Now Reading
Ada Individu Bergaji Lebih RM11,000 Mohon Tidak Diabaikan Kerajaan, Turut Terkesan Dengan Kos Sara Hidup

Ada Individu Bergaji Lebih RM11,000 Mohon Tidak Diabaikan Kerajaan, Turut Terkesan Dengan Kos Sara Hidup

Ada individu menjelaskan mereka juga sama seperti rakyat lain turut menghadapi bebanan kos sara hidup terutamanya yang tinggal di kawasan bandar.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sebelum ini, kerajaan mengumumkan cadangan melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 bermula pertengahan tahun 2025.

Malah baru-baru ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli turut menjelaskan kerajaan sedang mempertimbang sistem dua harga agar ‘15% golongan mahakaya atau T15’ dapat membayar petrol RON95 mengikut kadar pasaran manakala, kumpulan pendapatan yang lain membayar mengikut harga subsidi semasa.

Namun, Rafizi menjelaskan penentuan 15% golongan yang tidak layak menerima subsidi atau golongan T15 akan dirujuk kepada taburan yang lebih adil.

Ia bukanlah berdasarkan kepada pendapatan kasar semata-mata. Ini kerana banyak lagi faktor lain yang mempengaruhi termasuklah saiz isi rumah, lokasi dan tanggungan.

Baca Artikel Berkaitan: Gaji RM7,000 Sebulan Dah Tak Layak Dapat Subsidi RON95? Ini Penjelasan Rafizi [Video]

Gaji RM12,000 Hingga RM13,000 Sebulan Turut Terkesan Dengan Kos Sara Hidup

Terbaharu, ada individu yang berpendapatan antara RM12,000 hingga RM13,000 sebulan atau yang dikatakan tergolong dalam T15 mendedahkan mereka bukanlah golongan yang hidup mewah.

Ini kerana mereka turut terkesan dengan kos sara hidup yang tinggi dan terbeban apabila mempunyai keluarga besar selain tinggal di kawasan bandar berbanding pinggir bandar.

Seorang kontraktor yang dikenali sebagai Zawawi Md. Salleh berpendapat, banyak faktor yang perlu dilihat dan tidak boleh melabelkan golongan tertentu sebagai ‘maha kaya’ hanya berdasarkan pendapatan kasar bulanan.

Jelasnya yang berasal dari Kuala Terengganu, penyasaran subsidi petrol dan kenaikan yuran pendidikan sememangnya amat membebankan.

“Walaupun pendapatan terkumpul bulanan saya dan isteri mencecah RM13,000, namun ia tidak bermakna kehidupan kami terlalu selesa.

“Kami juga bergelut dengan kos sara hidup yang semakin tinggi dan bukanlah ‘maha kaya’ seperti didakwa,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Jelasnya lagi, beberapa langkah yang diperkenalkan dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini dilihat bakal menekan golongan tersebut.

“Tidak adil sedangkan kami golongan paling banyak me­nyumbang hasil cukai negara. Memang patut dahulukan golo­ngan B40, tetapi takkan lah kami tidak dapat satu manfaat pun daripada cukai dibayar,” katanya.

Perlu Ada Pengelasan Yang Jelas & Adil

Dalam pada itu, seorang kontraktor yang berasal dari Shah Alam Razif Nazri, menjelaskan perlu ada pengelasan yang jelas dan adil memandangkan taraf hidup berbeza terutama yang tinggal di bandar atau luar bandar.

“Pada mata kasar gaji berjumlah RM12,000 ke atas bagi isi rumah dilihat tinggi. Namun, untuk meneruskan kelangsungan hidup di bandar dalam kenaikan kos dari segala aspek adalah suatu yang tidak dapat diterima,” jelasnya.

Tambah Razif, perbelanjaan suami isteri yang bekerja tidak sama sekiranya seseorang bekerja di Kuala Lumpur atau di bandar lain.

“Begitu juga kos isi rumah jika pasangan suami isteri tersebut bekerja dan perlu mengaji pembantu rumah selain bil-bil termasuk elektrik,” tambahnya lagi,

Kurang Adil Kepada Golongan Berpendapatan Lima Angka

Seorang lagi individu dari kumpulan gaji sama yang berasal dari Gua Musang Kelantan, Chee Chan Keong berpendapat langkah kerajaan dalam mengurangkan bantuan kepada golongan berpendapatan lima angka dilihat kurang adil. Ini kerana mereka juga turut menghadapi cabaran tersendiri.

Jelas Chee yang berpendapatan RM11,800 sebulan, sama seperti rakyat lain, antara cabaran utama yang dihadapi adalah kos sara hidup yang tinggi khususnya individu yang tinggal di bandar.

“Golongan T15 tidak terkecuali apabila perlu berdepan dengan kos tambahan setiap bulan ­seperti bayaran perumahan, hutang kenderaan, yuran pendidikan anak-anak serta keperluan untuk mengekalkan gaya hidup ­tertentu.

“Kerajaan sepatutnya memberi keadilan kepada semua rakyat kerana golongan T15 memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat termasuk kuasa beli dan sumba­ngan besar kepada pembangunan negara,” katanya.

Malah, dia berharap agar kerajaan mengkaji semula penarafan T15 kepada mereka yang bergaji lebih tinggi iaitu mencecah RM20,000 sebulan.

Baca Artikel Berkaitan: “Rasionalisasi Subsidi RON95 Dijangka Berlaku Oktober Ini” – Ahli Ekonomi


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd