Now Reading
Isu Kerugian Pelaburan: Vivy & Suami Tampil Beri Penjelasan, Umum Lepas Jawatan Dalam FashionValet

Isu Kerugian Pelaburan: Vivy & Suami Tampil Beri Penjelasan, Umum Lepas Jawatan Dalam FashionValet

Vivy Yusof dan Fadza dalam masa sama turut menegaskan akan mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan pelaburan dalam FashionValet itu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Selepas beberapa hari diasak untuk memberikan penjelasan berhubung isu kerugian pelaburan Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), pengasas bersama FashionValet (FV), Datin Vivy Yusof dan suami, Datuk Fadzarudin Shah Anuar akhirnya tampil mengumumkan bakal melepaskan jawatan dalam syarikat tersebut.

Vivy dan Fadza menerusi satu hantaran bersama di Instagram memohon maaf kepada Khazanah dan PNB berikutan kontroversi yang mengaitkan kedua-dua entiti itu sebagai pelabur FV.

Mereka dalam masa sama turut menegaskan akan mengambil tanggungjawab penuh berhubung kegagalan pelaburan tersebut.

“Sebagai dua individu yang menguruskan syarikat, ini tanggungjawab kami. Hakikatnya, kami telah mengecewakan pelabur (Khazanah dan PNB). Kami kecewa dengan diri sendiri dan kesal dengan apa yang berlaku. Kami benar-benar minta maaf.

“Kami rasa sudah tiba masanya kami berundur daripada perniagaan (FV) dan melepaskan jawatan kami,” kata Vivy dan Fadza.

Jelasnya, adalah penting untuk mereka berdua mengeluarkan kenyataan memandangkan kedua-duanya bertanggungjawab menguruskan FashionValet.

Vivy bagaimanapun tidak menyentuh mengenai status pegangan saham mereka di dalam FV.

Kegagalan FV kerana strategi agresif

Dalam kenyataan sama, pasangan suami isteri itu mengakui kegagalan FV berlaku disebabkan strategi pelaburan dan cara mereka mengembangkan syarikat dengan terlalu agresif.

Malah mereka turut menambah bilangan pekerja dan kedai fizikal sambil menjangkakan pertumbuhan berterusan.

Namun apabila Covid-19 melanda, mereka tidak bersedia dan langkah-langkah penjimatan kos yang diambil tidak dapat membantu keadaan kewangan syarikat.

Terdahulu Kementerian Kewangan (MOF) menerusi jawapan bertulis bertarikh 28 Oktober memaklumkan, Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta hasil penjualan saham dalam FashionValet.

Kenyataan ini nyata mengejutkan orang ramai hingga ramai meminta pengasas dUCk itu untuk tampil memberikan penjelasan.

Vivy yang berdiam diri bagaimanapun dilihat berkongsi foto di Instagram Story memperlihatkan dia sedang menjalani rawatan di sebuah hospital.

Selain posting itu dia turut memuat naik satu kenyataan ringkas berbunyi, “Sangat banyak yang saya ingin katakan tetapi pada masa yang sesuai, Insya-Allah. Buat masa ini, saya biarkan apa yang mereka mahu kata, Cuma berhati-hati dengan fitnah yang awak sebarkan tentang orang lain.”

Selain orang ramai, Menteri Komunikasi, Fadmi Fadzil turut meminta FV, Khazanah dan PNB untuk memberikan penjelasan berhubung perkara itu.

Sebagai info, MOF turut berkata Khazanah sebelum ini melabur dalam FV sebagai satu usaha mereka pada waktu itu untuk memupuk usahawan teknologi tempatan. Manakala PNB pula mahu menyokong dan membantu syarikat runcit digital milik Bumiputera yang sedang meningkat untuk menjadi platform jualan serantau bagi jenama Malaysia.

Baca artikel berkaitan: PNB & Khazanah Jual Saham Pelaburan FashionValet RM47 Juta Dengan Nilai RM3.1 Juta – MOF

Baca artikel berkaitan: Fahmi Fadzil Minta Khazanah, PNB & FashionValet Perjelas Isu Kerugian RM43.9 Juta Dalam Saham FV

Baca artikel berkaitan: “Kami Masih Di Sini” – Panas Isu Penutupan Operasi FashionValet, Vivy Yusof Akhirnya Buka Mulut


Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd