Now Reading
Tarif 100% Kepada Negara BRICS Jika Dolar AS Diganti – Donald Trump

Tarif 100% Kepada Negara BRICS Jika Dolar AS Diganti – Donald Trump

Presiden Terpilih AS itu menuntut negara BRICS untuk komited menggunakan dolar sebagai mata wang rizab mereka dan mengelak daripada mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong alternatif lain.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum mengetahui, beberapa tahun kebelakangan ini, negara-negara BRICS telah mengadakan perbincangan untuk beralih daripada penggunaan dolar Amerika Syarikat (AS) dengan mewujudkan mata wang tersendiri.

Kumpulan kerjasama ekonomi BRICS itu terdiri daripada negara Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan dan kini merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia serta Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bahkan, pada Oktober lalu, 13 negara termasuk Malaysia secara rasminya diiktiraf sebagai rakan negara BRICS.

Baca Artikel Berkaitan: Malaysia Secara Rasmi Sertai BRICS Bersama 12 Negara Lain

Perbincangan mengenai peralihan pengguaan dolar semakin memuncak selepas AS mengenakan sekatan terhadap Rusia pada 2022 dahulu susulan operasi ketenteraan khas di Ukraine.

Trump beri amaran, akan kenakan tarif 100% kepada negara-negara BRICS

Terbaharu, Presiden Terpilih AS, Donald Trump yang melihat perkara itu sebagai satu ancaman mula memberi amaran keras.

Menurut Awani yang memetik Anadolu Agency, Trump berkata, beliau akan mengenakan tarif 100% kepada mana-mana negara BRICS yang cuba menggantikan penggunaan dolas AS dalam perdagangan antarabangsa.

“Pandangan yang negara-negara BRICS cuba beralih daripada penggunaan dolar sementara kita hanya berdiam diri sudah tamat,” kata Trump menerusi catatan Truth Social pada Sabtu lalu (30 November).

Foto: Facebook/Donald J. Trump

Tuntut negara-negara BRICS komited gunakan dolar sebagai mata wang rizab

Trump menuntut negara-negara berkenaan untuk komited menggunakan dolar sebagai mata wang rizab mereka dan mengelak daripada mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong alternatif lain.

“Kami memerlukan komitmen daripada negara-negara ini yang mereka tidak akan mencipta mata wang BRICS baharu atau menyokong mana-mana mata wang lain untuk menggantikan Dolar AS, jika tidak, mereka akan menghadapi tarif 100% dan harus bersedia mengucapkan selamat tinggal untuk menjual barangan mereka dalam ekonomi AS yang menarik.

“Tiada peluang bagi BRICS untuk menggantikan Dolar AS dalam perdagangan antarabangsa dan mana-mana negara yang cuba berbuat demikian harus mengucapkan selamat tinggal kepada Amerika,” katanya.

Malaysia berhasrat sertai BRICS

Terdahulu, Malaysia menerusi pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga secara amnya telah menyatakan hasrat untuk menyertai BRICS.

Memetik laman web rasmi, Majlis Keselamatan Negara (MKN), berdasarkan Matriks Keselamatan Negara yang dinyatakan dalam Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, Matriks ke-5 (Keutuhan Ekonomi) telah menggariskan bahawa terdapat keperluan bagi Malaysia berusaha menjamin kemampanan ekonomi melalui kecekapan pengurusan sumber pendapatan negara.

“Ia bermatlamat supaya kemakmuran ekonomi dapat dihasilkan dan dinikmati oleh rakyat Malaysia. Sekiranya ekonomi yang utuh dapat dihasilkan, impaknya akan dapat dilihat dengan peningkatan kadar tukaran mata wang ringgit berbanding dolar.

“Secara amnya, penyertaan Malaysia di dalam BRICS berpotensi membawa banyak manfaat. Namun ianya memerlukan pertimbangan yang sewajarnya terutamanya bagi menangani risiko dan cabaran yang mungkin dihadapi,” kata MKN.

Akhirnya pada 24 Oktober 2024, Malaysia serta 12 negara lain secara rasminya menjadi negara rakan kongsi BRICKS.

Namun, kesemua 13 negara ini belum lagi dikategorikan sebagai negara penuh BRICS.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd