[Video] Tular Suami Bakar Kereta Isteri Di Johor Bahru Gara-gara Perselisihan Faham
Menurut ACP Raub Selamat, kejadian khianat itu dilakukan sendiri oleh suspek yang juga suami kepada pemilik kereta berkenaan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
“Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri.”
Begitulah peribahasa yang sering kita dengari untuk menceritakan tentang asam garam berumah tangga yang pasti ada pasang dan surutnya.
Bergaduh atau berselisih faham dalam berhubungan itu perkara biasa, mana mungkin semuanya indah-indah belaka.
Namun, apa yang lebih menakutkan apabila ada pasangan yang gagal mengawal emosi dan sanggup bertindak di luar jangkaan.
Tular suami bakar kereta isteri kerana perselisihan faham
Seperti baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan sebuah kereta jenis Toyota Vios yang dibaling petrol sebelum terbakar di sebuah kawasan jalan di Johor Bahru.
Lebih mengejutkan, pelaku dipercayai suami kepada mangsa bertindak membakar kereta isterinya hanya kerana perselisihan faham.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, perselisihan faham dalam rumah tangga disyaki menjadi punca kejadian di Jalan Tebrau berhampiran sebuah hospital swasta itu berlaku.
Menurutnya menerusi satu kenyataan semalam (3 Februari), kejadian khianat itu dilakukan sendiri oleh suspek yang juga suami kepada pemilik kereta berkenaan yang menyebabkan mangsa kerugian hampir RM90,000.
Suami tak puas hati dengan isteri
Jelas Raub, siasatan juga mendapati suami mangsa yang berusia 25 tahun itu dikatakan tidak berpuas hati terhadap isterinya yang berusia 21 tahun kerana perselisihan faham itu.
“Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laluan berkenaan, kejadian berlaku pada jam 10.20 malam.
“Suspek yang menaiki Toyota Vellfire menghalang kereta dinaiki isterinya bersama dua wanita lain serta seorang lelaki.
“Suspek bertindak menyimbah petrol dan membakar kereta sebelum melarikan diri dari lokasi dengan Toyota Vellfire,” katanya.
Kereta isteri terbakar 80% angkara suami
Menurutnya lagi, susulan kejadian itu, kereta jenis Toyota Vios milik itu terbakar 80% dan wanita terbabit tampil membuat laporan di Balai Polis Majidee.
Ujarnya, polis giat mengesan lelaki tersebut bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.
Berkongsi lanjut, Raub berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membuat laporan atau menghubungi talian hotline IPD Johor Bahru Selatan 07-2182323.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.