itu.
Harganya pula dilihat tidak masuk akal iaitu pelanggan perlu membayar RM2 jika inginkan kelapa parut berkenaan.
Ramai Terkejut Peniaga Jual Kelapa Parut Berasingan
Video yang telah mendapat lebih 111,000 tontonan dan turut dikongsikan di platform X nyata menarik perhatian ramai.
Mengintai ke ruangan komen, ramai pengguna media sosial terkejut dengan cara perniagaan kuih apam oleh peniaga berkenaan.
Ini kerana mereka berpendapat peniaga itu tidak sepatutnya menjual kelapa berasingan memandangkan kuih apam berkenaan selama ini sememangnya dinikmati bersama kelapa parut.
Tidak hanya itu, ada yang turut mengecam peniaga terbabit kerana merasakan harga kuih apam jualannya agak mahal jika dibandingkan dengan yang lain.
Harga Jualan Kuih Apam Di Pasaran RM3.50 Ke Atas Untuk 4 Biji
Sekadar info, hasil semakan kami di media sosial mendapati kebanyakan peniaga lain yang menjual kuih apam menjualnya dengan harga RM3.50 bagi empat biji.
Malah, kelapa juga akan diberi bagi setiap pembelian kuih berkenaan.
Ini antara komen pengguna TikTok:
“Nama Pun Apam Kampung, Bahan & Cara Nak Buat Pun Senang Tapi Kenapa Jual Mahal Sangat, Kelapa Kena Bayar Asing?”

“7 Potong RM10, Tambah Kelapa, Dekat Situ Sahaja RM12, Mahal Betul Kau Jual Apam Kampung Akak Oi”

“Janganla Ambil Untung Berlebihan, Kesian Pembeli”

“Kelapa Tambah RM2, Serius La? Jangan Lepas Ni Kuih Onde-Onde Pun Kelapa Kena Add On”

“Apam Kampung Harga Bandar, Kenapa Kelapa Kena Add On RM2? Kan Sebahagian Kuih Tu”

Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.