Now Reading
Isu Agihan Barang Bantuan Khairul Aming: Tindakan Penghulu Asingkan Barangan Adalah Betul, Kata Penggawa Jajahan Tumpat

Isu Agihan Barang Bantuan Khairul Aming: Tindakan Penghulu Asingkan Barangan Adalah Betul, Kata Penggawa Jajahan Tumpat

Menurut Penggawa Jajahan Tumpat, jika dakwaan asingkan barang adalah benar, maka pihak terlibat boleh mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Semalam (3 Disember), kecoh di media sosial mengenai isu agihan barang bantuan yang diberikan oleh pempengaruh dan usahawan terkenal, Khairul Aming buat mangsa banjir di Kelantan.

Segalanya bermula apabila salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1 meluahkan rasa kecewa dan mendakwa barang bantuan influencer tersebut dicatu oleh Tok Penghulu.

Dakwa individu terbabit, barang bantuan yang dihantar oleh usahawan Sambal Nyet dan Daging Nyet Berapi itu sememangnya banyak namun kuantiti barang yang diterima oleh mangsa adalah sedikit.

Malah, melalui hantaran yang tular itu turut menyertakan bukti video bahawa barang bantuan tersebut diasingkan terlebih dahulu sebelum diagihkan kepada mangsa yang terjejas.

Meskipun perkara itu mendapat kecaman ramai pihak, namun masih ada yang merasakan pasti ada faktor yang menyebabkan penghulu berbuat demikian.

Baca Artikel Berkaitan: “Pembahagian Tak Adil” – Mangsa Banjir Kecewa, Dakwa Barang Bantuan Khairul Aming Dicatu Tok Penghulu [Video]

Tindakan Penghulu Asingkan Barang Adalah Betul

Bahkan, tindakan penghulu yang didakwa bertindak mengasingkan barang bantuan influencer berkenaan di PPS SK Tumpat 1 disifatkan sebagai tindakan yang betul oleh pegawai kerajaan di negeri Kelantan.

Menurut Penggawa Jajahan Tumpat Abdullah Farizal Mohd Asri, langkah tersebut bertujuan untuk memastikan sebarang bentuk bantuan dapat diagihkan dengan adil kepada mangsa banjir.

“Pihak yang bertanggungjawab terhadap PPS akan berbuat demikian. Hal ini kerana NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang beri sumbangan mereka tidak tahu jumlah penghuni PPS, jadi barangan diterima akan diasingkan dan dibahagikan.

“Nampak barangan sumbangan banyak tetapi apabila dibahagi kepada jumlah mangsa banjir yang ada, mungkin akan dapat sedikit.

“Tiada istilah kami menyorok atau berbuat sesuka hati dengan barangan sumbangan,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Kemukakan Bukti Jika Wujud Isu Sedemikian

Jelas Abdullah Farizal lagi, jika dakwaan tersebut adalah benar, maka pihak terlibat boleh mengemukakan bukti dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, Khairul Aming turut memberi respon berhubung isu terbabit. Jelas KA, pihaknya enggan masuk campur berhubung isu berkenaan.

“KA tak nak masuk campur dan saya tak benarkan team KA pun masuk campur isu tu. Info yang kami ada adalah kami cuma letak barang di sana kemudian kami terus gerak. Itu sahaja.

“Minta maaf KA tak boleh nak fokus semua ‘isu rumah tangga’ kat sana. Memang kita kat sini sangat-sangat padat dan laju sebab ramai lagi yang tak dapat bantuan,” tegas influencer itu.

Walau bagaimanapun, dia tetap menyarankan agar mangsa terlibat tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa jika benar apa didakwa.

“Kalau betul benda tu jadi, buat laporan polis ke apa ke. Tapi selain daripada itu, team KA memang tak boleh masuk campur dan tak tahu langsung info. Takut nanti jadi fitnah,”

Baca Artikel Berkaitan: Ini Respon Khairul Aming Lepas Tular Dakwaan Ada Pihak Catu Bantuan Banjir Yang Diberikannya


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd