Mufti Johor Dedah Permainan Kuda Kepang Ada Unsur Bertentangan Dengan Islam
Jelas Mufti Johor, pihaknya telah mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Johor serta Yayasan Warisan Johor dengan mendapatkan pandangan berhubung permainan kuda kepang.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Malaysia sememangnya terkenal dengan kepelbagaian budaya dan seni warisannya yang tersendiri.
Malah, setiap negeri mempunyai identiti dan budaya masing-masing contohnya seperti Kelantan yang terkenal dengan tarian Mak Yong dan wayang kulit manakala Johor pula terkenal dengan kuda kepang.
Walau bagaimanapun, ada di antara warisan dan seni budaya ini dilihat menggunakan elemen mistik dan bertentangan dengan agama Islam.
Permainan Kuda Kepang Bertentangan Dengan Islam – Mufti Johor
Terbaharu, Jabatan Mufti Johor sedang dalam proses memfatwakan permainan kuda kepang selepas mendapati terdapat unsur tidak menepati ajaran dan akidah Islam dalam permainan tersebut.
Menurut Mufti Johor Datuk Yahya Ahmad, ia jelas terbukti berdasarkan hasil kajian yang tidak boleh disangkal terhadap permainan tradisi masyarakat di negeri itu.
Jelas Yahya, berdasarkan kajian yang telah dijalankan sejak dua tahun lalu, pihaknya mendapati ia sangat jelas dan tidak mudah untuk disangkal.
“Justeru, kerana itulah kita perlu perkemaskan lagi dan Insya-Allah, kita masih dalam proses tindakan selanjutnya bagi memastikan fatwa itu dapat dikuatkuasakan.
“Bagaimanapun, kita faham kuda kepang adalah sebahagian budaya masyarakat kita. Maka apabila kita nak menyatakan kuda kepang itu tidak betul, kita kena beri penjelasan.
“Ini membolehkan mereka menerima sebaik mungkin. Kita tidak mahu masyarakat terus terlibat dengan perkara perkara yang merosakkan akidah,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.
Permainan Kuda Kepang Pernah Difatwakan Haram Tahun 2009 Tetapi Belum Diwartakan
Tambah Yahya lagi, permainan itu sebelum ini pernah difatwakan haram pada tahun 2009 namun ia belum diwartakan.
Malah, ia perlu diperkemaskan agar keputusan yang dibuat adalah berdasarkan kajian dan dapatan yang diperolehi.
“Insya-Allah kita akan laksanakan sebaik mungkin secara berperingkat dan pada masa sama kita juga menyediakan alternatif lain,” ujarnya.
Dapat Kerjasama Yang Baik Daripada Agensi Kerajaan Negeri
Yahya turut memaklumkan pihaknya telah mendapat kerjasama yang baik daripada Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Johor serta Yayasan Warisan Johor dengan mendapatkan pandangan berhubung isu berkenaan.
“Beri masa pada kita untuk memastikan dan juga membuat hebahan kepada masyarakat.
“Selain Johor, ada lagi negeri lain sedang menunggu keputusan daripada kita bagaimana bentuknya supaya mereka dapat berkongsi sama,” katanya lagi.
Untuk info, Jawatankuasa Fatwa Johor yang bersidang pada 18 Februari 2009 sebelum ini memutuskan tarian kuda kepang difatwakan haram kerana mempunyai unsur mistik dan pujaan.
Malah, antara ringkasan hujah pengharaman kuda kepang dari Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor adalah:
- Mempunyai unsur syirik iaitu melakukan jampi dengan pertolongan daripada jin dan syaitan.
- Mempunyai unsur khurafat iaitu semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang larang atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran Islam.
Pengharaman permainan Kuda Kepang adalah demi menjaga syariah Islamiah.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.