Parti Dalam Balai: 4 Anggota Termasuk Inspektor Dipindah Serta-merta Ke Johor & Kelantan – KP Selangor
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh di media sosial apabila tular laporan mengenai dakwaan seorang anggota polis telah mengadakan parti persendirian di bilik kakitangan Bahagian Pencegah Maksiat, Anti-Perjudian dan Rahsia (D7) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Insiden dilaporkan berlaku pada 28 September lalu sewaktu pegawai dari Jabatan Integriti Shah Alam melakukan pemeriksaan mengejut pada jam 1:30 pagi.
Pemeriksaan mendapati terdapat lima individu termasuk dua lelaki dan tiga wanita sedang berkumpul yang kelihatan seperti satu ‘majlis sosial’.
Baca Artikel Berkaitan: Anggota Polis Didakwa Berparti Dalam Balai Polis Di Shah Alam
Tiga anggota dan seorang Inspektor dipindahkan keluar dari Selangor
Terbaharu, tiga anggota dan seorang pegawai berpangkat Inspektor dipindahkan keluar dari Selangor selepas dipercayai turut terbabit dalam penyalahgunaan premis kerajaan dengan menganjurkan parti tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, semua anggota itu dipindahkan secara serta-merta.
Menurutnya, tindakan itu diambil susulan seorang anggota berpangkat Koperal membawa masuk empat orang awam, termasuk tiga wanita dalam premis pejabat mereka.
“Dalam insiden ‘so called’ parti itu, kita jumpa anggota berpangkat Koperal membawa masuk orang awam termasuk tiga wanita ke pejabat mereka dengan adanya muzik serta sedikit makanan.
“Ini jelas bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) iaitu mana-mana orang awam tidak boleh di bawa ke premis pejabat tanpa ada urusan rasmi. Itu adalah tindakan dalaman yang mana semua mereka diambil tindakan keluar terus dari Selangor (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor).
“Bukan saja dia (Koperal), tiga lagi anggota yang sepatutnya menjadi penyelia iaitu seorang berpangkat Sarjan, Sarjan Mejar dan Inspektor turut ditukar keluar dari Selangor kerana tindakan menyalahguna premis kerajaan,” katanya semalam (7 Oktober) dipetik Berita Harian.
Empat anggota polis dipindah ke Johor dan Kelantan
Menurutnya lagi, tindakan terbabit diambil mengikut Peraturan 3C Pegawai Awam (Tata Kelakuan dan Disiplin) 1993.
“Semua mereka dipindahkan ke Johor dan Kelantan serta-merta,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan tangkapan tiga anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang tidak membabitkan ketua balai sebaliknya individu-individu itu adalah anggota berpangkat rendah.
“Ketiga-tiga anggota ini juga ditukar ke bahagian pengurusan serta-merta dan akan diambil tuduhan di bawah jenayah dan tatatertib,” katanya.
Terdahulu, BuzzKini melaporkan insiden tersebut mula mendapat perhatian ramai selepas didedahkan oleh China Press dan telah mendorong siasatan dalaman terhadap langkah keselamatan dan kelakuan dalam pasukan polis.
Baca Artikel Berkaitan:
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.