Isu Check In & Check Out Hotel: MOTAC Jalankan Pemantauan
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan mereka memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam dan pelancong.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Baru-baru ini, kecoh di media sosial isu mengenai waktu daftar masuk (check-in) dan daftar keluar (check-out) sesetengah hotel atau inap desa di Malaysia.
Perkara terbabit mula timbul apabila disuarakan oleh seorang pengguna media sosial yang tidak berpuas hati dengan tindakan beberapa hotel atau inap desa menetapkan waktu daftar masuk bermula jam 4 petang manakala check out jam 11 pagi.
Penetapan waktu tersebut disifatkan agak melampau oleh sesetengah pihak kerana tempoh menetap agak singkat dan tidak berbaloi dengan harga yang dibayar.
Malah, pengguna berkenaan meminta agar pihak berwajib khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk campur tangan berhubung isu terbabit.
Baca Artikel Berkaitan: “Check-In 4 PM, Check-Out Pukul 11 AM”- Ramai Tak Puas Hati Waktu Daftar Masuk & Keluar Segelintir Hotel
MOTAC Jalankan Pemantauan
Terbaharu, MOTAC menerusi satu kenyataan di akaun X rasminya menjelaskan mereka memahami kebimbangan yang disuarakan oleh orang awam dan pelancong.
Jelas MOTAC, pihaknya kini sedang melakukan pemantauan dan meminta hotel yang terlibat memberi penjelasan berhubung isu tersebut.
“MOTAC sedang memantau isu ini dengan lebih dekat dan juga memberikan perhatian serius terhadap pengusaha industri perhotelan yang berkaitan untuk memberikan penjelasan berhubung perkara ini.
“Kenyataan media telah pun dikeluarkan oleh Malaysia Budget & Business Hotel Association (MyBHA) dan Malaysian Tourism Federation (MTF) sebagai penjelasan lanjut,” katanya.
Baca Artikel Berkaitan: Pemilik Hotel Atau Inap Desa Bebas Tetapkan Waktu ‘Check In’ – Presiden Persatuan Hotel Bajet
Nasihat Orang Ramai Baca & Fahami Terma Syarat
Pada masa yang sama, MOTAC turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa membaca dan memahami terma serta syarat yang ditetapkan oleh pihak hotel sebelum membuat tempahan.
“Langkah ini penting bagi mengelakkan sebarang salah faham atau ketidakpuasan hati terutamanya berkaitan dengan penentuan harga serta perkhidmatan yang disediakan,” jelas mereka lagi.
Tambah MOTAC, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung hotel yang terlibat, mereka boleh menghubungi hotel melalui e-mel di info@motac.gov.my.
📌 SIARAN MEDIA – ISU PENETAPAN WAKTU DAFTAR MASUK DAN DAFTAR KELUAR HOTEL DI MALAYSIA#MyMOTAC #TaatSetia#MySeniBudaya#MalaysiaTrulyAsia#MalaysiaMADANI pic.twitter.com/BX380q2RTG
— MyMOTAC (@MyMOTAC) September 25, 2024
Kenyataan Undang Pelbagai Reaksi
Kenyataan yang dikeluarkan oleh MOTAC ini nyata mendapat perhatian daripada pengguna media sosial. Rata-rata daripada mereka dilihat masih tidak berpuas hati dengan perkara tersebut.
Ini kerana mereka berpendapat MOTAC seharusnya mengambil tindakan yang lebih tegas dan bukan hanya melakukan pemantauan.
Tidak kurang juga ada yang mencadangkan agar MOTAC melakukan perbincangan bersama pihak hotel bagi menangani isu ini.
Terdahulu, Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menjelaskan pemilik hotel atau inap desa bebas menetapkan waktu daftar masuk dan keluar premis mengikut kesesuaian dan kemampuan masing-masing.
Jelasnya, penetapan tersebut tidak termaktub dalam sebarang undang-undang perhotelan dan ia merupakan polisi syarikat yang perlu dipatuhi pelanggan.
Berikut antara komen pengguna X:
“Take Action Bukan Pantau Je”
“Setakat Kerja Pemantauan Macam Ni Tak Payah Press Release Pun, Kalau Keluarkan Arahan Atau Policy Baru, Baru La Buat Press Release”
“Apa Kata MOTAC Bincang Dengan Hotel Untuk Tetapkan 12 PM Check Out, 2 PM Check In”
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.