Now Reading
Isu ‘Double Standard’ Tak Kunci Tayar Kereta Mewah, DBKL Tampil Beri Penjelasan

Isu ‘Double Standard’ Tak Kunci Tayar Kereta Mewah, DBKL Tampil Beri Penjelasan

Menurut DBKL, pihaknya berpegang teguh kepada prinsip keadilan tanpa ‘dwi-standard’ di mana semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah telus dan tegas.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Baru-baru ini, tular di media sosial satu video seorang lelaki mendakwa pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersikap ‘double standard’.

Lelaki terbabit mendakwa bahawa tayar Perodua Bezza miliknya dikunci (wheel clamp) oleh penguatkuasa DBKL kerana kesalahan parkir di tepi jalan, manakala beberapa kenderaan mewah lain yang turut melakukan kesalahan sama tidak dikapit tayar oleh anggota Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Dakwa DBKL ‘Double Standard’, Kunci Tayar Bezza Tapi Tutup Mata Dengan Kereta Mewah [Video]

DBKL kapit tayar ikut SOP dan tanpa ‘pertimbangan khas’

Terbaharu, DBKL menjelaskan bahawa tindakan yang dilakukan oleh pasukan penguatkuasanya mengapit tayar kenderaan adalah berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dan konsisten tanpa ‘pertimbangan khas’ untuk sesiapa pun.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook DBKL semalam (14 September), kejadian yang tular itu dikatakan berlaku pada 11 November lalu di sekitar Jalan Telawi 1, 3 dan 4, Bangsar.

“Pada hari tersebut, sejumlah 13 kenderaan telah dikenakan tindakan kapit roda, termasuk sebuah Perodua Bezza seperti yang telah dirakam oleh pemiliknya.

“Bagi yang mungkin kurang jelas dengan kronologi, tindakan notis dan kapit roda ke atas kereta Bezza dilakukan pada jam 1.09 petang, manakala pembukaan kapit dilakukan pada jam 1.30 petang di Jalan Telawi 4, berdekatan Q Bistro,” kata kenyataan itu.

Kenderaan yang ada pemandu tidak dikapit tayar

Menurut DBKL, beberapa kenderaan lain terlepas daripada dikapit roda kerana terdapat pemandu di dalam kereta berkenaan.

“SOP DBKL menetapkan bahawa tindakan kapit roda tidak boleh dikenakan ke atas kenderaan yang mempunyai pemandu di dalamnya.

“Justeru, petugas kami telah mengarahkan agar pemilik kenderaan yang berada di dalam kenderaan untuk mengalihkan kenderaan mereka dari lokasi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, DBKL menegaskan bahawa pihaknya berpegang teguh kepada prinsip keadilan tanpa ‘dwi-standard’ di mana semua tindakan penguatkuasaan yang diambil adalah telus, tegas, dan bertujuan untuk memastikan keselesaan serta keselamatan warga kota tanpa prejudis.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd