Now Reading
Kes Bunuh Zulfarhan: Hukuman Gantung 6 Bekas Penuntut UPNM Diketepikan

Kes Bunuh Zulfarhan: Hukuman Gantung 6 Bekas Penuntut UPNM Diketepikan

Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut UPNM mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan sama seperti yang pernah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Kes pembunuhan melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain masih segar lagi dalam ingatan ramai pihak.

Manakan tidak, mangsa diperlakukan amat kejam dan tidak berperikemanusiaan hingga disifatkan jenayah kejam yang amat jarang ditemui oleh Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hadhariah Syed Ismail.

Malah, Mahkamah Rayuan pada 23 Julai 2024 telah menjatuhkan hukuman gantung sampai mati kepada enam bekas penuntut UPNM atas kesalahan membunuh pegawai kadet laut tersebut.

Mahkamah Persekutuan Ketepi Hukuman Gantung 6 Bekas Penuntut UPNM

Terbaharu, Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Besar Malaya Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim yang bersidang bersama Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menerima rayuan akhir keenam-enam perayu atas keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun lalu yang menjatuhkan hukuman mati.

Enam bekas pelajar yang kesemuanya kini berusia 29 tahun selaku perayu adalah:

  • Muhammad Akmal Zuhairi Azmal,
  • Muhammad Azamuddin Mad Sofi
  • Muhammad Najib Mohd Razi
  • Muhammad Afif Najmudin Azahat
  • Mohamad Shobirin Sabri
  • Abdoul Hakeem Mohd Ali 

Mahkamah Persekutuan Kekal Hukuman Penjara 18 Tahun Kepada 6 Bekas Pelajar UPNM

Walau bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut berkenaan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan sama seperti yang pernah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Jelas Hasnah dalam penghakimannya, mahkamah mendapati elemen kecederaan mangsa menyebabkan kematian tidak dapat dibuktikan dengan keraguan munasabah.

“Sehubungan itu, mahkamah memutuskan keputusan hakim Mahkamah Tinggi iaitu Seksyen 304A Kanun Keseksaan dan persubahatan dikembalikan, hukuman penjara 18 tahun dikekalkan,” katanya.

Terdahulu, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar UPNM kerana membunuh Allahyarham Zulfarhan.

Ia selepas mahkamah membenarkan rayuan silang pendakwaan bagi menghidupkan semula kesalahaan bunuh berdasarkan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pada 2 November 2021, Mahkamah Tinggi pada ketika itu menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun kepada enam penuntut berkenaan selepas mendapati kesemuanya bersalah mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

Keenam-enam mereka didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM pada 22 Mei 2017 kira-kira jam 4.45 pagi dan 5.45 pagi.

Walau bagaimanapun, Allahyarham Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017.

Baca Artikel Berkaitan: [Terkini] Kes Kematian Zulfarhan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dihukum Gantung

Baca Artikel Berkaitan: 6 Bekas Penuntut UPNM Dijatuhi Hukuman Penjara 18 Tahun Atas Kes Zulfarhan

Baca Artikel Berkaitan: “Tak Boleh Terima Hingga Akhir Hayat” – Ibu Zulfarhan Luah Isi Hati Tentang Peristiwa Menimpa Arwah Anak


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  TwitterThreads  dan Instagram. 

Dapatkan lebih banyak cerita seperti ini ke peti masuk anda dengan mendaftar untuk surat berita kami.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd