Ini Respon Mixue Malaysia Selepas Tular Kontroversi Iklan Jawatan Kosong Berbaur Rasis
Mixue Malaysia menjelaskan mereka telah mengarahkan cawangan tersebut untuk menurunkan notis iklan jawatan kosong berkenaan.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Siapa yang tidak kenal dengan jenama aiskrim dan minuman boba, Mixue? Jenama yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia ini terkenal dengan harganya yang murah.
Namun baru-baru ini, kecoh di media sosial hantaran seorang pengguna di Instagram mengenai iklan jawatan kosong cawangan Mixue di Sri Sinar, Segambut, Johor.
Melalui hantaran yang dikongsikan di akaun @mohaneyyy, iklan tersebut menyatakan cawangan itu mencari krew perkhidmatan dan penyelia.
Namun, kriteria yang disenaraikan adalah individu berbangsa Melayu dan Cina yang berpengalaman.
Tindakan itu menyebabkan pengguna berkenaan mempersoal adakah bangsa lain seperti India tidak boleh memohon jawatan berkenaan sedangkan kebanyakan pelanggan Mixue juga terdiri dari pelbagai bangsa.
Malah, hantaran itu turut mendapat perhatian pengguna media sosial lain hingga ada yang menuntut penjelasan daripada syarikat aiskrim dan minuman boba tersebut dan memboikot mereka.
Kriteria Pengambilan Pekerja Tidak Melambangkan Polisi Syarikat
Terbaharu, Mixue Malaysia tampil memberi penjelasan berhubung isu yang tular itu.
Memetik Says, Mixue Malaysia menjelaskan poster iklan jawatan kosong tersebut ditampal oleh cawangan persendirian dan tidak melambangkan polisi syarikat secara menyeluruh.
Justeru, mereka telah mengarahkan cawangan tersebut untuk menurunkan notis iklan berkenaan.
“Malangnya, berlaku kesilapan dalam proses pengambilan pekerja di cawangan tersebut.
“Sebaik menyedari isu berkenaan, kami telah mengarahkan cawangan tersebut menurunkan poster dan memberi panduan bagi memastikan pengambilan pekerja pada masa hadapan mengikut prosedur yang betul,” katanya.
Inklusif & Kepelbagaian Jadi Nilai Utama Dalam Perniagaan – Mixue Malaysia
Jelas Mixue lagi, kepelbagaian dan inklusif menjadi nilai utama dalam perniagaan mereka, dari menawarkan harga mampu milik sehinggalah ke dasar pengambilan pekerja.
“Kami menghormati kepelbagaian dan komited mewujudkan persekitaran yang terbuka, inklusif dan mesra untuk pekerja dari pelbagai latar belakang.
“Sebarang bentuk diskriminasi yang bertentangan dengan nilai utama tidak akan diterima,” jelas mereka lagi.
Mixue Malaysia Perkenal Kempen ‘Make Us One’
Pada masa yang sama, Mixue Malaysia menerusi satu hantaran terbaharu di Facebook dilihat menekankan aspek kepelbagaian kaum dalam persekitaran pekerjaan mereka.
Ini kerana hantaran tersebut menceritakan kisah mengenai pekerja bernama Ashnawi, Jamaliah dan Chan Pui Lai.
“Setiap produk ada kisah kerja keras dan dedikasi. Dari krew kedai sehingga kumpulan yang berdedikasi di belakang tabir, setiap pekerja Mixue adalah sebahagian daripada keluarga besar kami.
“Sama-sama kita berkembang dan bersinar, itulah Mixue Make Us One,” tulis mereka.
Sebelum ini, Mixue Malaysia menjadi perhatian ramai susulan isu status halal di salah sebuah cawangannya.
Ia berikutan penggunaan beg sampah tertera label dan tulisan hingga menimbulkan keraguan ramai.
Walau bagaimanapun, Mixue Malaysia menegaskan plastik berkenaan hanyalah digunakan untuk pembungkusan sampah.
Malah, mereka memberi jaminan bahan mentah yang digunakan adalah dari sumber halal dan memiliki sijil halal yang sah.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.



