“Anak Kita Bukan Tikus Makmal” – KPM Masih Akan Mansuhkan UPSR & PT3
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, keputusan untuk mengembalikan peperiksaan UPSR & PT3 perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak boleh berdasarkan satu aspek.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pada minggu lalu, kecoh diperkatakan mengenai cadangan mengembalikan semula Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi murid tahun enam dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Ia berikutan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan agar sistem peperiksaan bagi Tahun Enam dan Tingkatan Tiga dirombak semula setelah mendapati kira-kira 10,177 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tercicir kerana mempunyai masalah membaca, menulis dan mengira (3M).
Cadangan tersebut nyata mendapat sambutan daripada pelbagai pihak antaranya seperti bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Baca Artikel Berkaitan: Bekas Menteri Pendidikan, Mahdzir Khalid Sokong UPSR & PT3 Dikembalikan Semula
KPM Kekal Dengan Keputusan Mansuhkan UPSR & PT3
Terbaharu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan keputusan untuk mengembalikan peperiksaan yang telah dimansuhkan perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak boleh berdasarkan satu aspek.
Menurut Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, pada ketika ini, KPM kekal dengan keputusan sebelum ini untuk memansuhkan kedua-dua peperiksaan itu.
“Anak-anak kita bukan tikus makmal, sekejap ada peperiksaan sekejap tidak ada.
“Kita kena ada ketetapan dan kita telah buat pelbagai penegasan khusus untuk meneguhkan pentaksiran bilik darjah (PBD) dan latihan untuk guru bagi memastikan tiada apa-apa yang akan menjejaskan kemajuan mereka (murid),” katanya yang dipetik daripada Bernama.
Fadhlina berkata demikian ketika mengulas desakan beberapa pihak yang mencadangkan KPM mengembalikan semula UPSR dan PT3 atas alasan ia membantu aspek kemenjadian murid dan mendakwa ketiadaan peperiksaan itu menyumbang kepada keciciran murid.
Tambah beliau lagi, KPM kini menumpukan kepada pendekatan baharu kurikulum persekolahan 2027 dan dalam proses merangka pelan pembangunan pendidikan bagi menetapkan hala tuju pendidikan negara untuk tempoh 10 tahun bermula tahun 2026.
KPM Proaktif Dalam Menangani Isu Keciciran Murid
Dalam pada itu, KPM memaklumkan pihaknya bertindak secara proaktif dalam menangani masalah keciciran pelajar dalam SPM serta mengenal pasti tiga faktor utama seperti berhenti sekolah, buang sekolah dan telah bekerja.
“Walaupun jumlah ketidakhadiran murid dalam peperiksaan SPM berjaya dikurangkan kepada 10,160 pada tahun 2023 berbanding 14,858 pada tahun sebelumnya (pengurangan 1.2%), KPM komited untuk terus menggandakan usaha bagi menangani keciciran murid dalam peperiksaan itu,” katanya.
Malah, KPM turut melaksanakan inisiatif seperti Program Jom Ke Sekolah, melantik duta sahsiah, mengadakan kerjasama dengan Akademi Kenegaraan Malaysia dan Program Remaja Unggul Aspirasi Negara bagi meningkatkan kehadiran murid ke peperiksaan SPM serta membina sahsiah dan jati diri.
Intervensi lain yang turut dilakukan adalah program gempur Kehadiran SPM, psikometrik Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS), program minda sihat, program jejak SPM, bengkel pemantapan intervensi dan pemerkasaan guru bimbingan dan kaunseling.
Bahkan, KPM baru-baru ini turut bekerjasama dengan Kementerian Kewangan serta rakan strategik Yayasan Hasanah bagi menangani masalah keciciran pelajar tingkatan empat dan lima.
Kerjasama itu merangkumi penganjuran kelas tambahan bagi subjek Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik serta meningkatkan keyakinan diri dan bimbingan hala tuju selepas SPM.
Baca Artikel Berkaitan: “Tanpa UPSR, Sukar Nilai Keupayaan & Potensi Sebenar Pelajar” – Pengerusi MARA
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.