[Video] Isteri Hadiahkan Wang Tunai RM31,000 Dalam Bentuk Gubahan Bunga Buat Suami Sempena 31 Tahun
Pemberian gubahan bunga gergasi berjumlah RM31,000 itu juga sebagai penghargaan kepada suami yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh sembilan tahun perkahwinan mereka.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Setiap individu pastinya mahu memberikan yang terbaik buat pasangan. Sudah pastilah pelbagai cara yang akan dilakukan demi membahagiakan yang tersayang.
Masing-masing pula mempunyai cara tersendiri untuk membahagiakan pasangan mereka.
Ada yang suka memberi barang kesukaan, ada juga yang memberikan wang ringgit ataupun meluangkan masa bersama-sama asalkan pasangan dapat merasai kasih sayang itu.
Wanita Tular Bagi Jambangan Bunga Gergasi Yang Dipenuhi Wang RM50
Baru-baru ini tular video seorang lelaki yang menerima jambangan bunga berbentuk wang tunai bersaiz mega yang dipenuhi dengan wang kertas RM50.
Menerusi video yang dikongsikan di TikTok @nia_syaqiera, pengguna yang juga isteri kepada lelaki tersebut berkongsikan momen ketika suaminya mengambil wang dari jambangan tersebut.
Hantaran yang mendapat lebih 4.4 juta tontonan itu nyata menjadi perhatian hingga ramai pengguna media sosial yang berteka-teki tentang jumlah wang yang ada pada gubahan berkenaan.
Beri Jambangan Bunga RM31,000 Sempena Hari Lahir Suami
Terbaharu, wanita yang dikenali sebagai Nia Syaqiera Sabri menjelaskan jambangan bunga gergasi itu diberikan kepada suaminya sempena ulang tahun kelahiran lelaki itu yang ke-31.
Menariknya, jumlah wang yang ada pada jambangan tersebut rupanya berjumlah RM31,000 simbolik kepada usia pasangan wanita itu yang menjangkau 31 tahun pada 18 Januari lalu.
Jelas Nia, pemberian gubahan bunga gergasi berjumlah RM31,000 itu juga sebagai penghargaan kepada suami yang telah banyak berkorban sepanjang tempoh sembilan tahun perkahwinan mereka.
Memang Dah Simpan Niat Beri Hadiah Gubahan Wang Tunai
Nia yang juga merupakan seorang pengasas produk kecantikan mendedahkan dia telah lama menyimpan niat untuk menghadiahkan gubahan wang tunai kepada suaminya sejak tahun lalu.
“Tahun lalu, saya beri suami hadiah replika cek bernilai RM18,194 yang mana angka itu simbolik tarikh lahir dan tahun kelahirannya.
“Selepas ulang tahun kelahiran suami tahun lalu, saya terus kumpul duit kerana sudah simpan niat nak berinya hadiah gubahan wang tunai pula.
“Memandangkan tahun ini suami berusia 31 tahun jadi nekad hadiahkan RM31,000 hasil simpanan saya,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.
Suami Hanya Minta Hadiah Telefon Bimbit
Kongsi Nia lagi, suaminya yang dikenali sebagai Mohamad Rahim langsung tidak mengetahui hadiah yang bakal diterima kerana dia mahu membuat kejutan kepada suaminya.
“Suami tak sangka dan sebenarnya, saya ada bertanya apa hadiah diinginkan sempena hari ulang tahun kelahiran.
“Katanya nak telefon bimbit jadi saya pun belikan kemudian beri sebelum hari ulang tahunnya. Tapi dia tak tahu ada hadiah lain yang akan diberikan kepadanya.
“Saya sengaja rahsiakan dan buat tempahan gubahan seminggu sebelum sambut hari hari ulang kelahiran suami.
“Tengah malam hari ulang tahun kelahirannya, penggubah gubahan itu datang buat kejutan dan nampak suami nampak sebak waktu terima hadiah pemberian saya,” ujarnya.
Suami Tak Berkira, Siap Kongsi Sebahagian Wang Kepada Ahli keluarga & 8 Staf
Jelas Nia, walaupun wang tersebut merupakan hadiah namun suaminya langsung tidak berkira dengan sanggup memberikan sebahagian wang itu yang bernilai RM1,000 kepada lapan orang kakitangan setiap seorang.
“Dia ada juga beri kepada emak saya iaitu ibu mentuanya dan saya walaupun saya menolak pada awalnya.
“Bagi saya, wang tunai pemberian itu memang banyak tapi nilai itu tidak terbanding dengan pengorbanan suami yang jauh lebih besar sejak kami sah menjadi suami isteri hingga sekarang.
“Antara yang saya tak dapat lupa adalah kesungguhannya berkahwin dengan saya dua bulan selepas pemergian arwah ayah pada 2016 walaupun terpaksa ‘nikah gantung’ saja kerana tiada duit.
“Selain itu, suami juga bantu saya dan mama serta menjaga abang orang kelainan upaya (OKU) yang tinggal bersama kami. Bagi saya, susah nak jumpa lelaki begitu sekarang,” katanya lagi.
Harap Dapat Hadiahkan Suami Zuriat & Hubungan Kekal Berpanjangan Berpanjangan
Pada masa yang sama, Nik Syaqiera berharap agar hubungan dia dan suami kekal berpanjangan dan mengecap kebahagiaan hingga ke syurga.
“Saya juga berharap dapat hadiahkan suami garis dua (zuriat) nanti kerana kami belum dikurniakan anak jadi itu yang diharapkan setiap kali tiba hari ulang tahun kelahirannya (suami).
“Syukur ramai mendoakan selepas saya berkongsi gambar beri hadiah gubahan wang tunai.
“Niat saya hanya nak cipta kenangan tapi ada juga kata negatif yang mempersoalkan nilai wang diberikan terlalu banyak, menganggapnya satu pembaziran dan khuatir suami berkahwin lagi nanti,” jelasnya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.