Tun M Luah Isu Papan Tanda Shopping Mall Di KL Bukan Bahasa Melayu, Ini Respon DBP
Menurut DBP, mereka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau penggunaan bahasa kebangsaan dalam paparan awam.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Semalam (18 November), bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan rasa kecewa dan bimbang apabila melihat penggunaan bahasa Cina yang digunakan secara meluas di sebuah kompleks pusat beli belah di Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan di media sosial rasmi miliknya, beliau memuat naik hantaran itu selepas mengunjungi salah satu pusat beli belah di ibu negara pada hujung minggu lalu.
Melalui hantaran tersebut, beliau memuji kompleks berkenaan sebagai ‘fantastic dan lebih hebat daripada London dan Tokyo’.
Walau bagaimanapun, apa yang menarik perhatian beliau adalah penggunaan ketara tulisan Cina pada papan tanda yang menurutnya mengatasi penggunaan Bahasa Melayu. Ini membuatkan beliau tertanya-tanya adakah Malaysia kini sebahagian daripada China.
Malah, Dr Mahathir turut mempersoalkan adakah keadaan itu mencerminkan penghakisan identiti kebangsaan Malaysia.
DBP Pandang Serius Isu Pengabaian Bahasa Kebangsaan
Peka dengan isu yang disuarakan oleh Dr Mahathir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tampil memberi kenyataan.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi mereka, DBP menjelaskan pihaknya memandang serius isu pengabaian bahasa kebangsaan.
“DBP mengambil maklum akan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad berkaitan dengan penggunaan bahasa asing yang meluas di kompleks beli-belah di Kuala Lumpur.
“DBP menyambut baik dan menghargai kecaknaan Tun dan masyarakat khasnya dalam memastikan bahasa kebangsaan sentiasa dimartabatkan selaras dengan Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan,” tulisnya.
Sentiasa Bekerjasama Dengan PBT, Pantau Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Tambah DBP lagi, mereka sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memantau penggunaan bahasa kebangsaan dalam paparan awam.
Ia selaras dengan arahan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang mewajibkan pengiklan serta agensi pengiklanan di Malaysia mematuhi peraturan seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Kecil Iklan tentang penguatkuasaan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan di tempat awam serta penggunaan nama khas.
“Sebagai rakyat Malaysia, segala bentuk tindakan yang meremehkan Bahasa Kebangsaan tidak wajar dibiarkan.
“Semua pihak haruslah bersedia memikul tanggungjawab bersama untuk memastikan Bahasa Melayu pada kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan dan rasmi negara,” katanya lagi.
Turut Tawar Perkhidmatan Pengesahan Penggunaan Bahasa Kebangsaan
Pada masa yang sama, DBP turut menawarkan perkhidmatan pengesahan penggunaan bahasa kebangsaan pada paparan iklan secara dalam talian melalui Sistem DBP Sah Bahasa dan Khidmat Nasihat Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (KNDBP) bagi membantu mereka yang menghadapi masalah penggunaan bahasa itu.
Malah, menerusi kenyataan itu, DBP turut menyenaraikan jenis paparan iklan yang boleh menggunakan perkhidmatan pengesahan tersebut seperti berikut:
- Papan iklan luar
- Papan premis
- Iklan tiang
- Gegantung
- Pelabelan
- Iklan badan kenderaan
- Risalah
- Poster
KENYATAAN MEDIA BAHASA KEBANGSAAN CITRA JATI DIRI BANGSA #BahasaJiwaBangsa
Posted by Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia on Monday 18 November 2024
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.