Now Reading
[Video] Dikecam Kerana Lawat Tanah Perkuburan Kristian, Wanita Bertudung Tampil Beri Penjelasan

[Video] Dikecam Kerana Lawat Tanah Perkuburan Kristian, Wanita Bertudung Tampil Beri Penjelasan

Jelas wanita yang dikenali sebagai Miss Nena, pusara itu merupakan milik neneknya yang telah meninggal dunia.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak beberapa hari yang lalu, tular di media sosial video yang menunjukkan seorang wanita bertudung menziarahi tanah perkuburan Kristian.

Apa yang menjadi perhatian adalah tindakan wanita Muslim yang berasal dari Sabah itu memasang lilin pada pusara yang dilawatinya. Malah, dia juga dilihat merakamkan gambar kenangan di kubur tersebut.

Video wanita mendapat perhatian selepas dikongsikan oleh beberapa laman media di media sosial sehingga mencetuskan perdebatan. Tidak kurang juga segelintir yang mengecam perbuatannya itu.

Wanita Beri Penjelasan, Hanya Datang Menziarahi Kubur Nenek Atas Permintaan Ibu

Terbaharu, menerusi satu video di TikTok @simissnena, wanita berkenaan tampil memberi penjelasan susulan tular video dia melawat tanah perkuburan Kristian.

Jelas wanita yang dikenali sebagai Miss Nena, pusara itu merupakan milik neneknya yang telah meninggal dunia.

Malah, dia yang kebetulan datang ke Lahad Datu, Sabah bagi melawat agen bakso jualannya telah diminta oleh ibunya sendiri untuk menziarahi pusara neneknya memandangkan dia berada di kawasan yang sama.

“Saya ini dipesan oleh mak saya, ‘Na, saya ada mimpi mama saya, saya rindu dia. Bolehkah kau wakil, nenekmu di sana untuk melawat. Kalau boleh, kau beli lilin, bunga’,” katanya.

Ada Wanita Muslim Yang Turut Sama Hadir Pada Hari Yang Sama

Tambah Miss Nena, secara kebetulan pada hari lawatan itu juga, masyarakat Kristian sedang meraikan hari All Souls Day pada 1 November lalu.

Malah, dia mendedahkan turut terdapat orang Muslim yang lain datang ke tanah perkuburan tersebut bagi melawat pusara saudara mara di situ.

Tiada Niat, Hanya Sekadar Pasangkan Lilin

Tegas wanita itu lagi, perbuatannya yang memasang lilin di pusara tersebut dilakukan tanpa niat dan hanya sekadar memenuhi permintaan ibunya.

“Saya pasang tanpa niat. Tanpa apa-apa buat ritual. Kebetulan waktu itu panas, saya pun tak nampak ada api atau tidak pada lilin ketika itu.

“Saya tidak buat apa-apa ritual dan niat semasa pasang lilin. Saya cuma diarahkan sahaja untuk pasangkan lilin tersebut di situ. Then saya bergambar, saya pegang begitu sahaja,” katanya.

https://www.tiktok.com/@simissnena_/video/7432172129971457298?is_from_webapp=1&sender_device=pc&web_id=7410966857291793928

Amalan Menziarahi Kubur Di Sabah & Sarawak Adalah Normal

Tambah Nena lagi, amalan menziarahi kubur sebegitu merupakan perbuatan yang biasa di Sabah dan Sarawak.

Malah, wanita itu dilihat bersikap terbuka apabila menerima teguran bahawa menjadi satu kesalahan orang Islam turut sama menyalakan lilin.

“Untuk pengetahuan semua, saya memang tiada apa-apa pasang niat. Diorang cakap, memang salah tetap salah. Dalam hukum pun memang salah. Saya tidak tahu masa tu. Ustaz kata tak apa, next time nanti melawat jangan pasang lilin.”

Miss Nena

Bukan sahaja di Sabah dan Sarawak malah ada masyarakat di Semenanjung turut mengamalkan aktiviti ziarah kubur non muslim memandangkan rakyat Malaysia terdiri dari pelabagai kaum dan latar belakang.

Sebagai contoh, pelawak terkenal tanah air, Johan Raja Lawak juga pernah tular selepas fotonya menghadiri pengebumian neneknya yang buakn beragama Islam.

Mohon Agar Orang Islam Jaga Pertuturan

Pada masa yang sama, Miss Nena turut menasihati orang ramai khususnya orang Islam supaya menggunakan bahasa yang lebih baik dalam memberikan komen agar imej agama tidak dipandang negatif.

“Kebanyakan komen yang saya baca, bukan non-muslim yang hentam. Yang hentam ni adalah Muslim.

“Untuk pengetahuan orang Muslim, kalau boleh, hati-hati sedikit kamu bercakap. Kadang-kadang ada orang non-muslim bila dia nampak komen, dia jadi takut dengan kita.

“Nampak sangat yang kita ni benci dengan diorang. Jangan ada spekulasi macam tu. Sometimes yang non-muslim mahu masuk Islam, diorang pun takut, ‘kalaulah saya masuk Islam, tak boleh ke saya buat begini’,” katanya lagi.

Tindakan Lawat Kubur Tidak Salah, Namun Ada Syaratnya – UAI

Sekadar info, menurut penceramah bebas Ustaz Azhar Idrus (UAI), jika seorang Muslim bertujuan ziarah ke perkuburan non-muslim bagi mendoakan keampunan mayat atau memuliakan atau seumpamanya, maka ia tidak dibenarkan.

Sebaliknya, jika tujuan ziarah tersebut hanya untuk melawat semata-mata atau melihat kubur sanak saudara maka ia dibolehkan.

Hukum Ziarah kubur Bukan Islam – Jika tujuan ziarahnya ialah mendoakan keampunan bagi mayat atau memuliakannya atau…

Posted by Ustaz Azhar Idrus on Monday 3 July 2017

Ramai Yang Faham & Terima Mesej Disampaikan

Video yang telah mendapat lebih 418,000 tontonan itu nyata menarik perhatian pengguna media sosial.

Rata-rata dapat menerima dan memahami mesej serta penjelasan yang disampaikan oleh wanita berkenaan.

Tidak kurang juga ada pengguna media sosial yang berasal dari negeri yang sama turut menyokong apa yang dikatakan oleh wanita itu. Ini kerana amalan menziarahi kubur bukan Islam merupakan perkara yang biasa.

Namun, ada warganet yang merupakan mualaf turut bersetuju sama-sama meluahkan rasa risau mengenai tanggapan sesetengah orang jika mereka mahu melakukan perkara yang sama.

Berikut antara komen pengguna TikTok:

“Setuju Sis, Kalau Di Sabah, Kita Saling Hormat Sesama Bangsa & Agama”

“Jangan Risau, Kita Di Sini Faham Je, Abaikanlah Yang Lain-Lain Tu”

“Betul Miss, Saya Mualaf Saya Baca Komen Di Video Pun Saya Takut”

“Sabah, Sarawak Normal Je Perkara Begitu, No Problem”


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd