Now Reading
“Saya Sedih..” – Isu Bayi Ditahan & Dibekukan 2 Minggu, Bapa Tampil Perjelas Dakwaan Kes

“Saya Sedih..” – Isu Bayi Ditahan & Dibekukan 2 Minggu, Bapa Tampil Perjelas Dakwaan Kes

Bapa bayi berkenaan turut mendedahkan dia ada memohon kepada hospital untuk menguruskan jenazah anak lelakinya namun tidak dibenarkan kerana bayaran bil masih belum dijelaskan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sehingga ke hari ini, masih hangat lagi diperkatakan mengenai insiden tragis seorang bayi lelaki yang ditahan dan dibekukan selama dua minggu oleh sebuah hospital swasta dipercayai kerana bapanya tidak dapat menyelesaikan bil sebanyak RM3,600.

Difahamkan, bayi yang dikenali sebagai Muhammad Adham Mikail telah meninggal dunia pada 24 November lalu sebelum ditahan dan dibekukan dalam peti sejuk hospital berkenaan.

Kisah memilukan itu dikongsikan sendiri oleh Pengasas Pengurusan Jenazah UKVJ, Wan Cai di Facebook miliknya hingga menjadi perhatian dan menyebabkan ramai yang sedih serta geram dengan tindakan tidak berperikemanusiaan hospital itu.

Malah, timbul pula beberapa dakwaan yang tidak benar antaranya dari pihak hospital sendiri yang mendakwa ibu bapa bayi berkenaan sebenarnya belum berkahwin.

Bapa Bayi Buka Mulut, Cerita Kisah Sebenar

Terbaharu, bapa kepada bayi Adham yang dikenali sebagai Safwan Roshdy tampil membuka mulut dan memberi penjelasan berhubung kisah tragis anaknya itu.

“Setiap hari saya ke hospital minta untuk uruskan jenazah anak tapi pihak terbabit tak benarkan. Saya beritahu nak bayar (bil hospital), tunggu gaji,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Jelas Safwan, bukanlah kehendak isterinya yang mahu bersalin di hospital swasta sebaliknya ada individu lain yang membantu menghantar pasangannya yang pada ketika itu sedang sakit untuk bersalin.

Bapa Bayi Sedang Bekerja Di Shah Alam, Sempat Iqamatkan Sebelum Bayi Meninggal

Bercerita dengan lebih lanjut, Safwan menjelaskan dia pada ketika itu sedang bekerja di sebuah kilang di Shah Alam, Selangor sebelum mendapat panggilan bahawa isterinya sedang menahan sakit untuk bersalin.

“Saya bergegas pulang dan individu yang membantu menghantar isteri saya ke hospital swasta berdekatan.

“Sebaik tiba, hospital beritahu isteri sudah nak bersalin dan saya diberitahu bayi kami tidak sempurna iaitu tiada hidung dan lubang dubur. Saya terima semua ketentuan Allah.

“Bayi saya dilahirkan dengan selamat malah semasa iqamatkan, dia aktif dan boleh menangis seperti bayi lain. Tapi selepas itu hospital beritahu anak saya dah meninggal,” katanya lagi.

Setiap Hari Minta Pada Hospital Mahu Urus Jenazah Anak

Cerita Safwan lagi, dia dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa bayinya itu meninggal dunia akibat kesukaran bernafas.

Malah, dia yang berusia 22 tahun ada memohon kepada hospital untuk menguruskan jenazah anak lelakinya itu namun pihak hospital tidak membenarkannya kerana dia masih belum menjelaskan bayaran bil.

“Setiap hari saya minta lepaskan jenazah bayi untuk dikebumi, biar isteri di hospital sementara saya belum bayar tapi hospital tak benarkan juga.

“Saya tak boleh nak buat apa sebelum minta bantuan Unit Khas Van Jenazah (UKVJ),” ujarnya lagi.

Nafi Dakwaan Belum Berkahwin, Dedah Dakwaan Mungkin Timbul Kerana Tiada Buku Pink

Safwan turut menafikan dakwaan dan kenyataan pihak hospital yang mendakwa dia serta isteri belum berkahwin selain enggan menuntut jenazah.

Jelasnya, mereka sudah berkahwin dan isu berkenaan mungkin timbul kerana isterinya yang tidak mempunyai ‘buku pink’ (rekod rawatan wanita mengandung).

Tambah Safwan lagi, isterinya tidak pernah mendapatkan rawatan di hospital kerana masalah kewangan namun mereka sentiasa memantau usia kandungan melalui aplikasi di telefon pintar.

“Saya sangat kecewa dan sedih dengan tuduhan pihak hospital dan komen orang ramai di media sosial.

“Ketika ini, keadaan isteri sangat tidak stabil. Saya tidak mahu mengganggu emosinya dan mahu ambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit,” katanya lagi.

Baca Artikel Berkaitan: Sijil Nikah Ibu Bapa Bayi Dibekukan Sahih, Pemfitnah Akan Disaman Jika Tak Padam Hantaran – Peguam Ahmad Zaharil


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd