Tiong King Sing Jelas Permohonan Maaf kepada Rakyat China & Jepun Bukan Kerana Isu Papan Tanda
Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan perkara itu selepas Ahli Parlimen Machang menyelar tindakannya yang memohon maaf kepada pelancong dari dua negara itu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing baru-baru ini mengenai tindakan DBKL berhubung isu papan tanda dwibahasa nyata menarik perhatian ramai.
Sehingga kini, ada sahaja pihak yang mempersoal kenyataan Tiong berhubung isu berkenaan.
Namun, kemudiannya timbul pula satu isu baharu apabila Tiong memohon maaf kepada pelancong China atas pengalaman yang tidak menyenangkan ketika berkunjung ke Malaysia.
Dia yang ketika itu merasmikan China International Travel Mart (CITM) di Shanghai berkata kementeriannya menyedari ada beberapa pelancong dari China yang berdepan dengan pengalaman tidak menyenangkan di Malaysia.
Dalam laporan Malaysia Kini, Tiong bagaimanapun tidak menyebut apakah pengalaman tidak menyenangkan yang dialami oleh pelancong warga China itu.
Baca Artikel Berkaitan: Kenyataan Konon DBKL Turun Papan Tanda Bahasa Mandarin Boleh Jejaskan Pelancong Hanya Alasan – Pakar Bahasa
Tiong Buka Mulut, Jawab Dakwaan Sesetengah Pihak
Terbaharu, Tiong yang juga merupakan Ahli Parlimen Bintulu tampil membuka mulut menjawab segala dakwaan yang dikeluarkan oleh pihak tertentu.
Menerusi video yang dimuat naik di Facebook miliknya, Tiong menjelaskan permohonan maaf yang dibuat terhadap pelancong China dan Jepun bukanlah kerana isu papan tanda.
Sebaliknya, ia adalah berkaitan dengan kemalangan serius yang berlaku di Malaysia membabitkan pelancong dari dua buah negara itu.
“Saya juga ingin menegaskan bahawa permohonan maaf ini sama sekali tidak berkaitan dengan isu papan tanda.
“Sebaliknya, ia adalah tanggungjawab kita sebagai tuan rumah untuk memastikan pelancong dapat menikmati percutian mereka dengan selamat dan gembira.
“Apabila pelancong datang ke Malaysia dengan harapan untuk bercuti, tetapi berakhir dengan tragedi yang tidak diingini, ia sesuatu yang amat menyedihkan bagi mangsa serta ahli keluarga mereka.
“Kita perlu mengambil langkah serius untuk memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” tulisnya.
Tiong menjelaskan sedemikian selepas Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyelar tindakannya yang memohon maaf kepada pelancong dari dua negara itu.
DBKL Diharap Dapat Berkomunikasi Dengan Baik Mengenai Isu Papan Tanda
Dalam hantaran yang sama, Tiong turut menyarankan agar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dapat berkomunikasi dengan peniaga secara baik khususnya membabitkan isu papan tanda agar perkara tersebut tidak berpanjangan.
Jelas Tiong, selari dengan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa rakyat Malaysia ialah satu keluarga, semua pihak seharusnya menjaga keharmonian dan perpaduan antara satu sama lain tanpa menimbulkan ketegangan.
Mohon Semua Pihak Tidak Cetuskan Isu Perkauman Yang Boleh Jejaskan Keharmonian Rakyat
Pada masa yang sama, Tiong mempersoal tindakan beberapa pihak seperti Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, Exco Melaka, YB Dr Muhammad Akmal Saleh dan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Seri Mas Ermieyati Samsudin yang didakwa cuba mencetuskan isu perkauman dan menjejaskan keharmonian rakyat.
Jelas Tiong, seorang pemimpin seharusnya lebih bertanggungwab dalam menyelesaikan sesuatu isu dan bukannya mencipta masalah.
Malah, Tiong turut mempersoal peranan Mas Ermieyati ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Pelancongan terutamanya dalam meningkatkan kehadiran pelancong ke negara ini.
Tambahnya lagi, kerajaan kini sedang berusaha dan bekerja keras bagi membantu peniaga kecil khususnya di tepi jalan agar mereka dapat memajukan perniagaan disamping memberi kehidupan yang lebih baik kepada keluarga.
Terbuka Terima Teguran & Kritikan Yang Membina
Tiong juga menjelaskan dia terbuka untuk menerima sebarang teguran dan kritikan yang membina.
“Jika saya melakukan kesilapan, saya akan dengan rendah hati mengakuinya dan memperbaikinya namun saya berharap kita tidak terus mencetuskan huru-hara dan ketegangan terutamanya dengan isu yang tidak membawa manfaat kepada negara.
“Saya memohon jasa baik semua untuk sama-sama melihat kesusahan rakyat dan fokus kepada kemajuan negara kerana kita harus menonjolkan imej serta contoh positif negara kita di mata dunia,” tulisnya lagi.
Terdahulu, Tiong menjadi perhatian ramai apabila meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa menyasarkan papan tanda tidak mempunyai bahasa Melayu atau dwibahasa dalam sebuah operasi baru-baru ini.
Menurut Tiong, tindakan sedemikian menyebabkan ada pelancong yang mempersoal keterbukaan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum sekali gus menjejaskan kedatangan mereka ke negara ini.
Baca Artikel Berkaitan: Fahmi Fadzil Saran PBT Perlu Adil Laksana Undang-Undang Papan Tanda Dwibahasa
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.