Now Reading
Khutbah Jumaat: JAKIM Ulas Isu Ajaran Sesat, JAIS Sentuh Kes Eksploitasi Kanak-kanak Babit GISBH

Khutbah Jumaat: JAKIM Ulas Isu Ajaran Sesat, JAIS Sentuh Kes Eksploitasi Kanak-kanak Babit GISBH

JAKIM dilihat mengeluarkan teks Khutbah Jumaat bertajuk ‘Berpegang Pada Manhaj Yang Benar’ yang menjelaskan ajaran sesat dan menyeleweng bukan perkara baharu.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Tidak dapat dinafikan, kebelakangan ini isu membabitkan GISBH Holdings Sdn Bhd (GISBH) antara topik paling hangat dibincangkan oleh rakyat Malaysia.

Malah isu berkenaan turut mendapat perhatian pihak berkuasa agama seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang bersedia memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

Menteri Agama, Datuk  Mohd Na’im Bin Mokhtar, pada awal September berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan akidah umat Islam yang menjadi perkara asas untuk dipelihara setiap masa.

Sehubungan itu beliau telah mengarah JAKIM untuk mengadakan pertemuan dengan pihak GISBH.

Terbaharu hari ini (27 Sept) JAKIM dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membawa isu berkenaan sebagai intipati khutbah Jumaat untuk dijadikan penerangan kepada orang ramai.

Khutbah JAKIM bertajuk ‘Berpegang Pada Manhaj Yang Benar’

JAKIM dilihat mengeluarkan teks Khutbah Jumaat untuk semua masjid di bawah kelolaannya bertajuk ‘Berpegang Pada Manhaj Yang Benar’ yang menjelaskan ajaran sesat dan menyeleweng bukan perkara baharu sebaliknya sudah lama terjadi sehingga para nabi diutus untuk membimbing manusia menyembah Allah selain meninggalkan amalan sesat (taghut).

JAKIM di dalam teks sama turut meminta umat Islam agar memberi ruang kepada pihak berwajib untuk menyiasat perkara itu tanpa menuding jari kepada pihak lain.

Teks khutbah turut menyeru umat Islam agar tidak bertelagah, menuding jari dan menyalahkan satu sama lain. Mereka seharusnya mendoakan individu yang terlanjur diberikan hidayah untuk kembali bertaubat.

“Manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah tidak mendorong umatnya untuk bersikap ekstrem. Sebaliknya manhaj ini sangat menganjurkan umatnya berkasih sayang dan bersederhana. Timbulnya ekstremisme dalam kelompok masyarakat apabila mereka merasakan bahawa dirinya atau kelompoknya sahaja yang benar, atau menganggap guru-guru mereka sahaja yang betul dan macam-macam lagi dakwaan. Ia tidak lain berpunca dari sikap fanatik atau taksub membuta tuli.

“Bahayanya sikap ekstrem boleh membinasakan masyarakat dan negara seluruhnya. Nabi SAW telah memperingatkan kita untuk berwaspada terhadap sikap ekstrem termasuk melampau dalam beragama kerana sikap itulah yang banyak membinasakan umat terdahulu.”

Khutbah di Masjid Tuanku Mizan Zainal, Putrajaya

Khutbah JAIS sentuh tentang GISBH & amanah terhadap kanak-kanak

JAIS pula mengeluarkan teks Khutbah Jumaat bertajuk ‘Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-kanak?’ untuk semua masjid di seluruh negeri Selangor yang menyentuh tentang GISBH dan peringatan yang golongan kanak-kanak adalah amanah daripada Allah SWT untuk dijaga.

Khutbah itu mengingatkan bahawa penderaan serta pengabaian terhadap kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan.

“Mereka (kanak-kanak) mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana yang aman serta selamat dan jauh daripada perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, dera, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan dengan ibu bapa malah disuruh mengaku sebagai anak yatim.

“Amatlah tidak wajar apa yang dilakukan oleh pihak GISBH ini apabila tidak memelihara kanak-kanak dengan baik malah melakukan kezaliman terhadap mereka seperti menyekat pendidikan,” dipetik dari khutbah berkenaan.

Teks khutbah itu turut menyatakan pengikut GISBH boleh tergelincir akidah dan batal shahadah seseorang muslim bila melakukan kesalahan akidah.

“Apa yang paling mendukacitakan ialah laporan akhbar ada menyatakan kebanyakan rumah amal di bawah GISBH terbabit di dalam siasatan sudah lama beroperasi di beberapa negeri termasuk Selangor.

“Malah rumah amal ini pula tidak didaftarkan mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” tulis pada teks itu lagi.

Khutbah Solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam

Teks khutbah jumaat bagi kedua-dua negeri itu boleh di muat turut di sini dan di sini.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd