Now Reading
Pos Malaysia Tambah 1,092 Motosikal Elektrik Modenas Untuk Armada EV

Pos Malaysia Tambah 1,092 Motosikal Elektrik Modenas Untuk Armada EV

Selain 1,092 motosikal elektrik MODENAS yang terkini, Pos Malaysia juga dijangka menambah van elektrik baharu ke dalam armada EV mereka pada tahun depan.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional mengumumkan inisiatif kelestarian terbaharu dengan penambahan 1,092 unit motosikal elektrik ke dalam armadanya.

Langkah ini merupakan hasil kerjasama dengan Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) pemasang MEV-1 PRO, dan penyedia program pajakan DRB-HICOM EZ-Drive Sdn Bhd (AVIS) yang menunjukkan komitmen seluruh kumpulan untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih bersih dan hijau demi masa hadapan yang cemerlang.

Pengembangan armada ini menyokong komitmen Pos Malaysia untuk mencapai elektrifikasi  sepenuhnya bagi armada penghantaran jarak pertama dan terakhirnya menjelang 2030, selaras dengan sasaran Sifar Bersih menjelang 2050. Motosikal-motosikal ini akan dihantar secara berperingkat dan akan menyertai armada kenderaan elektrik sedia ada milik syarikat, termasuk 220 motosikal elektrik dan 143 van elektrik.

Selain 1,092 motosikal elektrik MODENAS yang terkini, Pos Malaysia juga dijangka menambah van elektrik baharu ke dalam armadanya yang semakin berkembang pada tahun depan, mengukuhkan fokus berterusan syarikat dalam mengurangkan emisi kenderaan dan mencapai penghantaran hijau 100% untuk jarak pertama dan terakhir menjelang 2030. 

Armada baharu motosikal elektrik yang dijadualkan dihantar kepada Pos Malaysia secara  berperingkat akan melengkapkan 220 buah motosikal elektrik serta 143 buah van elektrik yang sudah beroperasi dalam rangkaian penghantaran syarikat.

Menyokong Ekosistem B2B dengan Penyelesaian EV Praktikal 

MEV-1 PRO direka khas untuk tujuan B2B, memenuhi keperluan spesifik dan tuntutan operasi  perkhidmatan logistik dan penghantaran. Dengan ketahanan dan kepraktisannya, MEV-1 PRO  adalah pilihan yang sangat sesuai untuk aplikasi yang berfokuskan perniagaan, menyediakan  penyelesaian pengangkutan yang kukuh dan mampan bagi syarikat yang mengutamakan impak alam sekitar.

Selain itu, MODENAS akan memperluas ketersediaan motosikal EV untuk pasaran  B2C, dengan model yang lebih mampu milik akan dilancarkan pada Suku Pertama 2025 dan  akses B2C yang lebih luas dirancang untuk Suku Kedua 2025. Pendekatan berperingkat ini  membolehkan MODENAS memenuhi keperluan pelbagai pengguna di seluruh ekosistem, daripada perniagaan hingga pengguna individu, sambil menyokong matlamat iklim dan kelestarian yang lebih luas di Malaysia. 

MODENAS akan menyediakan penyelenggaraan dan servis yang menyeluruh untuk MEV-1 PRO melalui rangkaian pusat servisnya di seluruh negara, memastikan kebolehpercayaan dan  penyelenggaraan yang dipermudahkan bagi pengendali armada. MEV-1 PRO menjadi pilihan  utama bagi Pos Malaysia kerana ketahanannya yang luar biasa, kecekapan bateri, dan  kuasanya—ciri-ciri yang sangat dihargai oleh pasukan penghantaran Pos Malaysia.

Direka untuk menangani beban berat, ia menyokong kapasiti keseluruhan hingga 250 kg, termasuk berat penunggang hingga 100 kg dan kargo hingga 150 kg. Dengan keluaran kuasa maksimum sebanyak 4.3 kW dan keupayaan untuk mendaki cerun sehingga 19 darjah, MEV-1 PRO mengatasi model EV pesaing, menjadikannya sangat berkemampuan untuk laluan penghantaran  yang mencabar.  

Memperluas Kesiapan Armada untuk Masa Depan yang Mampan Di majlis pemeriksaan dan penyerahan di ibu pejabat MODENAS, Fiona Liao, Ketua Pegawai  Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia menyatakan komitmen syarikat untuk mengurangkan jejak alam sekitarnya.

Di Pos Malaysia, kami menggalas tanggungjawab untuk mengurangkan impak terhadap alam sekitar dan secara aktif berusaha  untuk melakukan yang lebih baik demi planet ini. Pada bulan Mac 2023, kami telah melancarkan Peta Hala Tuju Kelestarian kami dengan hasrat untuk mencapai sasaran pelepasan karbon Sifar  Bersih menjelang 2050 – menjadikan kami syarikat logistik pertama di Malaysia yang membuat  komitmen ini. Sejak itu, kami telah melaksanakan misi untuk menjadikan operasi kami lebih mesra  alam dan lestari, sejajar dengan matlamat iklim negara yang lebih luas.

Ketua Pegawai  Pemasaran, Komunikasi dan Kelestarian Kumpulan Pos Malaysia, Fiona Liao

Teras kepada perjalanan kami menuju ke pelepasan karbon Sifar Bersih adalah pengenalan dan peralihan kepada kenderaan elektrik, di mana kami telah mencapai kemajuan yang amat  membanggakan. Sebagai sebuah organisasi progresif yang memperjuangkan kelestarian, kami  terus membuat kemajuan baharu hari ini dengan penambahan motosikal elektrik daripada rakan strategik kami, MODENAS dan AVIS. Kami yakin bahawa armada EV yang diperluas ini akan  membolehkan kami membuat penghantaran yang lebih selamat dan cekap, sambil menyumbang  kepada udara yang lebih bersih dan persekitaran yang lebih sihat untuk komuniti yang kami layani,” tambahnya. 

Inovasi Hijau dan Kerjasama 

Roslan Roskan, CEO MODENAS, menekankan komitmen syarikat untuk memajukan  penyelesaian yang mampan: “Motosikal elektrik MEV-1 PRO menggambarkan dedikasi kami  terhadap pilihan pengangkutan yang praktikal dan mesra alam untuk sektor B2B di Malaysia.  Kami teruja untuk menyokong perjalanan hijau Pos Malaysia, dan tawaran motosikal B2C kami  yang akan datang akan membolehkan lebih ramai pengguna menikmati mobiliti yang mampan  dan mampu milik.” 

Mohd Syahrul Yusuf, CEO AVIS, pula menekankan kepentingan kerjasama korporat untuk  perubahan yang berimpak.

“AVIS berbangga untuk bekerjasama dengan Pos Malaysia dan  MODENAS dalam inisiatif ini, menyokong bukan sahaja logistik yang lebih hijau tetapi juga matlamat alam sekitar Malaysia yang lebih luas. Bersama-sama, kami membuat sumbangan  bermakna kepada udara bersih dan bandar yang mampan, memastikan kami memenuhi  keperluan hari ini dan masa depan.” 

Manfaat Sepanjang Rangkaian Ekosistem EV 

Kerjasama ini mengukuhkan ekosistem EV Malaysia, menyokong pelbagai pihak berkepentingan.  Dengan fokus MODENAS terhadap segmen B2B dan B2C, penyelesaian penyewaan mampan  AVIS, serta armada EV Pos Malaysia yang semakin berkembang, kerjasama ini memberi manfaat  di sepanjang rantaian nilai—daripada mengurangkan emisi dalam sektor logistik hingga menyediakan mobiliti mesra alam yang mampu milik untuk perniagaan dan pengguna. 

Pelan Hala Tuju Kelestarian Pos Malaysia merangkumi enam bidang kerja utama: kaedah  penghantaran, pengoptimuman armada, bangunan hijau, pengurusan sisa, pengguna mesra  alam, dan rantaian bekalan yang bertanggungjawab. Beberapa pencapaian ketara setakat ini  termasuk 2.8 juta kilometer bersih yang dihantar oleh armada EV sedia ada, bersamaan dengan  pemanduan 71 kali mengelilingi Bumi. Pada tahun 2025, Pos Malaysia akan menambah van  elektrik baharu, mengukuhkan matlamat armada 100% elektrik untuk jarak pertama dan terakhir  menjelang 2030. 

Pos Malaysia adalah syarikat peserta UN Global Compact (UNGC) dan ahli program  International Post Corporation (“IPC”) Sustainability Measurement and Management System  (SMMS), dan secara aktif menyumbang kepada pengurusan kelestarian dan mengurangkan  jejak karbon dalam industri pos dan penghantaran.

Kekal terhubung dengan Pos Malaysia di sini atau ikuti perkembangan terkini di media sosial seperti Facebook, XInstagram dan lain-lain.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd