Sultan Ibrahim Titah Henti Budaya Dera Di UPNM
Titah baginda yang juga merupakan Canselor UPNM, jika ia tidak ditangani, panglima dan komandan juga perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan.


Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Isu buli yang melibatkan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) sememangnya menarik perhatian ramai termasuklah pemimpin tertinggi negara Yang Dipertuan Agong (YDPA) Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Manakan tidak, baru sahaja selesai kes melibatkan pelajar dari universiti yang sama iaitu Allahyarham Zulfarhan Osman, timbul pula beberapa kes buli yang lain.
Malah, ada di antara kes tersebut yang dilihat menggunakan taktik buli dan dera yang seakan sama melibatkan peralatan seperti seterika.
Baca Artikel Berkaitan: “Ini Adalah Kegilaan” – Anwar Ibrahim Ulas Dakwaan Kes Buli Di UPNM
Baca Artikel Berkaitan: “Ingatkan Kes Arwah Yang Terakhir” – Bapa Zulfarhan Ulas Insiden Pelajar UPNM Didakwa Ditekap Seterika
YDPA Titah Budaya Buli UPNM Henti Serta Merta
Terbaharu, Sultan Ibrahim menitahkan agar budaya dera di UPNM perlu dihentikan serta-merta.
Baginda yang merupakan Canselor UPNM turut meminta agar semua pihak berusaha menamatkan budaya tidak sihat itu dan mengembalikan semula nama baik institusi tersebut.
Titah baginda lagi, jika ia tidak ditangani, panglima dan komandan juga perlu bertanggungjawab dengan melepaskan jawatan.
“Jika ia terus berlaku, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi. Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal menjalankan amanah.
“Saya percaya, ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera dan bukannya untuk didera,” titah baginda.
Sultan Ibrahim bertitah sedemikian ketika dalam titah sulung ketika Istiadat Pemasyhuran Seri Paduka Baginda sebagai Canselor UPNM dan Konvokesyen ke-14 pada hari ini.
Disiplin & Budaya Tentera Jadi Falsafah Utama UPNM
Titah Sultan Ibrahim lagi, falsafah UPNM adalah untuk menjadi universiti utama dalam bidang pertahanan, ketenteraan dan keselamatan.
Oleh sebab itu UPNM dikawal selia oleh Kementerian Pertahanan (MNDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Akademi Latihan Ketenteraan.
“Ini bermakna, disiplin dan budaya tentera adalah menjadi falsafah utama universiti ini. Namun begitu, saya merasa dukacita dengan budaya penderaan yang berlaku, sehingga menyebabkan kematian seorang pegawai kadet pada tahun 2017.
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera hingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
“Lebih mendukacitakan saya, walaupun kejadian penderaan sebelum ini telah dihadapkan ke mahkamah, tetapi perkara ini masih terus berlaku pada setiap tahun, seperti tiada usaha yang serius diambil oleh mana-mana pihak,” titah Sultan Ibrahim.
Beri Peringatan Kepada Graduan Tentang Alam Pekerjaan & Zahir Ucapan Tahniah
Ketika Istiadat Konvokesyen itu juga, baginda turut memberi peringatan dan nasihat kepada graduan bahawa mereka akan mengharungi pelbagai cabaran dalam dunia pekerjaan.
Titah baginda, tiada jalan mudah untuk mencipta kejayaan yang memerlukan usaha keras dan takwa dalam setiap pekerjaan.
Pada masa yang sama, baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada graduan yang berjaya menamatkan pengajian.
“Jadilah insan yang sentiasa bersyukur dan seorang anak yang sentiasa mengenang jasa serta mendoakan kedua ibu bapanya.
“Sudah tentu kejayaan ini adalah juga berkat doa restu daripada ibu dan bapa, serta usaha daripada tenaga pengajar.
“Justeru itu, jangan sekali-kali awak semua melupakan jasa dan peranan ibu bapa serta tenaga pengajar,” titah baginda lagi.
Baca Artikel Berkaitan: Lima Pegawai Kadet UPNM Terlibat Penganiayaan Dibatalkan Lantikan, Diberhentikan – Khaled Nordin
Baca Artikel Berkaitan: ATM Lakukan 8 Langkah Penambahbaikan & Pencegahan Atasi Gejala Buli Di UPNM
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.