Now Reading
Amerika Syarikat Bakal Ambil Alih Gaza Demi Ekonomi & Dibina Sebagai Tempat Tinggal ‘Penduduk Dunia’

Amerika Syarikat Bakal Ambil Alih Gaza Demi Ekonomi & Dibina Sebagai Tempat Tinggal ‘Penduduk Dunia’

Donald Trump menjelaskan Gaza akan menjadi tempat tinggal ‘penduduk dunia’ dan berkemungkinan ia akan menjadi ‘Riviera’ Asia Barat.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Konflik yang melanda Semenanjung Gaza masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.

Setiap hari ada sahaja isu panas melibatkan wilayah itu yang pastinya memberi kesan kepada penduduk setempat.

Contohnya seperti cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini yang merancang mahu ‘membersihkan’ Gaza dengan memindahkan penduduk keluar dari kawasan tersebut sebagai ‘usaha untuk mewujudkan keamanan’.

Malah, Trump juga menyifatkan Gaza sebagai ‘tapak kemusnahan’ selepas berlakunya perang di antara Israel dan Hamas.

Donald Trump Mahu Amerika Syarikat Ambil Alih Gaza

Terbaharu, Trump mengumumkan cadangan mahu Amerika Syarikat (AS) mengambil alih Semenanjung Gaza.

Dia berkata sedemikian dalam satu sidang akhbar di White House ketika menjadi tuan rumah kepada Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bagi rundingan gencatan senjata Hamas dan Israel pada semalam (4 Februari).

Pada masa yang sama, Trump turut menggesa agar rakyat Palestin berpindah ke negara Asia Barat seperti Mesir dan Jordan seperti yang pernah disuarakannya sebelum ini walaupun rakyat Palestin dan kedua-dua negara tersebut menolak cadangan Trump.

“AS akan mengambil alih Semenanjung Gaza dan kami mempunyai rancangan ke atasnya. Kami akan memilikinya (Gaza),” katanya.

AS Akan Hapuskan Bom Tidak Meletup Di Gaza & Bangunkan Ekonomi

Jelas Trump lagi, dengan cadangan ambil alih tersebut, AS akan menghapuskan bom yang tidak meletup di Gaza, merata serta mengalihkan bangunan yang telah musnah.

Tidak hanya itu, AS juga akan membangunkan ekonomi dengan mewujudkan bilangan pekerjaan dan perumahan yang tidak terhad untuk penduduk wilayah Palestin itu.

Namun, Trump tidak mendedahkan bagaimana dan kuasa yang membolehkan AS mengambil alih Gaza serta mendudukinya dalam jangka waktu yang panjang.

‘Gaza Akan Jadi Tempat Tinggal Penduduk Dunia’

Memetik Berita Harian, Trump menjelaskan Gaza akan menjadi tempat tinggal ‘penduduk dunia’ dan berkemungkinan ia akan menjadi ‘Riviera’ Asia Barat.

Walau bagaimanapun, Trump menyifatkan cadangan itu bukanlah untuk rakyat Palestin yang akan kembali ke Gaza.

“Ia tidak sepatutnya melalui proses pembinaan semula dan pendudukan oleh orang sama yang telah benar-benar berdiri di sana, memperjuangkannya, tinggal di sana, mati di sana dan menjalani kehidupan yang sengsara di sana,” katanya.

Mahu 2 Juta Penduduk Gaza Pindah Ke Negara Lain

Pada masa yang sama, Trump menjelaskan dua juta penduduk Gaza perlu berpindah keluar ke negara lain yang disifatkan mempunyai jiwa kemanusiaan.

Kenyataan ini sekali gus menguatkan lagi desakannya sebelum ini yang mencadangkan agar rakyat Palestin berpindah keluar dari Gaza dan pergi ke negara seperti Mesir dan Jordan walaupun terdapat tentangan.

Namun, Trump menyatakan dia akan memberi sokongan penempatan semula rakyat Palestin itu secara kekal.

Netanyahu Puji Trump, Anggap Sahabat Terhebat Israel

Dalam pada itu, Netanyahu memuji Presiden AS dan menggelarkannya sebagai ‘sahabat terhebat Israel pernah ada’ dan menganggap cadangan Trump mampu mengubah sejarah dan berbaloi untuk diberikan perhatian.

Terdahulu, Mesir dan Jordan menolak mentah-mentah cadangan pemindahan keluar penduduk Gaza oleh Trump.

Pemindahan secara paksa itu dianggap melanggar undang-undang antarabangsa dan dilihat bakal mendapat bantahan termasuklah dari negara Barat yang menjadi sekufu Washington.

Malah, segelintir pejuang hak asasi manusia turut menganggap idea Presiden AS itu sebagai langkah pembersihan etnik.

Manakala, Pegawai Kanan Hamas Sami Abu Zuhri mengecam desakan Trump sebagai pengusiran dari tanah air mereka sendiri.

Baca Artikel Berkaitan: Trump Isytihar Darurat Di Sempadan & Perkenal Dasar 2 Jantina Selepas Dilantik Jadi Presiden AS

Baca Artikel Berkaitan: Donald Trump Angkat Sumpah Sebagai Presiden Amerika Syarikat Ke-47


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook,  TwitterThreads  dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd