[Video] Bahaya! Ini Sebab Kenapa Anak Tak Boleh Berpaut Pada Leher Ibu Bapa
Tekanan ke atas arteri karotid yang terletak di bahagian leher disebabkan pelukan si anak boleh mengurangkan pengedaran oksigen kepada otak, sekaligus menyebabkan seseorang itu pengsan (episod syncopal).
Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!
Melihat kanak-kanak bermain dengan ibu bapa merupakan suatu perkara yang menggembirakan dan menyentuh hati.
Namun dalam galak bermain, ibu bapa harus cakna dengan tindakan yang dilakukan oleh anak yang boleh mendatangkan bahaya buat dirinya sendiri serta orang di sekelilingnya.
Anda mesti biasa melihat kanak-kanak berlari dan terus memaut atau memeluk ibu bapa mereka di bahagian leher dari belakang bukan? Perkara ini sebenarnya berbahaya kerana boleh menyebabkan ibu bapa menjadi tidak sedar atau pengsan.
Tekanan Pada Arteri Karotid Sebabkan Individu Pengsan
Seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Zetty (@zettysmomlife) telah menerangkan mengapa perkara ini boleh terjadi.
Menerusi video yang dikongsikan olehnya, kelihatan seorang bapa tiba-tiba jatuh pengsan setelah dipaut oleh anaknya dari belakang.
Dia berkata perkara ini terjadi kerana kanak-kanak tersebut telah memeluk bahagian leher bapanya, sekaligus memberi tekanan kepada bahagian arteri karotid yang berada di sebelah kiri dan kanan leher.
Sebagai info, arteri karotid yang bermula dari bahagian atas dada sehingga ke tengkorak membekalkan darah dan oksigen kepada leher dan kepala, termasuk otak.
Kurang Oksigen Pada Otak Sebabkan Episod ‘Syncopal’
Zetty menerangkan bahawa apabila tekanan diletakkan ke atas arteri ini, ia akan menyebabkan jantung berdegup perlahan dan tekanan darah menjadi rendah.
Keadaan tekanan darah rendah dan kekurangan oksigen kemudiannya boleh menyebabkan seseorang pengsan serta-merta, juga dikenali sebagai episod ‘syncopal’.
Perkara ini menjadi lebih berbahaya buat kanak-kanak sekiranya ibu bapa terus berdiri apabila dipeluk pada bahagian leher. Jika ibu bapa pengsan, anak juga akan bersama-sama terjatuh dan berisiko kepala terhentak pada lantai.
Menjenguk ke ruangan komen, kanak-kanak sememangnya gemar memaut dan memeluk ibu bapa mereka dari belakang, sama ada di pinggang, bahu atau leher.
Seorang ibu berkata jika anaknya melakukan aksi sedemikian, dia tidak akan segera bangun. Sebaliknya dia akan memusingkan badan agar berhadapan dengan anaknya.
Darah Kembali Ke Otak Selepas Terbaring
Menurut Public Health Malaysia (PHM), apabila seseorang itu terjatuh atau terbaring dalam episod syncopal, aliran darah akan kembali semula ke otak.
Ini akan menjadikan dia tersedar semula selepas beberapa saat atau minit, namun berada dalam keadaan keliru.
Selain daripada tekanan terhadap arteri karotid, keadaan yang boleh menyebabkan episod syncopal termasuk:
- Tekanan darah rendah atau saluran darah mengembang
- Degupan jantung tidak teratur
- Paras gula terlalu rendah
- Berdiri untuk jangka masa yang lama
- Perubahan mendadak dalam postur, seperti berdiri terlalu cepat
- Kesakitan atau ketakutan yang melampau
- Tekanan yang melampau
- Kehamilan
- Dehidrasi
- Keletihan
Tambahnya lagi, individu yang pengsan perlu diletakkan dalam posisi yang selesa. Pakaian dan tali leher juga boleh dilonggarkan akan dapat memberi lebih banyak pengudaraan.
Namun jika individu tersebut tidak sedar selepas dua minit, bantuan kecemasan perlu didapatkan segera.
Penyakit Arteri Karotid Boleh Sebabkan Strok
Salah satu masalah yang biasa berlaku ialah penyakit arteri karotid yang terjadi apabila plak terbina di dalamnya. Perkara ini boleh mengurangkan atau menghalang pengaliran darah kepada otak, seterusnya menyebabkan strok.
Penyakit arteri karotid menyebabkan sekitar 10% ke 15% masalah strok yang boleh terjadi disebabkan oleh:
Kekurangan aliran darah
Ini terjadi apabila arteri karotid menjadi terlalu sempit disebabkan oleh atherosclerosis sehingga darah tidak mencukupi pada otak.
Plak pecah
Apabila plak pecah, ia boleh masuk ke dalam arteri yang lebih halus di dalam otak dan boleh tersekat. Perkara ini menghalang bekalan darah ke bahagian tertentu otak.
Darah beku tersumbat
Sesetengah plak mudah pecah dan boleh membentuk permukaan yang tidak teratur pada dinding arteri. Badan kemudiannya melihat keadaan ini sebagai satu kecederaan dan menghantar sel darah untuk menjalankan proses pembekuan darah. Darah beku ini kemudiannya boleh menjadi lebih besar sehingga memperlahankan atau menghalang aliran darah kepada otak.
Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.