[Video] Tular Hantaran Bapa Jaga Bayi Seorang Diri, Lembaga Zakat Selangor Dedah Kisah Sebenar
Wakil Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut mengesahkan isteri lelaki berkenaan masih hidup dan belum meninggal dunia seperti yang didakwa menerusi hantaran tular itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, tular di media sosial hantaran seorang pengguna berkongsikan kisahnya terjumpa seorang lelaki menolak motosikal di tepi jalan bersama seorang bayi di Bandar Baru Bangi.
Dakwa pengguna tersebut, lelaki berkenaan baru sahaja kematian isteri malah turut kehilangan pekerjaan kerana menjaga anak yang masih kecil.
Pengguna berkenaan turut mendakwa lelaki tersebut telah cuba mendapatkan bantuan daripada pihak berwajib namun prosesnya agak sukar.
Perkongsian pengguna Facebook itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mahu pihak berkaitan memudahkan urusan serta memberi bantuan kepada lelaki tersebut.
Lelaki Nafi Kisah Tular Libatkan Dirinya
Terbaharu, lelaki yang didakwa membesarkan bayinya seorang diri selepas kematian isteri menafikan kisah tular yang mengaitkan dirinya.
Pendedahan itu dijelaskan sendiri oleh lelaki yang dikenali sebagai Ezaz menerusi video di TikTok @zakatselangor.
“Kejadian baru-baru ini, pertama kali saya hendak nafikan sekeras-kerasnya, apa yang viral tidak berlaku seperti mana yang dikatakan.
“Saya ke Seksyen 7 (Bandar Baru Bangi) atas urusan untuk bertemu dengan rakan. Saya disapa oleh sahabat yang bertemu saya di stesen minyak berkenaan dan bertanya beberapa soalan.
“Saya tak sangka perkara ini boleh diviralkan dengan perkara yang tak wujud, sebelum-sebelum ini lagi saya memang dah dapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” jelasnya.
LZS & Baitulmal MAIWP Sahkan Lelaki Penerima Bantuan Sejak 2022
Melalui perkongsian itu juga, wakil daripada Skuad Saidina Umar, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesahkan lelaki itu adalah penerima bantuan sejak dari tahun 2022.
“Kita telah membantu bagi rumah sewa, bantuan kewangan dan bantuan-bantuan lain. Di pihak Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur juga telah memberi santunan kepadanya,” kongsi wakil LZS.
Malah, wakil LZS turut menjelaskan berlaku salah faham di antara pemilik rumah dan Ezaz hingga menyebabkan lelaki itu berpindah ke selatan tanah air.
“Ketika berada di sana (selatan tanah air), ada sedikit masalah juga dan saudara Ezaz kembali ke Lembah Klang untuk membina kembali kehidupan di sini (Lembah Klang) dan rujuk kembali zakat Selangor.
Tiada Terima Berita Daripada Ezaz Dalam Tempoh Setahun
Kongsi wakil LZS itu lagi, sepanjang tempoh satu tahun, pihaknya tidak menerima respon daripada Ezaz namun bantuan kepada lelaki itu tetap dikekalkan.
“Apa yang berlaku kita lost contact, Ezaz pun ada masalah untuk berjumpa dengan kami dan tak jadi masalah kerana ketika itu bantuan tidak ditamatkan.
“Kita tamatkan bila tiada respon langsung dalam tempoh setahun namun ada rekod dia telah merujuk Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur jadi Baitulmal MAIWP pun membantunya dengan isteri,” kongsinya lagi.
Isteri Belum Meninggal Seperti Hantaran Tular
Apa yang menjadi perhatian, wakil LZS itu turut mengesahkan isteri Ezaz masih hidup dan belum meninggal dunia seperti yang didakwa menerusi hantaran tular itu.
“Kami sahkan isterinya Alhamdulillah hidup, tidak seperti mana yang dinyatakan dalam posting sebelum ini.
“Anak-anaknya pun masih ada, tidaklah diberikan menjadi anak angkat kepada sesiapa.
“Ezaz tegaskan, Ezaz menafikan apa yang telah tular sebelum ini, isu isteri meninggal dunia, isu tidak dapat bantuan dan juga isu anak diberikan kepada orang lain,” jelasnya lagi.
LZS & MAIWP Akan Terus Berikan Bantuan Kepada Ezaz
Pada masa yang sama, LZS meminta agar semua pihak menyemak terlebih dahulu kesahihan sebelum menularkan di media sosial.
Malah, LZS dan Baitulmal MAIWP akan tetap memberikan bantuan kepada lelaki itu dan keluarganya antaranya seperti bantuan deposit dan sewa rumah bulanan memandangkan bilik yang didiami oleh lelaki itu tidak sesuai dengan keluarganya.
Wakil MAIWP dalam video tersebut turut menjelaskan akan memberi bantuan kewangan bulanan bagi menampung kos sara hidup selain bantuan awal.
Pemilik Asal Hantaran Tular Mohon Maaf
Dalam pada itu, pemilik asal hantaran berkenaan menerusi ruangan komen di Facebook LZS telah memohon maaf atas perbuatannya itu.
Jelas lelaki berkenaan, dia menyerahkan kepada Allah SWT mengenai kebenaran perkongsiannya yang tular.
Sebelum ini, pihak LZS menerusi Skuad Saidina Umar mencari lelaki yang tular bersama anaknya itu dengan mendapatkan butiran seperti alamat daripada pemilik asal hantaran berkenaan.
Namun, hasil kunjungan mereka ke lokasi tersebut mendapati rumah berkenaan telah lama dikosongkan dan tidak berpenghuni.
Malah, penduduk di situ juga mendakwa tidak mengenali lelaki tersebut ketika pihak LZS menunjukkan gambar kepada mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Individu Persoal 12% Upah Amil, Lembaga Zakat Selangor Beri Penjelasan
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Lelaki Ini Kongsi Cara Bayar Zakat Pendapatan & Kiraan Yang Tepat
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram