Now Reading
Banjir Fair Park: Kesan Minyak Sukarkan Penduduk Bersih Rumah, Sebabkan Gatal-Gatal

Banjir Fair Park: Kesan Minyak Sukarkan Penduduk Bersih Rumah, Sebabkan Gatal-Gatal

Salah seorang penduduk Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh menjelaskan walaupun tidak berbau namun air banjir yang membawa minyak seperti tompokan lemak itu turut menyebabkan badan mengalami kegatalan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Bencana banjir yang sedang melanda beberapa negeri di Malaysia khususnya di Pantai Timur seperti Kelantan dan Terengganu sememangnya amat membimbangkan.

Manakan tidak, kebanyakan lokasi ditenggelami air hingga menyukarkan penduduk setempat lebih-lebih lagi sekarang ini sedang berlangsungnya Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).

Selain kawasan Pantai Timur, kejadian banjir kilat yang berlaku di Arena Kepayang Putra, Fair Park, Ipoh pada 1 Disember lalu turut mendapat perhatian ramai disebabkan air banjirnya yang kelihatan kotor dan berminyak.

Penduduk menyifatkan kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sepanjang tempoh 28 tahun menetap di situ.

Hujan sejak petang menyebabkan Taman Fairpark, Ipoh, Perak dilanda banjir hari ini (1 Disember). Menerusi video yang tular di media sosial, keadaan di sana turut menunjukkan air banjir termenung. Lebih menggusarkan, air tersebut turut dilihat tercemar dan dipenuhi sampah sarap. Sumber: Deric Lee

Posted by The Rakyat Post – BM on Sunday 1 December 2024

Baca Artikel Berkaitan: [Video] Banjir Di Fair Park, Ipoh Pertama Kali Berlaku Dalam Tempoh Hampir 30 Tahun

Kediaman Sukar Dibersihkan Akibat Tompokan Minyak

Terbaharu, penduduk Persiaran 10 Arena Kepayang Putra, Fair Park mendedahkan mereka berhadapan dengan kesukaran mencuci kediaman akibat tompokan minyak yang dibawa oleh air banjir tempoh hari.

Menurut salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmad Fahmi Rashid Redza, kesan minyak berkenaan masih terdapat di sebahagian besar kediamannya walaupun telah dicuci daripada lumpur dan sampah lain yang dibawa oleh air tersebut.

Badan Turut Alami Kegatalan

Jelasnya, walaupun tidak berbau namun air banjir yang membawa minyak seperti tompokan lemak itu turut menyebabkan badan mengalami kegatalan.

“Sampah yang dibawa oleh banjir itu biasa, namun banjir kali ini kesan minyak masih tinggal dengan sangat ketara biarpun kesan lumpur sudah dibersihkan.

“Air banjir menyebabkan badan anak berasa gatal. Saya percaya minyak ini berpunca dari Sungai Kinta yang terletak kira-kira 70 meter dari sini,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro.

Tiada Rasa Jijik Ketika Redah Air, Hanya Fikir Keselamatan

Mengimbau kembali detik kejadian itu, Ahmad Fahmi yang merupakan bapa kepada tiga menjelaskan hujan tidak lebat namun berterusan sejak petang hari sebelumnya hingga menyebabkan paras air naik setinggi satu meter kira-kira jam 5 petang pada Ahad lalu.

“Pada jam 5 petang air sudah naik tinggi. Tidak timbul rasa jijik walaupun terpaksa meredah air banjir bercampur minyak sebab saya lebih fokus memikirkan keselamatan anak-anak dan redah banjir untuk berpindah.

“Namun, saya berpatah balik bersama isteri dan tiga anak kerana rasa tidak selamat dan menunggu pasukan penyelamat,” katanya lagi.

Penduduk Lain Turut Kongsi Kesan Sama, Alami Gatal Pada Badan

Pada masa yang sama, seorang lagi penduduk yang dikenali sebagai Kamariah Dilip Muhamad mendedahkan anak bongsunya yang berusia 12 tahun kini mengalami kesan gatal ketara pada tangan dan kaki akibat air banjir berkenaan.

Dia yang merupakan seorang suri rumah menjelaskan air banjir pada ketika itu dilihat sangat kotor dengan kesan minyak dan sampah yang terapung.

Risau jika keadaan menjadi bertambah teruk, dia walau bagaimanapun tetap meredah air banjir berkenaan bersama anak sulungnya yang berusia 19 tahun.

“Saya dan anak sulung meredah banjir dalam keadaan kaki ayam kerana banyak kasut sudah hanyut.

“Sementara anak bongsu bersama datuk dan nenek menaiki bot pasukan penyelamat,” katanya.

Dia turut mendedahkan banjir berkenaan sebagai pengalaman pertama yang dialami olehnya sepanjang tempoh 20 tahun tinggal di taman tersebut.

Banjir Boleh Beri Kesan Kepada Kesihatan

Sekadar info, bencana banjir boleh memberi kesan kepada kesihatan individu. Antara penyakit berjangkit yang mudah merebak pada waktu dan selepas banjir adalah seperti berikut:

  • Jangkitan pernafasan akut
  • Keracunan makanan
  • Leptospirosis
  • Cirit-birit
  • Demam Kepialu
  • Malaria
  • Hepatitis A

Penyakit-penyakit yang mudah berjangkit semasa banjir :- 1. Cirit-birit 2. Leptospirosis (Kencing tikus) 3. Taun/Kolera 4. Keracunan makanan 5. Demam denggi 6. Jangkitan kulit

Posted by Kementerian Kesihatan Malaysia – Portal Myhealth on Sunday 21 December 2014


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd