Now Reading
Fahmi Fadzil Saran PBT Perlu Adil Laksana Undang-Undang Papan Tanda Dwibahasa

Fahmi Fadzil Saran PBT Perlu Adil Laksana Undang-Undang Papan Tanda Dwibahasa

DBP dalam satu kenyataan pada Ahad (24 November) lalu menjelaskan pihaknya menyokong tindakan DBKL mengambil tindakan kepada pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen serta tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dalam papan iklan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Isu mengenai papan tanda dwibahasa masih hangat lagi diperkatakan hingga kini.

Segalanya bermula apabila Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sing meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa menyasarkan papan tanda tidak mempunyai bahasa Melayu atau dwibahasa dalam sebuah operasi baru-baru ini.

Menurut Tiong, tindakan itu menyebabkan ada pelancong yang mempersoal keterbukaan Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum sekali gus menjejaskan kedatangan mereka ke negara ini.

Kenyataan Tiong itu nyata mendapat perhatian ramai termasuklah pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong serta Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Baca Artikel Berkaitan: Kenyataan Konon DBKL Turun Papan Tanda Bahasa Mandarin Boleh Jejaskan Pelancong Hanya Alasan – Pakar Bahasa

Fahmi Fadzil Saran PBT Lakukan Pemantauan Secara Berterusan

Terbaharu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyarankan agar Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melakukan pemantauan secara berterusan dan tidak mengambil tindakan secara bermusim berhubung penguatkuasaan undang-undang melibatkan peraturan papan tanda dwibahasa.

Jelas Fahmi, tindakan sebegitu boleh menyebabkan timbulnya persepsi negatif dalam kalangan rakyat khususnya peniaga tempatan.

“Sekiranya sesuatu papan tanda itu melanggar peraturan, jangan tunggu bertahun barulah tindakan diambil kerana ini memberi satu persepsi yang berbeza kepada rakyat. Perlu berlaku adil.

“Kalau peniaga difahamkan dari awal bahawa papan tanda itu perlu mengikut peraturan tertentu, maka biarlah dari awal. Jangan di hujung-hujung baru nak ambil tindakan,” katanya yang dipetik dari Kosmo.

Mohon Jangan Polemikkan Isu Papan Tanda Dwibahasa

Tambah Fahmi lagi, isu tersebut tidak perlu dipolemikkan memandangkan ia merupakan antara syarat yang telah termaktub bagi permohonan lesen perniagaan oleh PBT.

“Mereka harus faham dan patuh kepada peraturan-peraturan ini kerana mereka perlu mendapatkan lesen untuk meletakkan papan tanda,” katanya lagi.

Bahasa Kebangsaan Pada Papan Tanda & Iklan Perlu Selaras Mengikut Undang-Undang PBT

Pada Ahad (24 November) lalu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam satu kenyataan di Facebook menjelaskan pihaknya menyokong tindakan DBKL yang mengambil tindakan kepada pemilik premis yang mempamerkan iklan tanpa lesen serta tidak mengutamakan bahasa kebangsaan dalam papan iklan.

Jelas DBP, peraturan yang menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam iklan serta tiada larangan terhadap penggunaan bahasa asing dalam satu papan tanda atau iklan yang sama sememangnya telah termaktub dalam Undang-Undang Kecil Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1982 asalkan bahasa kebangsaan diberi keutamaan dari segi kedudukan dan saiz.

“Pemilik premis pastinya mengambil maklum akan undang-undang itu apabila memperbaharui lesen perniagaan pada setiap tahun.

“Amat mendukacitakan apabila pelanggaran terhadap undang-undang ini dibuat secara terang-terangan dengan pelbagai alasan, malahan terdapat segelintir pemilik premis berani menaikkan iklan yang tidak langsung menggunakan bahasa kebangsaan dan beroperasi tanpa lesen yang sah,” katanya.

Warganegara Perlu Hormati & Patuhi Undang-Undang Yang Ditetapkan

Malah, DBP berpendapat warganegara yang bertanggungjawab seharusnya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Tindakan ini selaras dengan salah satu prinsip Rukun Negara, iaitu Kedaulatan Undang-undang.

“Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini bukan saja mencabuli undang-undang, tetapi juga menunjukkan pengabaian terhadap tanggungjawab kita sebagai rakyat,” katanya lagi.

DBP Bekerjasama Kepada Peniaga, Sedia Perkhidmatan Pengesahan Penggunaan Bahasa Kebangsaan

Bagi memastikan pemilik premis mengikut peraturan yang ditetapkan, DBP sedia bekerjasama dan menawarkan khidmat serta panduan buat mereka yang mahu memastikan iklan mereka mematuhi peraturan.

“DBP juga bersedia memberikan panduan dan sokongan kepada peniaga dalam proses ini melalui perkhidmatan pengesahan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan (papan iklan luar, papan premis, iklan tiang, gegantung, pelabelan, iklan badan kenderaan, risalah dan poster),” ujarnya lagi.

Perkhidmatan tersebut boleh dicapai secara dalam talian melalui Sistem DBP Sah Bahasa dan Khidmat Nasihat Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP).

KENYATAAN MEDIA Bahasa Kebangsaan dan Kedaulatan Undang-undang #BahasaJiwaBangsa

Posted by Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia on Sunday 24 November 2024


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram. 

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd