Now Reading
Wanita Dipercayai Kurang Siuman Rempuh 4 Pelajar UiTM Dungun, 3 Maut & 1 Cedera Parah

Wanita Dipercayai Kurang Siuman Rempuh 4 Pelajar UiTM Dungun, 3 Maut & 1 Cedera Parah

Difahamkan, kesemua pelajar UiTM Dungun yang dirempuh wanita berkenaan sedang dalam perjalanan pulang dari makan dan beriadah.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Sejak malam tadi (9 Oktober), kecoh di platform media sosial mengenai kemalangan maut melibatkan empat orang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun, Terengganu.

Apa yang lebih menyayat hati adalah tiga orang pelajar dilaporkan maut dan seorang lagi cedera parah akibat nahas berkenaan.

Insiden dipercayai berlaku kira-kira jam 7.20 malam di hadapan kampus tersebut yang terletak di Kampung Sura Hujung, Dungun, Terengganu melibatkan dua buah motosikal dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita kurang siuman.

Difahamkan, kesemua mangsa yang menaiki motosikal baru sahaja pulang dari makan dan beriadah sebelum dirempuh oleh pemandu wanita berkenaan.

Mangsa Alami Cedera Parah & Meninggal Dunia Di Lokasi Kejadian

Menurut Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Wan Rukman Wan Hassan, pihaknya menerima laporan kemalangan kira-kira jam 7.35 malam melibatkan sebuah SUV jenis Honda CRV dan dua motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha 135 LC.

Mangsa maut dikenali sebagai:

  • Muhammad Akmal Md Tukirin (25 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Pengurusan Perkhidmatan Makanan.
  • Ku Adib Aizad Ku Azmi (20 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan
  • Khairil Anwar Jamaludin (20 tahun), pelajar tahun dua Sarjana Muda Sains Perakaunan

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah tulang leher, cedera di kepala dan dada serta disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Manakala, seorang mangsa Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Perakaunan mengalami cedera parah.

Kesemua Mangsa Dirempuh Dari Belakang

Jelas Wan Rukman, siasatan awal mendapati kesemua mangsa datang dari arah yang sama iaitu Kuala Dungun menuju ke Pantai Teluk Gadung.

“Apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba SUV tersebut telah merempuh bahagian belakang dua motosikal yang berada di laluan sama.

“Kesemua mangsa mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

“Seorang mangsa yang parah iaitu pelajar tahun 2 Sarjana Muda Sains Perakaunan, Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan dari Taman Seri Keramat, Kuala Lumpur dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Dungun untuk mendapatkan rawatan,” jelasnya lagi.

Pemandu Wanita Telah Ditahan & Dipercayai Mempunyai Masalah Mental

Tambah Wan Rukman, pemandu wanita yang berusia 49 tahun telahpun ditahan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pada masa yang sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Sharizal Shamsudin menjelaskan pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 7.26 malam dan 10 anggota telah digerakkan ke lokasi kejadian.

Menurut Sharizal, pemandu wanita berkenaan ada menunjukkan tanda-tanda mempunyai masalah mental.

UiTM Cawangan Terengganu Sahkan Kemalangan Libatkan Pelajar Institusi Terbabit

Dalam pada itu, UiTM Cawangan Terengganu telah mengesahkan kemalangan yang membabitkan empat orang pelajar dari kampus dungun itu menerusi satu kenyataan di Facebook.

Berdasarkan kenyataan tersebut, pihaknya mengesahkan tiga mangsa maut dan seorang mangsa lagi cedera parah dirawat di Hospital Dungun namun akan dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk rawatan lanjut.

“Pihak universiti berdukacita atas kejadian yang berlaku dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.

“Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan semoga Allah permudahkan urusan keluarga mangsa,” katanya.

Malah, mereka juga turut menyediakan bantuan dan sokongan buat keluarga mangsa nahas terbabit.

Kemalangan melibatkan pelajar UiTM Kampus Dungun

Posted by Universiti Teknologi MARA -Terengganu on Wednesday 9 October 2024

Menteri Pendidikan Tinggi Zahir Ucapan Takziah

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir turut menzahirkan ucapan takziah buat keluarga tiga mangsa kemalangan maut berkenaan menerusi satu hantaran di Instagram.

“Mendapat perkhabaran duka, tiga orang pelajar UiTM Dungun yang terlibat dalam kemalangan lewat petang tadi (semalam) dan telah kembali ke rahmatullah.

“Salam takziah kepada seluruh ahli keluarga. Semoga roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Semoga seluruh ahli keluarga tabah dan sabar menempuhi ujian ini,” tulisnya.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: FacebookTwitterThreads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd