Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS & Dolar Singapura, Antara Nilai Berprestasi Terbaik Di Asia
Mata wang negara mengukuh 7% ke paras RM3.32 berbanding dolar Singapura setakat 13 September lalu.
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Pengukuhan nilai ringgit berbanding mata wang utama dunia semestinya adalah suatu perkara yang amat dinanti-nantikan oleh seluruh warganegara Malaysia.
Keadaan itu bukan sahaja akan mengurangkan harga barangan import, tetapi turut membuka peluang bagi rakyat untuk berkunjung ke luar negara.
Setakat 6 Ogos, Ringgit Malaysia dilaporkan menjadi satu-satunya mata wang di Asia yang mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat dan mencecah prestasi terbaik dalam tempoh 14 tahun.
Mata Wang Negara Mengukuh 7% Berbanding Dolar Singapura
Rakyat Malaysia pastinya menyambut baik berita pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini.
Menerusi semakan kami, pertukaran matawang 1 AS Dolar adalah bersamaan dengan RM4.25 setakat hari ini (19 September).
Bukan itu sahaja, mata wang negara turut mengukuh 7% ke paras RM3.32 berbanding dolar Singapura setakat Jumaat (13 September) selepas paras terendah dicatatkan pada paras RM3.57, 21 Februari lalu.
Ini sekaligus menjadikan Ringgit Malaysia antara salah satu mata wang berprestasi terbaik di Asian.
Apabila dibandingkan dengan awal 2024, nilai ringgit berada pada paras RM3.48 bagi setiap dolar Singapura pada 2 Januari dan menunjukkan pengukuhan 4.69% setakat Jumaat lalu.
Ringgit Mula Kembali Ke Nilai Sebenar
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata kedudukan ringgit yang sebelum ini dikatakan berada di bawah nilai sudah mula kembali ke nilai sebenar susulan pengukuhannya berbanding dolar Singapura dan beberapa mata wang Asia yang lain.
Menurutnya, pengukuhan nilai ringgit ini menunjukkan bahawa ia sedang menuju ke arah nilai asas ekonomi seperti prospek pertumbuhan ekonomi yang mampan.
Malah, para pelabur asing tertarik dengan pelaksanaan dasar yang bersifat reformis dan berdaya saing.
Tambah Mohd Afzanizam lagi, kestabilan politik juga menjadi salah satu indikasi yang meningkatkan keyakinan pelabur terhadap pelaksaan dasar tersebut secara konsisten.
“Justeru, ringgit seharusnya masih mempunyai ruang untuk mengukuh lagi pada masa akan datang disebabkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan ekonomi yang mengukuh,” katanya dipetik Berita Harian.
OPR Stabil Jadi Daya Tarikan, Jangka Akan Dikekalkan Sehingga Tahun Depan
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam menjelaskan bahawa salah satu daya tarikan adalah Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kekal stabil, terutamanya apabila banyak negara maju seperti di Eropah, Kanada, Switzerland dan Sweden telah mengurangkan kadar faedah.
Tambahnya, tindakan menurunkan kadar faedah akan turut diikuti oleh AS tidak lama lagi.
Di samping itu, paras 3% yang menjadi penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit dalam negara dijangka akan dikekalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sehingga tahun ini dan mungkin tahun hadapan.
“Sudah tentu jurang kadar faedah antara Malaysia dan negara maju semakin mengecil dan ini akan menjadi suatu insentif bagi pelabur asing untuk datang dan melabur ke dalam instrumen kewangan Malaysia seperti saham dan bon,” katanya.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.