Penjual Air Teh & Jutawan Tiada Beza Kecuali Takwa Kepada Allah, Kata Dr Zulkifli
Menurut Dr Zulkifli, terdapat hadis menceritakan keadaan seseorang yang miskin dan tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana penampilannya tidak terurus serta kedudukannya yang rendah.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh di media sosial mengenai seorang pendakwah selebriti Indonesia, Gus Miftah yang didakwa menghina seorang peniaga air teh di hadapan orang ramai dalam satu majlis.
Pendakwah asal Yogyakarta itu pada awalnya bertanya kepada penjual lelaki itu mengenai jumlah air teh yang masih belum terjual sebelum secara tiba-tiba melontarkan gurauan kasar.
Tindakan Gus Miftah telah mencetuskan kemarahan ramai warga Indonesia termasuk rakyat di negara ini yang tidak bersetuju dengan gurauan terbabit.
Dr Zulkifli beri pandangan, penjual teh dan jutawan tiada beza disisi Allah kecuali takwa
Terbaharu, Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut tampil memberikan pandangannya.
Dr Zulkifli menerusi satu hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya berkata, apa jua kedudukan seseorang sama ada penjual teh atau jutawan tiada beza di sisi Allah SWT.
Menurutnya, hal ini kerana Allah SWT menilai kedudukan seseorang umat Islam adalah berdasarkan ketaqwaan mereka.
“Sekiranya dia bersumpah atas nama ALLAH untuk sesuatu perkara, ALLAH akan memenuhi sumpahnya.
“Sekiranya dia berdoa, pasti ALLAH makbulkan. Hal ini kerana keikhlasannya, kedudukan di sisi ALLAH dan amalan yang selari dengan keredaanNya,” katanya.
Terdapat hadis cerita tentang orang miskin yang tidak dipedulikan masyarakat
Menurutnya lagi, terdapat hadis menceritakan keadaan seseorang yang miskin dan tidak dipedulikan oleh masyarakat kerana penampilannya tidak terurus serta kedudukannya yang rendah.
Daripada Abu Hurairah beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
رُبَّ أشعثَ أغبَرَ مدفوعٍ بالأبواب، لو أقسَمَ على الله لَأَبَرَّهُ
Boleh jadi orang yang rambutnya kusut masai, penuh debu, dan sering dihalau di pintu-pintu, sekiranya dia bersumpah atas nama Allah, Allah pasti memakbulkannya.
Riwayat Muslim
Jelas Dr Zulkifli, maksud madfu’ bi al-abwab dalam hadis di atas adalah dia sering dihalau di pintu-pintu kerana tiada kedudukan atau pengaruh di mata manusia.
“Namun, di sisi ALLAH SWT, dia memiliki kedudukan yang tinggi kerana ketakwaannya,” katanya lagi.
Gus Miftah akui kesalahan, tampil mohon maaf
Terdahulu, Gus Miftah yang cakna akan perkara itu telah tampil kelmarin (3 Disember) membuat permohonan maaf dan mengakui kekhilafannya.
“Assalamualaikum, saya ingin memberi respon terhadap apa yang sedang tular hari ini. Pertama sekali, dengan rendah hati, saya memohon maaf atas kekhilafan saya,” katanya dipetik Warta Kota.
Menurutnya, kata-kata kasar yang dilontarkan olehnya kepada peniaga air teh itu hanyalah gurauan semata-mata.
Baca Artikel Berkaitan: “Ya Jual Di Sana G*blok” – Pendakwah Indonesia Didakwa Hina Peniaga Air Teh Di Depan Orang Ramai [Video]
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.