Tular Perarakan Replika Naga Dihiasi Bendera China Di Muar, Polis Siasat Penganjur
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz berkata, pihaknya mendapati replika naga dihias dengan Jalur Gemilang di sebelah kanan manakala bendera China diletakkan sebelah kiri badan naga tersebut.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan bendera China diletakkan pada replika naga ketika perarakan kebudayaan di Muar, Johor.
Difahamkan, perarakan sempena ulang tahun ke-20 gabungan persatuan Tionghua daerah itu mempersembahkan tarian singa dan replika naga terpanjang di Malaysia di beberapa jalan utama.
Bagaimanapun, apa yang mencuri tumpuan ramai adalah keberadaan bendera China yang ditampal pada badan replika naga itu selain Jalur Gemilang sekali gus menimbulkan rasa tidak senang segelintir rakyat Malaysia.
Polis buka tiga kertas siasatan
Susulan itu, pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan berhubung bendera China yang dipamerkan pada replika naga terbabit.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, bendera itu dikesan ketika pemantauan polis semasa perarakan berlangsung pada jam 6.10 petang, Sabtu lalu (18 Januari).
Menurutnya, pihak polis mendapati replika naga dihias dengan Jalur Gemilang di sebelah kanan manakala bendera China diletakkan sebelah kiri badan naga tersebut.
“Rakaman video dan gambar mengenai perarakan itu turut dikesan dan tular di beberapa platform media sosial sejak semalam.
“Susulan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengambil tindakan proaktif dengan membuka kertas siasatan pada hari sama kejadian dilaporkan,” katanya.
Raiz berkata, kes disiasat mengikut peruntukan kesalahan-kesalahan seperti berikut:
- Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
- Seksyen 6(2) Akta Perhimpunan Aman 2012, jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000.
- Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949, Jika Disabitkan hendaklah dipenjara tidak melebihi 6 bulan atau denda tidak melebihi RM500 atau kedua-duanya.
Polis panggil penganjur dan saksi kejadian untuk bantu siasatan
Menurutnya lagi, pihak penganjur program dan saksi kejadian juga dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
Berkongsi lanjut, beliau berkata polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.
Difahamkan, kejadian ini adalah insiden kedua dalam tempoh kurang sebulan selepas perkara sama berlaku ketika festival lampu LED di Bukit Gambir, Tangkak, hujung bulan lalu.
Bendera China dikesan pada replika roket selepas aduan penduduk dengan dua kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Malah, sebelum ini juga tular mengenai isu sama semasa perarakan Guan Gong di Menara Condong, Teluk Intan, Perak dan Johor Bahru, Johor.
Namun bagi kes di Johor, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee menjelaskan terdapat bendera lain yang turut dikibarkan seperti Vietnam dan Thailand.
Baca Artikel Berkaitan: Isu Bendera China Dikibar Semasa Festival Di Johor, ADUN Ayer Keroh Tampil Beri Penjelasan [Video]
Baca Artikel Berkaitan: Penganjur Mohon Maaf Selepas Tular Video Individu Berarak Bawa Bendera Negara China Di Teluk Intan
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.