Now Reading
Mengingati Serangan 9/11 Di New York, Ini 3 Rakyat Malaysia Yang Terkorban

Mengingati Serangan 9/11 Di New York, Ini 3 Rakyat Malaysia Yang Terkorban

Tiga rakyat Malaysia iaitu Vijayashanker Paramsothy, Khoo Sei Lai dan Ang Siew Nya sedang bekerja di Word Trade Center New York apabila kapal terbang terhempas di sana pada 11 September 2001.

Jangan lupa follow channel Telegram TRPbm untuk ketahui updates semasa & relevan!


Umum sedia maklum, dua kapal terbang yang dirampas oleh ahli kumpulan pengganas, al-Qaeda telah terhempas di World Trade Center di New York, Amerika Syarikat pada 11 September 2001.

Kapal terbang ketiga pula telah terhempas di ibu pejabat Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon. Manakala kapal terbang keempat terhempas di kawasan luar bandar Pennsylvania selepas penumpang melawan pengganas yang mengambil alih pesawat itu.

Walaupun secara rasminya dilaporkan serangan digerakkan oleh kumpulan al-Qaeda, namun pelbagai konspirasi telah timbul mengenai siapakah yang sebenarnya melakukan perkara tersebut.


3 Rakyat Malaysia Antara 2,977 Terkorban Dalam Serangan 9/11

Serangan 9/11 itu telah mengorbankan 2,977 orang, dengan tiga daripadanya merupakan rakyat Malaysia.

Tiga individu tersebut merupakan Vijayashanker Paramsothy, 23, Khoo Sei Lai, 38 dan Ang Siew Nya, 37 yang bekerja di WTC ketika itu.

#1. Vijayashanker Paramsothy

Vijayashanker Paramsothy. (Sumber gambar: 911 Memorial & Museum)

Vijayashanker Paramsothy, atau lebih mesra dengan panggilan Vijay, merupakan anak kelahiran Petaling Jaya yang bekerja sebagai penganalisis kewangan di Aon Insurance di tingkat 103 South Tower.

Dia baru sahaja pulang daripada menghadiri perkahwinan rakannya di Sepanyol pada 10 September sebelum kembali ke tempat kerja pada hari insiden.

Dalam tragedi itu, Vijay telah kekal di sana bagi membantu pengurusnya yang tercedera walaupun dia sendiri mengalami melecur dan kecederaan, serta mempunyai peluang untuk melarikan diri bersama rakan-rakan sekerjanya menerusi tangga kecemasan.

Dia kemudiannya terperangkap dalam lif yang memecut melepasi tingkat tertinggi sehingga terhantuk di siling dan jatuh 15 kaki, mencederakan belakangnya. Dia menghabiskan masa empat bulan di dalam ‘cast’ sebelum meninggal dunia.

Bapa kepada Vijay, Paramsothy Sivapakiam, berkata mangsa akan menghubungi ibu bapanya yang berada di Malaysia setiap hari dan mengunjungi mereka apabila berkesempatan.

Ibu bapanya mengabdikan Vijay dengan menerbitkan biografi bertajuk The Perfect Son, yang menceritakan bagaimana lelaki itu membesar sebagai seorang yang penyayang. Mereka juga telah menubuhkan Fulbright-Vijayashanker Memorial Exchange Fellowship.


#2. Khoo Sei Lai

Khoo Sei Lai. (Sumber gambar: 911 Memorial & Museum)

Dilahirkan di Sandakan, Sabah, Khoo Sei Lai merupakan graduan sains komputer dengan jurusan minor ekonomi di Columbia College. Dia merupakan Pengurus Dana Bersama di Fred Alger Management dan bekerja di tingkat 93 North Tower.

Sebelum terkorban dalam insiden tersebut, Khoo dalam usaha untuk menjadi Naib Presiden Eksekutif dan Pengurus Portfolio. Saluran media AS terkenal sering mendapatkan pandangan daripadanya mengenai trend pasaran dan tawaran awal.

Dia yang terkenal dengan dedikasi terhadap keluarga, rakan-rakan dan teman sekerjanya telah bertunang ketika itu dan bakal berkahwin.

Adik lelakinya, Khoo Yeng Leng, mengingati dia sebagai seorang kakak yang sentiasa menyokongnya dan mengajarnya kemahiran hidup serta berkongsi tempat makan kegemarannya.

Seperti mana-mana rakyat Malaysia lain, Khoo amat menyukai makanan dan terkejut apabila pekerjanya yang berketurunan Vietnam tidak pernah memakan hidangan Vietnam. Dia kemudiannya memastikan bahawa individu tersebut mencuba hidangan negara itu.


#3. Ang Siew Nya

Ang Siew Nya. (Sumber gambar: 911 Memorial & Museum)

Ang Siew Nya dari Pulau Pinang telah melanjutkan pendidikannya di Kanada pada usia 18 tahun dan menerima ijazah dalam kejuruteraan elektrik dari University of Southwestern Louisiana.

Dia merupakan Penganalisis Teknikal di Marsh USA dan berkerja di tingkat 95 North Tower, hanya dua tingkat daripada Khoo.

Lebih menyedihkan lagi apabila Ang dan suaminya baru sahaja membeli rumah idaman mereka dua bulan sebelum tragedi berkenaan.

Dia merupakan seorang ibu yang baik kepada dua orang anak perempuannya dan sering menelefon rumah setelah tiba di pejabat untuk menggalakkan mereka melakukan kerja sekolah. Ang juga memberi tumpuan terhadap minat anak-anaknya itu termasuk luncur ais dan pelajaran piano.

Selepas kematiannya, kedua adik-beradik itu menyimpan gambar ibunya di bilik mereka untuk melakukan ritual penghormatan setiap malam.

Suaminya, Lee Kui Liong, berkata Ang tidak pernah berhenti menimba ilmu. Dia cekal membelek majalah industri dan mendapatkan sijil profesional tambahan sehingga cepat dinaikkan pangkat di tempat kerja.

Pada tahun 2020, Kedutaan AS Kuala Lumpur telah berkongsi nama ketiga-tiga rakyat Malaysia yang terkorban itu dan diukirkan pada National September 11 Memorial di New York City.


Kongsi cerita viral & terkini bersama kami di media sosial TRPbm: Facebook, Twitter, Threads dan Instagram.

Get more stories like this to your inbox by signing up for our newsletter.

© 2024 The Rakyat Post. All Rights Reserved. Owned by 3rd Wave Media Sdn Bhd