Komen Berbaur Hinaan Terhadap Islam, Cecelia Yap Terpalit Kontroversi ‘Ham’ Tampil Mohon Maaf
Cecelia Yap juga memberitahu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berkenaan siasatan kes terbabit.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Minggu lalu, kecoh di media sosial mengenai satu hantaran berkaitan isu ‘ham’ yang dimuat naik oleh pelawak dan pelakon, Harith Iskander di akaun Facebook miliknya.
Hantaran yang dimuat naik Harith pada Selasa lalu itu (21 Januari) telah meraih kecaman ramai susulan ia didakwa telah mengundang kepada komen berbaur penghinaan terhadap Islam yang dilakukan oleh seorang individu.
Susulan itu, bekas ahli kumpulan lawak Shiro, Shahrol Azizie Azmi atau lebih dikenali sebagai Shahrol Shiro telah membuat laporan polis berhubung hantaran Harith dan komen yang diberikan oleh pemilik akaun Facebook, Cecelia Yap Song KL.
Cecelia Yap tampil mohon maaf
Terbaharu, Cecelia Yap yang didakwa menimbulkan kontroversi berhubung komen berbaur penghinaan terhadap agama Islam itu telah tampil memohon maaf.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh peguamnya, Cecelia Yap berkata dia amat kesal atas kenyataan tidak sensitif yang dikeluarkannya di media sosial itu.
“Saya, Cecelia Yap Song KL, dengan ini memohon maaf kepada semua yang terkilan dengan komen saya di laman Facebook Harith Iskander, terutamanya kepada saudara saudari beragama Islam yang amat saya hormati.
“Saya amat kesal bahawa komen saya yang tidak sensitif itu menyinggung perasaan semua. Saya berjanji tidak akan mengulangi perbuatan ini di masa hadapan,” katanya dipetik Berita Harian.
Dia juga memberitahu akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis berkenaan siasatan kes terbabit.
Polis dah rakam keterangan Harith Iskander
Terdahulu, media melaporkan polis sudah merakam keterangan Harith berhubung hantaran mengenai isu ‘ham’ yang dimuat naiknya sebelum ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya turut mengenal pasti identiti seorang lagi individu dikenali Cecelia Yap dipercayai mempunyai kaitan dalam ke situ.
“Setakat ini, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 505 KK dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.